
'Haramkan' pembuli masuk universiti
Bayangkan seorang pelajar pintar yang keputusan peperiksaannya cemerlang, aktif kokurikulum, disenangi guru malah sering dijulang sebagai contoh terbaik di sekolah tapi apabila memohon kemasukan ke universiti, permohonannya ditolak.
Puncanya bukan kerana tidak layak dari segi akademik mahupun gagal temu duga tetapi kerana mempunyai rekod pernah membuli rakan sekelas.
Itulah yang berlaku di Korea Selatan apabila enam universiti utama di negara itu termasuk Universiti Kebangsaan Seoul (SNU) menolak seramai 45 calon untuk sesi kemasukan tahun 2025.
Dua daripadanya bukan calang-calang pelajar kerana menjadi antara yang terbaik dalam peperiksaan kemasukan kolej (CSAT) namun tetap ditolak ekoran pernah terbabit dengan kes buli dan keganasan.
Tindakan yang diambil itu merupakan permulaan untuk pelaksanaan dasar baharu kerana mulai tahun hadapan, setiap universiti di negara berkenaan diwajibkan menyemak semua rekod disiplin calon sebelum menerima mereka termasuk sama ada pernah membuli atau tidak.
Kementerian Pendidikan negara tersebut mahu budaya buli dibanteras dari akar umbi dan bukannya menunggu sehingga pelajar tersebut dewasa barulah sedar kesilapan yang dilakukan.
Jika dasar sebegitu dibuat di Malaysia, berapa ramai agaknya yang 'tersekat' di pintu pagar universiti apatah lagi sebelum ini banyak kes buli dilaporkan berlaku.
Menurut data Kementerian Pendidikan (KPM), sebanyak 7,681 kes buli dilaporkan di sekolah pada tahun 2024 dan ia meningkat sebanyak 17 peratus berbanding 6,528 kes pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, hampir 2,000 kes berlaku di sekolah rendah dan lebih 5,600 di sekolah menengah. Itu angka yang dicatat, belum campur kes yang tidak dilaporkan kerana mangsa diugut, takut atau malu.
Mangsa trauma
Mungkin segelintir kecil masyarakat masih menganggap perilaku buli ini cuma 'usik-usik nakal' antara kawan tetapi realitinya ramai mangsa mengalami trauma, kemurungan bahkan ada yang sanggup berhenti sekolah.
Lebih menakutkan, pembuli yang tidak ditegur kesalahan mereka boleh membawa sikap sama ke universiti atau ke tempat kerja sekali gus akan terus menyuburkan budaya negatif berkenaan.
Sebab itu langkah Korea Selatan wajar dipuji kerana mereka bukan sekadar menjaga imej universiti tapi juga mahu memastikan pelajar yang masuk ke kampus benar-benar bersih dari segi sahsiah dan moral.
Di Malaysia, kita belum sampai ke tahap itu tetapi kenapa tidak? Jika universiti boleh menyemak keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) kenapa tidak boleh menyemak rekod disiplin sekolah?
Jadi mungkin sudah tiba masanya dasar kemasukan universiti kita ditambah baik dengan bukan sahaja melihat pencapaian akademik dan kokurikulum, tetapi juga latar belakang peribadi dan tingkah laku calon.
Langkah ini juga boleh menjadi pengajaran penting kepada pelajar sekolah bahawa setiap perbuatan walaupun ketika muda, ia boleh memberi kesan besar kepada masa depan mereka.
Dalam masa sama, sekolah mesti memainkan peranan kerana rekod disiplin pelajar perlu disimpan dan dilaporkan dengan telus.
Buli jangan disapu bawah karpet kononnya nak 'jaga nama sekolah' kerana lagi lama kita diam, lagi parah budaya ini membiak.
Kita selalu bangga bila anak dapat straight A’s tapi jarang nak bertanya 'anak kita ni budak baik atau tidak?' Kalau pintar tapi kasar, bijak tapi biadab, pandai tapi pembuli apalah gunanya.
Seandainya anak-anak ini gagal dididik menjadi insan beradab maka segala gred A dan sijil hanyalah kertas kosong.
Ringkasan AI
- Pelajar pintar ditolak universiti utama Korea Selatan kerana rekod membuli
- Enam universiti utama termasuk Universiti Kebangsaan Seoul menolak calon yang pernah terlibat buli
- Dari 2025, universiti Korea Selatan perlu semak rekod disiplin calon inklusif kes buli
- Kementerian Pendidikan Korea Selatan mahu hentikan budaya buli dari peringkat awal
- Peningkatan kes buli dilaporkan di sekolah menunjukkan keperluan penilaian tingkah laku dalam kemasukan universiti
