Graduan TVET sukar dapat pekerjaan sesuai
Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) menghadapi kesukaran dalam mendapatkan pekerjaan yang sesuai memenuhi jangkaan mereka disebabkan krisis ekonomi.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail, sudah tiba waktunya untuk mengintegrasikan pendidikan tersebut dengan keusahawanan kerana ia boleh memperkasa penuntut dari segi mencipta perniagaan mereka sendiri.
“Inilah masanya kita perlu mengintegrasikan TVET dan keusahawanan kerana dengan memupuk keusahawanan, program TVET boleh memperkasakan pelajar untuk mencipta perniagaan mereka sendiri dan membawa kepada penciptaan pekerjaan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain dalam komuniti.
“Untuk menyepadukan TVET dan keusahawanan secara berkesan untuk pembangunan mampan, penggubal dasar, institusi pendidikan dan pihak berkepentingan industri harus bekerjasama untuk merekabentuk kurikulum yang relevan dan dinamik serta menyediakan rangkaian bimbingan.
“Juga sokongan untuk bakal usahawan yang boleh menyumbang secara signifikan kepada kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar di peringkat tempatan dan skala global,” katanya semasa persidangan kali kedua TVET dan Keusahawanan di peringkat antarabangsa (2nd ITEC 2023).
Persidangan antarabangsa itu berlangsung pada 11 dan 12 Oktober 2023, diadakan secara kombinasi secara dalam talian dan bersemuka serta di anjurkan secara bersama antara Jabatan Pendidikan Politeknik Kolej Komuniti (JPPKK), Politeknik Kota Bharu (PKB) dan Politeknik Negeri Medan (POLMED), Indonesia dengan tema persidangan adalah ‘TVET and Entrepreneurship for Sustainable Development’.
Objektif utama persidangan ini adalah untuk menyediakan platform kepada penyelidik membentangkan hasil kajian dalam bidang TVET dan keusahawanan.
Selain daripada itu, melalui persidangan ini juga ia mengaktifkan penglibatan staf ke peringkat antarabangsa, dalam aktiviti penyelidikan, penulisan, pembentangan, dan penerbitan sekali gus menaikkan imej negara, kementerian, jabatan dan institusi ke peringkat antarabangsa.
Persidangan telah disertai oleh 110 orang pembentang dari politeknik dan kolej komuniti seluruh Malaysia termasuk Politeknik Negeri Medan, Pakistan dan juga Thailand.
Sementara itu, Pengarah POLMED, Dr Idham Kamil berkata, persidangan berkenaan adalah perhimpunan antarabangsa yang benar-benar berpendidikan cemerlang dan inovasi dari kedua-dua negara.
Menerusi persidangan tersebut, semua peserta berkongsi pengetahuan, kerjasama dan penemuan yang merentasi sempadan serta budaya dan kerana itu beliau memberikan penghargaan yang terbaik dan tahniah buat POLMED dan PKB di atas kejayaan menganjurkan 2nd ITEC 2023.
Sebanyak 110 kertas kerja dibentangkan meliputi pelbagai disiplin seperti bidang Kejuruteraan, E- pembelajaran, Pendidikan Vokasional, Sains Sosial, Usahawan, Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Maklumat, Pembelajaran Sepanjang Hayat serta Perniagaan dan Pengurusan.
Dua kertas penyelidikan kategori TVET dan Keusahawanan dipilih dan diumumkan sebagai empat kertas penyelidikan terbaik secara keseluruhan di akhir persidangan.