
Guna peralatan konvensional kuno
Keinginan untuk bergelar doktor bukanlah satu perjalanan yang mudah kerana ia menuntut pengorbanan, kesungguhan dan semangat tinggi.
Bagi segelintir pelajar Malaysia, mereka sanggup merantau jauh hingga ke Rusia demi mengejar impian dalam bidang perubatan.
Biarpun terpaksa berjauhan dengan keluarga dan menghadapi cabaran hidup di negara asing, pelajar-pelajar ini tetap teguh demi mengejar cita-cita.
Perkara itu dikongsi anak kedua daripada empat beradik, Nurnamimi Izumie Noor Sarikein, 25, yang menyambung pendidikan tinggi dalam bidang kedoktoran di Universiti Perubatan Kursk, Rusia.
Nurnamimi Izumie yang menghabiskan enam tahun di Rusia sejak 2019, menyambung pengajian di universiti itu kerana sedia maklum bahawa institusi pengajian tinggi tersebut begitu hebat dalam industri perubatan.
“Di sana (Universiti Perubatan Kursk), kami lebih didedahkan kepada peralatan konvesional kuno, bukan sepenuhnya menggunakan perkakas moden. Ia membuatkan kami bersedia sekiranya peralatan moden tidak boleh digunakan sewaktu menyelamatkan pesakit.
“Bagi saya, sistem yang digunakan di sana agak unik kerana pelajar dapat belajar kedua-dua teknologi konvensional kuno dan moden,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari.
Anak kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu memaklumkan, selain mendalami ilmu perubatan dan mencari tahu mengenai sistem pembelajaran di negara tersebut, dia juga berminat mengenai budaya Rusia, rakyat serta cara berkomunikasi.
Kongsinya lagi, rakyat Rusia sememangnya berpegang teguh kepada budaya dan bahasa kebangsaan sendiri.
“Mereka lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa Rusia dan mengajar kita untuk lebih mudah berlatih dan mahir.
“Bagi saya, bahasa Rusia merupakan satu pertuturan unik dan proses untuk mempelajarinya memang tidak mudah.
“Dengan keteguhan rakyat di sana terhadap penggunaan bahasa kebangsaan mereka, membuatkan saya semakin mahir berkomunikasi dengan
orang Rusia.

Gred lima setiap semester
Menjadi impian setiap pelajar universiti untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam setiap semester.
Begitu juga Nurnamimi Izumie yang merangkul gred lima sepanjang menuntut ilmu di negara terbesar dalam bidang perubatan.
Berdasarkan pembelajaran di Universiti Perubatan Kursk, skor pemarkahan bermula angka dua bermaksud gagal, tiga (memuaskan); empat (baik) dan lima (cemerlang).
"Pencapaian terbaik saya sepanjang enam tahun belajar ilmu perubatan di Rusia, daripada segi akademik, saya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.
“Skor tertinggi dalam peperiksaan di Rusia adalah lima. Peperiksaan pelesenan perubatan semasa tahun akhir juga saya berhasil memperoleh gred cemerlang.
“Saya lulus dengan prestasi akademik yang cemerlang dan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.85 mengikut skala gred 4.0,” katanya.
Nurnamimi Izumie juga mengakui belajar perubatan bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal sepanjang bertahun demi gelaran ‘doktor’.
"Saya banyak belajar mengendalikan kes pesakit yang diberikan guru sekali gus akan lebih fokus dan mahir menyelesaikan masalah dengan bantuan rakan sekelas lain,” katanya.