Guru pelatih timba pengalaman berharga di Jogyakarta
Pengalaman berharga. Itulah yang dirasakan oleh empat guru pelatih Malaysia yang mendapat peluang mengajar di Sekolah Luar Biasa (SLB) YAPENAS di Yogyakarta, Indonesia melalui Program Mobiliti Antarabangsa antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Malaysia dan Universitas Yogyakarta, Indonesia.
Jika di negara kita, SLB lebih kurang seperti Sekolah Pendidikan Khas (SPK).
Empat guru pelatih tersebut adalah Ain Syafia Qutrinee Alwi , 25, Mohamad Adam Haris Fadzilah, 25, Nur Maisarah Jamaluddin, 26 dan Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi, 26, mahasiswa dari Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI.
Keempat-empat guru ini mempunyai pengalaman transformatif kerana mereka terlibat dengan individu yang mempunyai pelbagai ketidakupayaan seperti termasuk anak-anak autisme, sindrom down, dan cerebral palsy.
Menurut Fathkrurrozak, pengalaman baharu itu membuka mata kami semua apabila melihat dedikasi guru dan kakitangan sekolah dan ketabahan anak-anak.
“Setiap hari di sini pada saya membawa pengalaman baharu dan saya bersyukur kerana berpeluang untuk membantu anak-anak ini dalam meningkatkan potensi diri mereka,” katanya.
Sementara itu, Qutreenie pula berkata, program berkenaan memberikan pendedahan kepada mereka tentang pengalaman budaya baharu.
“Keghairahan dan kemajuan murid di sini adalah ganjaran terbesar kami. Kami juga belajar bahawa pengajaran perlu melangkaui bahasa dan budaya.
“Ia mengenai memahami keperluan dan kebolehan individu,” jelasnya.
Walaupun begitu, mereka juga menghadapi pelbagai cabaran dari segi perbezaan bahasa yang sedikit sebanyak menimbulkan halangan komunikasi pada awalnya, tetapi kuasa komunikasi bukan lisan, empati dan kesabaran dapat merapatkan jurang ini.
Ujar Adam, bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang akhirnya menjadikan hubungan para guru menjadi semakin rapat.
“Pada mulanya, bahasa adalah penghalang, tetapi senyuman, gerak isyarat dan bahasa badan menjadi bahasa universal kami.
“Kami mendapati bahawa kasih sayang dan kebaikan mengatasi perbezaan linguistik,” katanya.
Walau bagaimanapun, Maisarah juga ada menekankan bahawa ia adalah salah satu peluang untuk belajar bersama.
“Dengan menerima adat dan tradisi tempatan, secara tidak langsung ia dapat membangunkan penghargaan yang mendalam terhadap cara hidup di Indonesia dan meluaskan ufuk dan memperkaya pengalaman kami,” ujar beliau.
Pengalaman silang budaya ini amat baik untuk diteruskan pada masa akan datang bagi memberi pengalaman baharu kepada guru-guru pelatih.