Fadhlina menjemput semua pihak untuk hadir ke sesi ‘Jerayawara Masa Depan Pendidikan’ bagi membina kurikulum ini bersama.
Fadhlina menjemput semua pihak untuk hadir ke sesi ‘Jerayawara Masa Depan Pendidikan’ bagi membina kurikulum ini bersama.

Tahun 2024 tagih usaha luar biasa

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
02 Jan 2024 10:11am

Kelantangan mempertahankan ‘Minggu Solidariti Palestin KPM’ tahun lalu, menggambar wanita ini serius mengajar anak bangsa menjadi lebih telus dan berkualiti di mata dunia.

Jika diimbas kembali, beliau amat tegas meminta sekolah mahupun institusi pendidikan diberi kebebasan mengekspresi simpati terhadap apa yang berlaku di Palestin.

Untuk tahun baharu ini, beliau juga mempunyai visi jelas memastikan landskap pendidikan negara menjadi ekosistem harmoni dan mendukung konsep manusiawi dalam membentuk jati diri serta keperibadian murid yang beradab, berakhlak dan berintegriti untuk semua.

Ikuti wawancara penuh wartawan Sinar Bestari, Azleenda Sahaludin bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

SINAR BESTARI: Sudah pasti KPM sedang menambah baik sistem pendidikan negara. Bolehkah YB kongsi langkah itu?

FADHLINA: Ia perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan kita juga tidak boleh bekerja seperti biasa-biasa, macam tiada apa yang berlaku.

Ketika mula memasuki pejabat pada tanggal 5 Disember 2022, saya membawa hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah baik sistem pendidikan negara yang kita sedar berada pada tahap yang terlalu banyak perlu ditambah baik dan ketika itu, kita tidak bermula dengan kosong.

Kini, kita masih bergerak mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025. Untuk tahun pertama, saya dan pasukan menumpukan perkara operasional, menambah baik pengalaman dan rutin harian guru serta murid seperti soal penyelenggaraan tandas sekolah, membaik pulih sekolah daif, isu beban tugas guru termasuk mengupayakan guru dalam soal pengurusan bilik darjah dan pentaksiran, tumpuan kepada akses pendidikan kanak-kanak seluruh negara.

Artikel Berkaitan:


Fadhlina (tengah) bergambar bersama pelajar pada Program Bual Bicara Menteri Pendidikan Bersama Pelajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai pada tahun lalu.
Fadhlina (tengah) bergambar bersama pelajar pada Program Bual Bicara Menteri Pendidikan Bersama Pelajar Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai pada tahun lalu.

Maka, kami klusterkan sebagai Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM sebagai payung besar hala tuju tahun 2023.

Seterusnya kita akan lebih mendasari soal lebih utama dalam meningkatkan mutu pendidikan dan ia bermula dengan kurikulum persekolahan. Justeru, kita dalam proses mengumpulkan input bagi memperincikan kurikulum persekolahan tahun 2027, yang mana kerangka besarnya telah pun dibentangkan kepada awam pada 6 Disember lalu.

Dalam hal ini, saya menjemput semua pihak untuk hadir ke sesi ‘Jerayawara Masa Depan Pendidikan’ bagi membina kurikulum ini bersama.

Ingin saya kongsikan, kurikulum persekolahan akan datang direka bentuk melahirkan insan sejahtera. Antara lain, KPM akan memberikan penekanan kepada pendidikan karakter.

No Image Caption

Fokusnya pembelajaran sosioemosi dan diharapkan dapat membentuk generasi yang berkeupayaan untuk menyumbang kepada pembentukan warganegara Malaysia yang sejahtera.

Murid perlu dilengkapkan dengan kompetensi sesuai untuk membentuk generasi yang memiliki growth mindset atau bermentaliti pertumbuhan, berdaya saing dan berdaya tahan.

Namun, kita perlu mewacanakan dan memutuskan bagaimana perkara ini boleh dilaksanakan? Bagaimana latihan guru yang diperlukan? Bagaimana dengan lain-lain ekosistem yang diperlukan?

Hal ini perlukan input dan kesediaan yang rapi dan penglibatan pelbagai pihak.

Rasanya, ini kali pertama kerajaan membuka ruang seluasnya untuk masyarakat terlibat dalam penggubalan kurikulum. Sebab itu juga, kita namakan kurikulum ini dengan #kurikulumkita.

No Image Caption

Kita juga perlu menyediakan pelan pembangunan pendidikan baharu berpusatkan ekosistem kurikulum 2027.

KPM akan memberi penekanan kepada Dasar Pendidikan Digital, Dasar TVET, Permerkasan Pendidikan STEM, Dasar Pendidikan Wajib 11 tahun dan pembangunan karakter murid.

Bagaimanakah KPM meningkatkan kedudukan pendidikan negara agar mengatasi Singapura, Brunei dan Vietnam? Ia merujuk kepada pencapaian Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang sedikit merosot berbanding tahun sebelumnya dan Covid-19 menjadi salah satu punca.

Yang pertama, tujuan kita menyertai pentaksiran antarabangsa seperti PISA bagi mengukur kualiti keberhasilan pendidikan negara dari tahun ke tahun.

Sebenarnya, pencapaian negara menunjukkan trend yang meningkat sejak awal penyertaan dalam pusingan PISA terdahulu khususnya Literasi Matematik dan Saintifik tetapi, ia menurun dengan ketara pada pusingan PISA 2022.

Kedua, seluruh dunia baharu sahaja diserang pandemik Covid-19 yang menyebabkan sekolah ditutup begitu lama. Norma persekolahan berubah murid terpaksa belajar secara dalam talian.

No Image Caption

Yang membezakan antara satu negara dengan negara lain adalah inisiatif kerajaan dalam menyediakan ekosistem untuk melancarkan pembelajaran.

Keseluruhan penyertaan mengukur penguasaan Literasi Bacaan, Saintifik dan Matematik, banyak negara terjejas teruk.

Literasi Matematik mencatatkan kemerosotan bagi 58 buah negara. Sebanyak 36 buah negara merosot dalam Literasi Saintifik, manakala 55 negara merosot dalam Literasi Bacaan.Kemerosotan ini memang dijangka.

Di Malaysia, bagi Literasi Matematik, hampir kesemua murid menunjukkan kemerosotan. Murid berpencapaian tinggi merosot teruk sehingga 40.2 mata berbanding murid berpencapaian rendah susut lingkungan 18.7 mata.

No Image Caption

Dalam konteks status sosioekonomi, pencapaian murid berkelebihan juga merosot lebih teruk untuk ketiga-tiga Literasi Matematik, Saintifik dan Bacaan. Hal itu disebut sebagai daya tahan.

KPM akan memperhalusi pelbagai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian Malaysia dalam PISA 2022, termasuk kesediaan guru menggunakan kaedah baharu dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), selain secara bersemuka dan lain-lain refleksi bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Kesimpulannya faktor yang perlu dilihat termasuklah meningkatkan daya tahan murid, sekolah dan sistem.

Mengenai isu jurang kemenjadian murid di pedalaman dan bandar, bagaimana KPM mengatasinya?

Salah satu strategi kita adalah memberi keutamaan penyediaan persekitaran dan infrastruktur pembelajaran yang kondusif di sekolah mengikut kesesuaian setempat.

Oleh itu, agenda berkaitan pembangunan sekolah daif menjadi salah satu daripada Tujuh Teras Utama KPM terutama di Sabah dan Sarawak.

Keduanya, jurang digital. Dalam tempoh pandemik 2020-2021, sejumlah 80.4 peratus murid mengalami masalah akses internet dan 60 peratus lagi sukar mendapatkan peranti digital.

No Image Caption

Sebab itu, penyediaan akses digital menjadi salah satu daripada inisiatif dalam Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan akhir November lepas.

Ketiga, akses pendidikan kepada kumpulan rentan. Pada tahun 2023, kita menambah bilangan prasekolah KPM, sekolah model khas komprehensif K9 dan K11 untuk peribumi dan Orang Asli.

Keempat, peningkatan 25 peratus peruntukan bantuan Rancangan Makanan Tambahan iaitu lebih RM158 juta yang memanfaatkan lebih 762,000 kanak-kanak di bawah kategori Paras Garis Kemiskinan Nasional.

Sejumlah bantuan persekolahan untuk tahun 2024 juga ditingkatkan secara signifikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp