Safwa (tengah) bersama ibunya, Rashidah dan bapanya, Zamri menunjukkan markah tertinggi dalam kertas peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1), sesi Mac 2023.
Safwa (tengah) bersama ibunya, Rashidah dan bapanya, Zamri menunjukkan markah tertinggi dalam kertas peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1), sesi Mac 2023.

Hafizah 30 juzuk raih keputusan cemerlang ACCA

AZLEENDA SAHALUDIN
08 May 2023 11:13am
A
A
A

“Walaupun pada awalnya berdepan dengan kesukaran untuk mendalami dan mempelajari jurusan perakaunan ini, namun kerana minat dan ulangkaji yang berterusan telah menjadikan saya lebih bersemangat untuk meneruskan pengajian.”

Itulah kata-kata mahasiswa semester dua, Program Asasi, Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu kampus Dungun.

Buktinya, Safwa Zamri, 19, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) baru-baru ini dengan mencatatkan markah tertinggi bagi kertas peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1) sesi Mac 2023.

Keputusan berkenaan turut melayakkan Safwa mendapat markah tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi dunia serta menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) dengan keputusan cemerlang 98 peratus.

Dia yang juga merupakan seorang hafizah 30 juzuk al-Quran itu memberitahu, keputusan cemerlang tersebut adalah bukti tekad dan kesungguhannya mempelajari bidang perakaunan walaupun sebelum ini mengambil cabang pengajian yang berbeza.

“Saya cenderung memilih jurusan perakaunan ini kerana minat subjek Matematik dan ia juga adalah saranan daripada adik-beradik lain kerana mereka sudah mengambil jurusan perubatan dan kejuruteraan.

“Malah dengan kejayaan ini, saya akui ia adalah sesuatu yang mengejutkan dan membanggakan kerana subjek berkenaan baru dipelajari selama enam bulan,” ujarnya.

Selain itu, Safwa memaklumkan sebelum ini dia merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut dan mengambil Al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab (SUUA) iaitu penggabungan Kurikulum Kebangsaan aliran tahfiz Sains dalam Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan Kitab turath untuk pelajar tahfiz terpilih pada peringkat menengah atas.

Artikel Berkaitan:

Anak bongsu daripada lima beradik itu turut mengambil jurusan sains tulen dan agama di samping memperoleh keputusan cemerlang 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Sementara itu, bapanya, Zamri Mohd Amin, 56, memberitahu, Safwa sering menunjukkan semangat belajar yang tinggi sejak di sekolah rendah.

Dia yang juga seorang guru berkata, pencapaian yang diterima anaknya itu adalah rezeki daripada ALLAH selain bersyukur dan berdoa agar kecemerlangan berkenaan dapat dikekalkan.

Manakala, ibunya, Rashidah Ab Rahman, 57, turut bercerita, anaknya itu mempunyai semangat tinggi sekiranya mahu mencapai sesuatu yang dinginkan.

“Dia sangat rajin dan sanggup berjaga malam untuk mengulangkaji pelajaran.

“Berkat kesungguhannya kini telah melayakkan dirinya bukan sahaja mendapat markah tertinggi negara tetapi turut meraih markah kedua tertinggi dunia,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok