Penghuni Sekolah Henry Gurney cemerlang, raih pingat pada Sukan Saga
Walaupun dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney sejak tiga tahun lalu, tetapi itu bukanlah pengakhiran bagi seorang gadis yang pernah melakukan kesilapan sebelum ini.
Malah, penghuni dikenali sebagai Evelyn, 21, mampu meraih kejayaan apabila dinobatkan pemenang tempat ketiga dalam pertandingan silat sempena Sukan Sabah (SAGA) ke-10, baru-baru ini.
Evelyn berkata, kesilapan di masa lampau bukan penghalang untuknya terus aktif dalam bidang sukan yang diminatinya sejak sekolah lagi.
"Saya memang atlet bagi sukan silat sejak di Tingkatan Satu tetapi disebabkan kenakalan sebelum ini, saya dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney.
"Bagaimanapun, saya meneruskan aktiviti sukan di sini sehingga terpilih mewakili sekolah di Sukan SAGA dan meraih pingat tempat ketiga dalam kategori tanding," katanya ketika ditemui Sinar Bestari, pada Khamis.
Terdahulu, Evelyn diberi peluang bertemu ahli keluarga sempena Majlis Sambutan Jalinan Kasih Krismas Peringkat Penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu, Sabah di Dewan Raflesia Sekolah Henry Gurney.
Sementara itu, gadis Tambunan tersebut sempat berkongsi debarannya yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Isnin depan.
"Disebabkan semasa saya dimasukkan ke sekolah ini pada usia 17 tahun, peperiksaan terpaksa ditangguh. Bagaimanapun, saya tekad untuk menamatkan SPM pada tahun ini juga.
"Rasa berdebar untuk menduduki SPM kerana masih belum cukup tempoh untuk mengulang kaji pelajaran, namun saya perlu tempuhi juga peperiksaan ini.
"Sebanyak lapan mata pelajaran di ambil dalam SPM dan berharap mendapat keputusan cemerlang sekali gus berjaya menyambung pengajian nanti," katanya.
Dedah Evelyn, dia dimasukkan ke sekolah itu atas kesalahan di bawah Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
"Saya mengambil dadah jenis syabu dan ditahan selepas didapati positif dadah. Saya mengambil dadah kerana terpengaruh dengan rakan-rakan selain disebabkan masalah keluarga," katanya.
Bagaimanapun, kehidupan berada di sekolah itu mengajarnya supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut dan bertekad akan terus menjauhi najis dadah apabila keluar April depan.