
IMU antara Institusi Pilihan Majikan 2025
Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) mendapat pengiktirafan sebagai salah sebuah Institusi Pilihan Majikan 2025 oleh Talentbank National Graduate Employability Index (GE Index) baru-baru ini.
Pengiktirafan itu adalah satu penarafan berprestij yang mengukuhkan lagi komitmen teguh IMU dalam melahirkan graduan masa hadapan yang bersedia untuk memimpin dan berinovasi dalam dunia sentiasa berubah.
Ia juga mencerminkan keyakinan tinggi para majikan terkemuka merentasi pelbagai industri terhadap keupayaan IMU dalam melahirkan graduan berkualiti dan bersedia untuk dunia pekerjaan serta mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.
Berdasarkan maklum balas langsung daripada para perekrut dan pemimpin industri, IMU telah dikenal pasti sebagai sebuah universiti yang unggul dan cemerlang dalam mempersiapkan pelajar untuk menghadapi tuntutan tenaga kerja moden yang sentiasa berevolusi.
Sementara itu, IMU telah dianugerahkan Enam Bintang (Juara Teladan) dalam bidang Perubatan, Kejururawatan, Farmasi dan Kiropraktik.
Institusi ini juga merangkul Enam Bintang (Juara Teladan) untuk Bioteknologi Perubatan sekali gus menegaskan lagi kedudukan kukuh IMU sebagai peneraju akademik dalam bidang-bidang utama penjagaan kesihatan.
Lebih membanggakan lagi, ini merupakan tahun kedua berturut-turut program Farmasi IMU menerima pengiktirafan Juara Teladan sekali gus memperkukuh reputasinya dalam arena pendidikan farmasi.
Dalam pada itu, Naib Canselor IMU, Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail berkata, pengiktirafan tersebut telah memperkukuh misi mereka untuk melengkapkan pelajar bukan sekadar dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga dengan keyakinan dan kebolehsuaian yang tinggi untuk cemerlang dalam pasaran kerja berdaya saing.
"Kami amat berbesar hati dan yakin bahawa pencapaian lebih cemerlang akan terus menyusul," katanya.
Dengan usaha berterusan dalam memacu inovasi pendidikan profesion kesihatan, pencapaian terkini ini menyerlahkan lagi sumbangan signifikan IMU dalam membentuk pemimpin penjagaan kesihatan yang berkaliber tinggi, bersedia untuk berkhidmat dan menyumbang secara bermakna di peringkat nasional mahupun antarabangsa.