
Unisel perkukuh komitmen menuju kampus hijau bertaraf dunia
Alam sekitar adalah anugerah tidak ternilai yang perlu dipelihara untuk kesejahteraan generasi akan datang. Dalam era globalisasi yang semakin pesat, cabaran terhadap pemuliharaan alam sekitar semakin meningkat, dan kesedaran mengenainya sering terpinggir.
Oleh itu, Universiti Selangor (Unisel) tampil ke hadapan dengan komitmen teguh menerapkan amalan kelestarian dan memperkukuh kedudukannya dalam UI GreenMetric, satu penarafan global yang mengiktiraf usaha universiti dalam bidang kelestarian.
UI GreenMetric menilai universiti berdasarkan enam kriteria utama termasuk pengurusan sisa, penggunaan tenaga dan perubahan iklim serta pendidikan dan penyelidikan dalam kelestarian.
Sebagai bukti kesungguhan Unisel dalam usaha ini, program 'Minggu Unisel Melestarikan Alam Sekitar' telah dianjurkan, bukan sahaja untuk memupuk kesedaran mahasiswa tetapi juga bagi mengukuhkan peranan universiti dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Usaha berterusan ini membuahkan hasil apabila Unisel berjaya meraih kedudukan ke-220 dalam ranking UI GreenMetric pada tahun 2024.
Pencapaian ini menunjukkan peningkatan signifikan dalam komitmen universiti terhadap kelestarian dan menjadi bukti bahawa langkah-langkah yang diambil semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Kedudukan ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan Unisel dalam bidang kelestarian tetapi juga meletakkan universiti sebagai salah satu institusi pendidikan tinggi yang serius memberikan komitmen untuk masa depan yang hijau bertaraf global.

Selain itu, SDGs menetapkan matlamat global untuk mencapai pembangunan lestari dari segi sosial, ekonomi dan alam sekitar menjelang 2030.
Amalan kitar semula merupakan elemen penting dalam menyokong beberapa SDGs seperti SDG 11 (Bandar dan Komuniti yang Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab), SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat).
Ini terbukti bahawa institusi pendidikan tinggi boleh memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi global ini.
Justeru, Unisel telah mengambil inisiatif memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar melalui kempen ini.
Kempen dianjurkan oleh Pusat Pengajian Asasi dan Umum (PADU) dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat melalui kursus universiti bertajuk Green Awareness and Sustainability in Community.
Ia melibatkan penyertaan seramai 91 mahasiswa yang diketuai Pengarah Program, Muhammad Farhan Rusdi Md Fahim di bawah bimbingan pensyarah, Ir Ts Dr Nazlin Hanie Abdullah.
Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran alam sekitar tetapi juga mengaplikasikan amalan lestari secara langsung dalam kehidupan seharian mahasiswa.

Tujuan utama kempen berkenaan adalah untuk menyemai nilai-nilai kelestarian alam sekitar melalui amalan kitar semula serta memperkukuhkan pemahaman mahasiswa mengenai isu-isu alam sekitar.
Kempen ini juga memberikan peluang kepada mahasiswa untuk berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan mereka sekali gus memperluaskan kesan positif program ini.
Sepanjang kempen, pelbagai inisiatif dijalankan termasuk penyediaan kemudahan pengumpulan barangan kitar semula di Kampus Bestari Jaya.
Barangan seperti kertas, plastik, minyak masak terpakai, logam dan e-sisa (e-waste) dikumpulkan dan dihantar kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) untuk diproses.
Usaha ini bukan sahaja mengurangkan pencemaran tetapi juga menyokong pengurusan sisa lestari, salah satu elemen penting dalam UI GreenMetric.
Manakala pakaian terpakai telah disumbangkan kepada penduduk yang diwakili oleh Ketua Kampung Orang Asli Hulu Kuang, Selangor, Oha.

Kempen telah memberi impak besar kepada usaha Unisel dalam UI GreenMetric dengan menyokong aspek utama berikut:
1) Pengurusan Sisa: Menyediakan kemudahan kitar semula dan mengurangkan pencemaran serta pembaziran sumber alam.
2) Tenaga dan Perubahan Iklim: Menggalakkan amalan lestari dan mengurangkan jejak karbon melalui pemuliharaan tenaga dan sumber.
3) Pendidikan dan Penyelidikan: Menyediakan pengalaman praktikal kepada mahasiswa dalam memahami kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar.
Selain itu, program ini mendapat sokongan MPKS, yang menyediakan logistik untuk pengangkutan hasil kutipan ke pusat pemprosesan.
Penglibatan pihak berkuasa tempatan membuktikan betapa pentingnya kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan dalam mencapai matlamat pembangunan lestari.
Mantan Dekan PADU, Dr Hazeeq Hazwan Azman menyatakan bahawa program ini memberikan mahasiswa pengalaman langsung mengenai kepentingan tindakan individu dalam melestarikan bumi dan menyumbang kepada komuniti secara holistik.

Kempen ini dengan jelas menyokong beberapa SDGs termasuk:
1) SDG 11: Bandar dan Komuniti yang Mampan
Menyediakan kemudahan kitar semula yang memudahkan pengurusan sisa lestari di kawasan kampus.
2) SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab
Menggalakkan penggunaan semula barangan dan pemuliharaan sumber semula jadi melalui pengumpulan dan pemprosesan bahan kitar semula.
3) SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim
Aktiviti kitar semula membantu mengurangkan pencemaran dan jejak karbon, yang menyumbang kepada usaha menangani perubahan iklim.
4) SDG 15: Kehidupan di Darat
Inisiatif ini menyokong pemuliharaan ekosistem dengan mengurangkan pencemaran yang boleh menjejaskan habitat semula jadi. Selain itu, aktiviti ini selaras dengan elemen Malaysia Madani khususnya dari segi kemampanan, keprihatinan, dan ihsan.
Kesimpulannya, Unisel membuktikan kesungguhan dalam mendidik generasi muda untuk menjadi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab terhadap kelestarian bumi.
Inisiatif ini tidak hanya menyumbang kepada SDGs, malah memperkukuhkan kedudukan Unisel dalam UI GreenMetric sebagai universiti yang berdaya saing dalam kelestarian global.
Dengan usaha yang berterusan dan komitmen padu, Unisel semakin hampir untuk menjadi salah satu institusi pendidikan tinggi yang terkemuka dalam pembangunan lestari sekali gus memberikan inspirasi kepada universiti lain untuk bersama-sama membentuk masa depan yang lebih hijau dan mampan.
Maklumat Penulis:
Pensyarah Kanan Advanced Materials & Manufacturing Research Group, Unisel, Ir Ts Dr Nazlin Hanie Abdullah
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my