No Image Caption

INTEC buka peluang lepasan SPM sambung pengajian ke China

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
09 May 2023 05:07pm

Melanjutkan pelajaran ke luar negara boleh diibaratkan sebagai satu peluang keemasan buat mereka yang terpilih untuk mengejar cita-cita di negara asing.

Bahkan peluang ini pastinya tidak datang berkali-kali buat mereka yang sememangnya merancang untuk menimba ilmu di luar negara dan seharusnya ia terus direbut agar tidak berputih mata.

Justeru, berita baik untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat dan merancang melanjutkan pelajaran ke China, mereka boleh menyertai program yang ditawarkan oleh INTEC Education College (INTEC).

Program dengan kerjasama institut pengajian tinggi (IPT) negara Tembok Besar itu merupakan kampus satelit Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Ia telah beroperasi sejak lebih 30 tahun lalu dengan menyediakan pendidikan perintis untuk program prauniversiti, diploma dan program perakaunan profesional.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan INTEC baru-baru ini, program Persediaan Pengajian ke China tersebut akan dilancarkan 10 Mei ini.

INTEC memaklumkan, program tersebut turut ditawarkan kepada lulusan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) atau kelulusan setaraf dengannya dan SPM.

Menurut INTEC lagi, program tersebut seiring dengan tajaan biasiswa penuh atau program latihan berbayar selain mempunyai peluang pekerjaan yang cerah selepas tamat pengajian.

Artikel Berkaitan:

“Wakil universiti dari China akan hadir pada pelancaran program terbabit pada 10 Mei ini di dewan utama INTEC di Shah Alam, Selangor.

“Orang ramai termasuk kaunselor sekolah, guru, pelajar yang berpotensi dan sedang menunggu keputusan SPM, UEC atau setaraf dijemput hadir bersama ibu bapa atau penjaga untuk bertemu dengan wakil universiti ini bermula pukul 10.30 pagi.

“Ini kerana program yang ditawarkan akan memberi pengalaman latihan industri dan peluang pekerjaan dengan syarikat China yang beroperasi dalam negara,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, INTEC memaklumkan Program Pengajian Sarjana Muda akan diajar sama ada dalam Bahasa Inggeris atau Mandarin.

Pelajar yang berminat boleh memulakan program ijazah mereka seawal September depan atau diberi pilihan untuk melengkapkan program asas selama sembilan bulan di INTEC sebelum terbang ke China.

Sementara itu, pelajar juga boleh menghadiri majlis pelancaran program berkenaan dan bertemu wakil universiti dari China dengan mendaftar melalui https://forms.gle/gY1KGVuqeDbiqHgf8.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp