Mohd Zahari (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah POLYCC Berprestasi Tinggi kategori Politeknik Vokasional kepada Pengarah Politeknik Muadzam Shah, Che Alias Mohd Yusof (tiga dari kanan).
Mohd Zahari (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah POLYCC Berprestasi Tinggi kategori Politeknik Vokasional kepada Pengarah Politeknik Muadzam Shah, Che Alias Mohd Yusof (tiga dari kanan).

Pelajar gagal SPM boleh sambung pengajian ke POLYCC

ADILA SHARINNI WAHID
23 Jan 2024 03:30pm
A
A
A

Dalam usaha memperluas akses pendidikan negara, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) membuka peluang kepada pelajar gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian peringkat sijil atau diploma dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Zahari Ismail berkata, inisiatif politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) ini dilakukan menerusi Program Gagal Lulus SPM (GALUS) di bawah agenda TVET for All dengan permulaan projek rintis melibatkan kemasukan 150 pelajar pada 4 Februari ini.

Menurut beliau, uniknya GALUS membolehkan mereka yang tidak berkelayakan untuk mendapat sijil di bawah pengiktirafan pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Pelajar lepasan SPM yang tidak dapat melanjutkan pengajian kerana tidak cukup syarat, kami menawarkan program kepada mereka untuk menyambung pengajian.

“Bagi projek rintis dijalankan di peringkat Sijil Fesyen dan Pakaian yang akan dilaksanakan di Kolej Komuniti Pagoh, Sijil Dandanan Rambut di Kolej Komuniti Pasir Gudang dan Kolej Komuniti Bandar Penawar bagi Sijil Teknologi Binaan Bangunan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 di Politeknik Kota Bharu di sini, pada Selasa.

Sementara itu, katanya, inisiatif TVET for All yang tidak mengambil kira kelulusan akademik tersebut sekali gus memberi peluang semua orang untuk menyertai program pengajian TVET di POLYCC.

“Kelayakan umum kemasukan bagi menyambung pengajian di POLYCC sebelum ini ialah tiga kepujian namun selepas ini semua orang layak untuk belajar di POLYCC.

“Kami juga dalam rangka memperkenalkan lebih banyak lagi laluan atau program-program kepada lepasan SPM untuk menyambung pengajian,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, JPPKK juga memperhebat Program Sepanjang Hayat (PSH) bagi membolehkan sesiapa sahaja tanpa mengira latar usia dan peringkat pengajian untuk menyertai

program pengajian TVET.

Dalam pada itu, Mohd Zahari berkata, di bawah transformasi tersebut, pihaknya menyasarkan kemasukan pelajar ke POLYCC pada tahun 2027 adalah seramai 120,000 orang, manakala 140,000 disasar pada 2030.

“Sekarang ini, POLYCC mempunyai seramai 90,000 pelajar di seluruh negara.

“POLYCC menyumbang 40 peratus daripada guna tenaga kerja mahir dalam bidang TVET,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok