Sesi Jelajah MQA bersama IPT Zon Tengah yang diadakan di MMU, Cyberjaya, baru-baru ini.
Sesi Jelajah MQA bersama IPT Zon Tengah yang diadakan di MMU, Cyberjaya, baru-baru ini.

IPT perlu kreatif tawar pendidikan fleksibel - MQA

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
24 Mar 2023 10:36am

Institut pendidikan tinggi (IPT) perlu memainkan peranan bagi meningkatkan minat masyarakat di negara ini untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, selain penawaran program akademik secara konvensional, IPT perlu rebut peluang untuk menawarkan pendidikan fleksibel.

Tambah beliau, IPT perlu kreatif dalam penawaran program terutama membabitkan laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan kursus pendek bersifat micro-credentials.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan tahun lalu, lepasan sekolah kurang berminat untuk menyambung pengajian ke IPT kerana lebih cenderung untuk terus ke alam pekerjaan, menjalankan perniagaan atau menyertai ekonomi gig, justeru di sinilah peranan IPT penting bagi menarik minat golongan ini untuk menyambung pengajian mereka.

“Selain lepasan sekolah, kita juga mahu golongan pekerja untuk meneruskan pengajian melalui pendidikan fleksibel ini supaya masyarakat di negara ini mempunyai kelayakan lebih baik sekali gus meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja mahir,” katanya.

Beliau yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata demikian selepas Sesi Jelajah MQA bersama IPT Zon Tengah yang diadakan di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud; Pengarah Kanan (Pembangunan Dasar dan Kepakaran) MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim; Pengarah Pusat Latihan Jaminan Kualiti Malaysia (MQATC), Norasikin Yahya dan Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa MQA, Muhammad Hasfarizal Kamaludin.

Pada sesi jelajah berkenaan, MQA berkongsi dasar, pengumumuman terkini, perancangan strategik serta bertukar pandangan secara terus dengan IPT dalam konteks jaminan kualiti pengajian tinggi serta mempromosi inisiatif pendidikan fleksibel termasuk menggalakkan lebih banyak IPT menjadi Pusat Penilaian APEL kepada kira-kira 250 wakil IPT dari Kuala Lumpur dan Selangor.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mazliham dalam ucapannya berkata, Sesi Jelajah MQA itu menjadi platform kepada wakil IPT yang hadir untuk mengeratkan kerjasama dan meluaskan jaringan terutama membabitkan jaminan kualiti.

Beliau menambah, selaku tuan rumah, pihaknya berbesar hati dapat membantu menjayakan program berimpak tinggi seperti sesi jelajah tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp