Mahasiswa UIS melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang berkunjung ke Parlimen dan menimba banyak ilmu baharu.
Mahasiswa UIS melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang berkunjung ke Parlimen dan menimba banyak ilmu baharu.

40 mahasiswa UIS terjah Parlimen?

06 Dec 2023 08:53am

Dalam usaha memupuk kesedaran dan peningkatan literasi mengenai sistem demokrasi berparlimen, seramai 40 mahasiswa Universiti Islam Selangor (UIS) mengadakan sesi lawatan ke Parlimen, baru-baru ini.

Menerusi siri lawatan itu, mahasiswa berpeluang menyaksikan sesi soal jawab dan perbahasan sewaktu berlangsungnya mesyuarat ketiga penggal kedua di Dewan Rakyat.

Mahasiswa juga berpeluang melihat gambaran sebenar suasana perbahasan, susun atur kedudukan wakil rakyat, protokol perjalanan perbahasan dan peranan petugas Dewan Rakyat termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Rakyat, Bentara Mesyuarat, Bentara Parlimen, Pelapor dan lain-lain.

Penganjuran lawatan itu dikendalikan sekumpulan mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda al-Quran dan as-Sunnah dengan Komunikasi sebagai projek akhir kursus yang memfokus salah satu komponen Komunikasi Korporat iaitu hubungan dengan kerajaan.

Dalam sesi yang sama, kumpulan mahasiswa turut disantuni Ahli Parlimen Sungai Petani, Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau memberikan reaksi positif terhadap kebimbangan mahasiswa berkaitan kebolehpasaran graduan dalam sembang santai di ruang legar Parlimen.

“Beberapa peruntukkan diumumkan sempena Belanjawan 2024 baru-baru ini, melibatkan golongan muda tetapi apa yang menjadi keprihatinan kerajaan adalah menaikkan kadar gaji minimum untuk graduan bagi lepasan ijazah sarjana muda,” katanya.

Beliau turut menyokong keprihatinan kerajaan yang menurutnya sebagai sangat rasional memandangkan kadar gaji minimum masa kini sudah tidak relevan dengan kos sara hidup semasa dan perlu distrukturkan semula.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peluang berdialog bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ahli Parlimen Sri Gading, Johor, Aminolhuda Hassan memberi peluang kepada mahasiswa UIS menyuarakan pendirian jelas dalam usaha menyokong keadilan, keamanan serta kedaulatan umat Islam Palestin dan Semenanjung Gaza.

Mahasiswa UIS juga menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan yang jelas menolak kezaliman serta penindasan oleh rejim Zionis Israel.

Para mahasiswa turut disantuni melalui sesi bual mesra yang menumpukan soal ketenteraan, keselamatan dan pertahanan siber di Malaysia, misi bantuan ke Palestin khususnya di Semenanjung Gaza serta peluang pekerjaan lepasan universiti.

Dalam sesi yang sama, Adly turut memberikan sokongan dan motivasi agar mahasiswa terus menimba ilmu pengetahuan, mengenal pasti dan mengasah potensi diri dalam meningkatkan kemahiran insaniah serta pelbagai kemahiran teknikal dan kecekapan diri.

Mahasiswa UIS juga diberi peluang melawat Pusat Media Parlimen bagi menyaksikan sendiri gerak kerja para pengamal media yang menjalankan kerja-kerja pengumpulan dan pelaporan berita.

Peranan wartawan sangat diberi perhatian utama oleh Parlimen dan menjadi barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat yang benar dan tepat kepada rakyat Malaysia.

Penyelaras Pusat Media Parlimen, Muhamad Zhafry Hakim Abu Khair pula memberikan taklimat ringkas dan padat berhubung operasi Pusat Media Parlimen, prosedur kerja dan profesionalisme dalam hubungan dengan pihak media dan kerajaan.

Maklumat Penulis

Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor, Rahmahtunnisah Sailin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp