5 tip hargai kejayaan anak
Akhir sesi persekolahan adalah waktu yang penuh makna bagi murid-murid, ibu bapa dan guru-guru.
Ia adalah masa di mana sekolah-sekolah seluruh negara menganjurkan majlis anugerah untuk meraikan pencapaian murid-murid mereka.
Sesetengah sekolah memilih untuk mengadakan majlis graduasi bagi murid Tahun Enam dan prasekolah manakala yang lain menghargai kedudukan murid berdasarkan merit.
Ada juga sekolah yang memberikan anugerah kepada semua murid sebagai tanda penghargaan kepada usaha mereka sepanjang tahun.
Tidak dapat dinafikan, kejayaan murid-murid adalah hasil usaha gigih mereka sendiri, tetapi dedikasi guru-guru yang membimbing juga memainkan peranan penting.
Dalam pada itu, sokongan dan perhatian ibu bapa adalah faktor utama yang membantu anak-anak mencapai potensi terbaik mereka.
Bagi ibu bapa, majlis seperti ini bukan sekadar peluang untuk meraikan anak-anak tetapi juga waktu untuk merenung perjalanan mereka sepanjang tahun.
Berikut adalah beberapa tip untuk ibu bapa dalam menghargai dan menyokong kejayaan anak-anak dengan penuh makna:
1) Ucapkan tahniah dengan ikhlas
Berikan ucapan tahniah kepada anak-anak walau apa jua pencapaian mereka.
Kehadiran ke sekolah dan melalui rutin harian sebagai seorang murid adalah pencapaian besar apatah lagi dalam sistem pendidikan yang semakin mencabar.
Setiap usaha, walau kecil, wajar dihargai kerana ia adalah langkah penting dalam perjalanan mereka.
2) Hargai keistimewaan anak
Setiap anak memiliki kelebihan dan potensi tersendiri, walaupun ia mungkin tidak mendapat pengiktirafan rasmi dalam bentuk sijil atau piala.
Sebagai contoh, ada anak yang pandai menjaga hati ibu bapa, menjaga adik-adik dengan baik, mengemas rumah, atau memasak makanan yang mudah.
Keistimewaan ini tidak selalu diiktiraf di sekolah tetapi ia menunjukkan nilai-nilai murni dan tanggungjawab yang akan membawa manfaat besar kepada keluarga dan masyarakat.
3) Bandingkan anak dengan dirinya sendiri
Fokuslah pada kemajuan anak-anak berbanding diri mereka sebelum ini, bukan dengan anak orang lain.
Setiap anak berkembang mengikut keunikan dan waktunya sendiri.
Contohnya, jika anak anda pada awal tahun sukar membaca tetapi kini sudah lancar, itu adalah pencapaian besar yang patut diraikan.
4) Doakan kebaikan untuk anak-anak
Doa adalah cara terbaik untuk menyokong anak-anak terutamanya dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Percayalah bahawa setiap ujian adalah peluang untuk anak-anak belajar dan berkembang.
Doa ibu bapa adalah bekal yang penting dalam perjalanan mereka.
5) Tambah ilmu keibubapaan
Kejayaan anak-anak bergantung bukan hanya pada usaha mereka tetapi juga pada kebijaksanaan ibu bapa dalam memberikan sokongan.
Dengan menambah ilmu keibubapaan, ibu bapa dapat membantu anak-anak dengan lebih baik.
Sebagai contoh, mempelajari cara berkomunikasi dengan berkesan dapat membantu anak-anak merasa lebih dihargai dan didengari.
Menghargai kejayaan anak-anak adalah satu cara untuk memberi motivasi kepada mereka dan mengukuhkan hubungan kasih sayang dalam keluarga.
Semoga panduan ini membantu ibu bapa mencipta momen yang lebih bermakna bersama anak-anak mereka.
Maklumat Penulis:
Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Soraya Lin Abdullah Kamal
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my