
Adakah industri muzik Malaysia bersedia dengan muzik AI?
Boleh dikatakan hampir setiap lapisan masyarakat bercakap soal teknologi AI tidak kira di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, universiti mahupun pekerja di sektor awam mahupun swasta.
Harus diakui teknologi AI ini sesuatu yang hebat dan harus diambil tahu oleh setiap daripada kita bagi mendepani cabaran masa hadapan.
Ianya bukan sekadar dapat membantu mempercepatkan kerja, menjimatkan kos, juga menjadikan seseorang dapat bekerja bersendirian menghasilkan sesuatu perkara dengan hanya menaip dan meminta dengan teknologi ini, dalam erti kata lain melalui ‘prompt’ di sesebuah peranti sahaja.
Maka semua kita mempunyai minat ingin mencubanya.
Elemen karya kreatif juga tidak dapat lari dari diaplikasikan dari teknologi AI ini. Samada penciptaan komposisi lagu mahupun pembikinan perfileman atau video yang dikatakan dapat ‘disempurnakan’ oleh teknologi AI ini.
Saban hari kita dapat melihat iklan atau ads di laman rangkaian media sosial untuk belajar membuat video melalui teknologi AI. Begitu juga terdapat iklan dari sesebuah syarikat produksi muzik bebas yang memberikan tawaran pembikinan sesebuah komposisi muzik lagu yang jauh lebih murah bernilai puluhan ringgit atau ratusan ringgit sahaja.
Pelanggan juga ditawarkan dengan 3 pilihan komposisi berlainan. Namun hasil karya dan kualitinya masih menjadi perdebatan. Tidak dinafikan dari sebelah sudut menyatakan bahawa teknologi ini bakal merancakkan industri muzik negara.
Namun harus juga dipandang sudut lain, adakah lagu yang dihasilkan oleh Teknologi AI ini dapat membangunkan lagi industri muzik negara ke tahap lebih tinggi atau sebaliknya.
Bayangkan bila kita membuka radio di dalam kereta dan mendengar sebuah lagu balada baharu yang ‘fuhhh! sedapnya’, vokalnya pun padu setanding suara penyanyi terkenal. Sememangnya hebat dan mengagumkan.
Namun apabila membuat carian di platform seperti YouTube, tiada profiling penyanyi tersebut, tiada video muzik cuma satu nama pelik dan tajuk lagu yang seakan dihasilkan oleh robot.
Ya, inilah fenomena baharu muzik AI yang semakin menular dan ia sudah sampai ke Malaysia! Tapi sejauh manakah industri muzik Malaysia bersedia menerima hakikat ini?
Ciri muzik lagu AI
Walaupun konsep lagu ciptaan mesin atau lebih dikenali sebagai komposisi computer music sudah bermula sejak 1950-an, namun pada pertengahan 2010-an teknologi muzik AI mula berkembang dan berupaya menghasilkan pop komersial dengan vokal dan yang berstruktur lengkap.
Dalam tempoh kurang 10 tahun, AI telah mengubah cara lagu dihasilkan dari makmal ke pentas maya.
Hanya melalui prompt tertentu contohnya seperti mood, genre, kata kunci lirik yang dikehendaki oleh pencipta teknologi AI ini sudah mampu mencipta melodi, menulis lirik, seterusnya menghasilkan vokal rakaman suara seakan-akan manusia sebenar dan semua itu berlaku dalam beberapa saat sahaja.
Mungkin bagi mereka yang mempunyai ilmu mendalam tentang muzik dapat menilai hasil muzik AI contohnya frasa atau phrasing lagu yang tidak cukup dan kedengaran asymmetry.
Perkara ini akan menyebabkan lagu ini kedengaran tiada ruang rehat hela nafas bagi penyanyinya. Struktur melodi yang terhasil pula agak linear dan kurang mempunyai kejutan kejutan tertentu seperti seperti klimaks sesebuah lagu yang kebiasaanya mempunyai not melodi yang tertinggi dan bertindak menguji vokal penyanyi sebenar.
Begitu juga form lagu yang dilihat berulang seperti Verse-Chorus-Verse-Chorus-Bridge-Chorus yang terhasil dari teknologi ini dilihat sinonim dengan kebanyakkan lagu-lagu pop. Manakala penghasilan elemen lirik yang dihasilkan teknologi AI ini dilihat kurang bermain dengan ‘mainan bahasa’ ataupun metafora.
Apabila lagu AI menggunakan lirik dalam Bahasa Melayu, vokalnya kadang-kadang kedengaran seperti dari Indonesia di mana sebutan ataupun diction terdengar berbeza daripada nyanyian lagu Melayu di Malaysia.
Pendek kata, penghasilan keseluruhan elemen menggunakan teknologi AI ini dilihat agak klise dan kurang berkekspresi berbanding daripada sentuhan jiwa bagi seseorang komposer, penulis lirik serta bentuk nyanyian penyanyi yang sebenar.
Komposer mula rasa tercabar
Satu proses pembikinan sesebuah lagu yang biasanya ambil masa berminggu-minggu untuk dihasilkan oleh manusia, direkod secara live dan melalui proses rakaman track by track kemudianya melalui proses seperti mixing, mastering dan sebagainya.
Untuk sesebuah album lagu biasanya mengambil masa 6 bulan ke 1 tahun.
Namun dengan teknologi AI kini boleh dibuat dalam beberapa minit tanpa mempunyai bakat dan kemahiran muzik.
Pernah penulis bercerita bersama seorang komposer tempatan yang mengeluh mengatakan 'Kalau semua boleh guna AI buat lagu, kami ni nak makan apa?'. Katanya, sudah ada pelanggan yang minta ‘guna AI saja, jimat kos’ untuk sesebuah penerbitan lagu.
Cepat, dan murah pula tu dan katanya kita kena ‘ikut trend’ tapi persoalannya adalah nilai seninya terletak di mana?
Sememangnya tidak dinafikan sesebuah entiti contohnya seperti syarikat korporat, NGO, persatuan mahupun kelab yang inginkan mempunyai lagu rasmi entiti mereka tidak menghiraukan aspek keaslian dan memilih untuk membuat lagu menggunakan teknologi AI ini, yang harganya jauh lebih murah dengan hanya melanggan sesebuah platform yang hanya berkadaran RM 50.00 sehingga RM 300.00 sebulan berbanding bayaran kadar lagu yang lebih tinggi berdasarkan ciptaan oleh seseorang komposer yang mempunyai kelayakan serta berpengalaman.
Namun persoalannya di sini adakah pembikinan lagu AI tersebut boleh disesuaikan dengan konteks lagu komersial sekiranya diterbitkan? Siapakah yang boleh mendapatkan hak sebenar ciptaan dan royalti tersebut sekiranya dikomersialkan?
Harta intelek siapa punya?
Sekiranya diamati kebanyakkan lagu yang dicipta oleh AI biasanya dihasilkan berdasarkan penghasilan dari data lagu-lagu popular sedia ada.
Turut dikenalpasti adalah elemen vocal cloning iaitu bila suara mirip seseorang artis terkenal ‘ditiru’ oleh teknologi ini tanpa kebenaran. Vokal yang terhasil juga seolah kedengaran tidak kendengaran natural seolah ‘pitchy’ mungkin disebabkan melalui proses ‘Auto-tune’ yang terkandung dalam aplikasi tersebut.
Tetapi bagi mereka yang kurang berkemahiran dan menghargai karya seni, ianya tidaklah menjadi masalah yang harus difikirkan.
Akan tetapi, bagi penggiat seni seperti komposer, penulis lirik, penyanyi itu sendiri kepada siapakah yang boleh mereka rujuk untuk dipertanggungjawabkan atas isu sebegini?
Terdapat hasil kajian badan Antarabangsa di France yang menyatakan kebimbangan terhadap pasaran muzik global yang bakal mengalami kerugian berjumlah hampir RM 60 billion pada tahun 2028 nanti.
Usaha menangani perkara ini telah giat diaktifkan di negara barat. Contohnya Di barat misalannya, terdapat perisian atau aplikasi Muzik AI telah disaman oleh Syarikat Muzik terkenal.
Di Malaysia, undang-undang muzik AI ini dilihat masih samar. Akta Hakcipta 1987 perlu segera ditambahbaik agar dapat menghalang perkara ini berlaku.
Ramai di luar sana masih belum jelas adakah lagu ciptaan AI ini sah di sisi undang-undang?
Bolehkah ia bertanding dalam anugerah muzik? Dari sudut manakah penilaian keaslian sesebuah lagu AI dapat dinilai?
Budaya kita, cara kita
Malaysia ini terkenal dengan kekayaan bunyi dan identiti muziknya. Contohnya dari sudut muzik Melayu tradisional kita punya paten muzik berentak joget, inang, asli, zapin.
Penulis merasakan teknologi AI masih belum mampu membuat muzik Melayu sedemikian rupa. Ini adalah kerana muzik yang dihasilkan oleh AI masih bersandarkan oleh data-data penghasilan muzik dari luar negara seperti muzik pop barat.
Di sini nampaknya masih ada ruang untuk kita pertahankan identiti muzik tempatan.
Peluang ini juga harus diambil oleh penggiat muzik tradisional untuk menghidupkan kembali muzik Melayu tradisional ini bagi terus diminati oleh anak-anak muda generasi Genarasi Z dan Generasi Alpha.
Namun harus diingat pengkalan data yang dimiliki oleh teknologi AI ini semakin hari semakin berkembang dan dikemaskini agar terus lebih relevan, maka dengan itu komposer dan penggiat seni tempatan jangan memandang enteng tentang perihal ini.
Masa depan: Perlu seimbang
Apa pun, teknologi tidak boleh dielak. Soalnya sekarang, bagaimana kita dapat mengawal dan menggunakan teknologi AI ini dalam pembikinan sesebuah komposisi lagu secara bijak. Kalau sesebuah penghasilan akademik, ianya boleh dikenal pasti ketulenan dan juga ciri plagiat dari perisian seperti ‘turnitin’.
Artikel yang disemak akan diberikan peratusan persamaan dengan artikel lain yang pernah diterbitkan sebelum ini.
Perisian ini juga dilihat mengikut arus semasa apabila telah ditambahbaik dan turut dapat menyemak peratusan pengunaan AI yang digunakan oleh sesebuah artikel. Mungkin perlunya pihak yang berperanan di Malaysia untuk mewujudkan perisian sebegini rupa untuk dibangunkan segera bagi mengenal pasti ketulenan komposisi muzik dalam sesebuah lagu.
Dalam pada itu, segala garis panduan pembikinian komposisi muzik sesebuah lagu AI mesti diisytihar oleh seseorang penerbit, penulis lirik serta artis terlibat perlu diberi label khas agar ianya dapat diklasifikan dalam kategorinya yang tersendiri.
Dalam masa yang sama badan-badan berkenaan hakcipta dan royalti Muzik di Malaysia, persatuan penggiat seni terlibat, syarikat produksi muzik serta badan kerajaan mahupun swasta perlulah sama sama bergandinga bahu di meja bulat bagi menangani masalah ini dengan segera.
Moga pendapatan mencari sesuap nasi bagi penggiat muzik dalam industri muzik Malaysia tidak menjadi bubur.
Maklumat penulis
Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis, Dr Mohd Izwan Izhar Haris
Ringkasan AI
- Teknologi AI mampu menghasilkan karya kreatif termasuk komposisi lagu dan video dengan cepat dan menjimatkan kos
- Keupayaan teknologi AI mencipta muzik menimbulkan persaingan dengan komposer manusia dan membangkitkan persoalan tentang nilai seni
- Karya muzik AI sering kepincangan dalam hal keaslian dan ekspresi berbanding karya manusia sebenar
- Undang-undang dan garis panduan tentang hakcipta dan royalti untuk karya muzik AI di Malaysia dilihat masih samar
- Penggunaan teknologi AI dalam muzik memerlukan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan penghormatan terhadap ciptaan manusia asli