Syukur adalah suatu yang subjektif berdasarkan pandangan dan pengetahuan seseorang individu. Gambar kecil: Nurul Ashikin.
Syukur adalah suatu yang subjektif berdasarkan pandangan dan pengetahuan seseorang individu. Gambar kecil: Nurul Ashikin.

Apakah kita melahirkan generasi muda semakin kurang bersyukur?

NURUL ASHIKIN ALIAS
25 Jun 2024 07:30am
A
A
A

“Jangan pernah bimbang dengan rezekimu yang telah pun diatur, yang penting adalah kamu terus bersyukur”.

Ia sebuah kata-kata yang perlu ditanam dalam fikiran masyarakat kita pada masa kini bagi memastikan kesihatan mental dan tahap kepuasan hidup yang optimum kerana tanpa terlalu memikirkan sesuatu yang belum pasti adalah lebih baik bagi mengurangkan beban fikiran seseorang individu.

Namun, keadaan ini bukanlah kayu ukur yang menunjukkan bahawa kita tidak perlu berusaha untuk mencapai sesuatu. Tugas kita sebagai manusia hanyalah terus berusaha untuk mencapai sesuatu matlamat tanpa perlu terlalu memikirkan hasil akhirnya.

Apabila kita terlalu memikirkan hasil akhir sesuatu perkara berkemungkinan akan menjadi penghalang untuk mencapai sesuatu.

Kehidupan pada zaman yang penuh cabaran ini sesungguhnya menuntut setiap individu untuk mempunyai tahap ketahanan mental, fizikal dan jadi diri yang tinggi bagi memastikan kesejahteraan kehidupan pada masa akan datang.

Bagi memastikan masyarakat zaman kini mampu mengharungi kehidupan penuh cabaran ini dengan baik maka adalah penting untuk kita membentuk sifat bersyukur dalam kalangan generasi kini.

Hakikatnya, tahap kesukaran kehidupan akan semakin bertambah dari semasa ke semasa disebabkan oleh beberapa faktor sama ada faktor dalaman atau luaran itu sendiri.

Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan, sifat bersyukur atau berterima kasih ini adalah sering dikaitkan dengan pelbagai hasil yang positif termasuk perasaan bahagian yang lebih besar, impak positif, sifat optimis dan juga keyakinan yang tinggi.

Sifat bersyukur dikatakan mempunyai perhubungan positif secara lansung yang signifikan dengan tahap kepuasan kehidupan seseorang individu. Di mana sifat itu adalah penting dalam membentuk kehidupan yang lebih baik dengan memperkukuhkan lagi kesihatan mental dan fizikal, memastikan tingkah laku yang lebih pro-sosial dengan perhubungan berkualiti tinggi. Keadaan tersebut akan memacu seseorang individu untuk melalui kehidupan mereka yang lebih bermakna.

Berdasarkan satu kajian yang telah dilakukan oleh Stoeckel dan rakan-rakan pada tahun 2016, individu yang mempunyai sifat bersyukur lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran kehidupan berbanding individu yang kurang mempunyai sifat bersyukur. Individu yang lebih mempunyai sifat bersyukur kurang mengalami kebimbangan, tekanan dan kemurungan.

Syukur adalah merupakan satu tindakan yang subjektif berdasarkan kepada pandangan dan pengetahuan seseorang individu itu. Namun, tindakan bersyukur itu adalah merupakan salah satu indikator yang dapat menunjukkan tahap akhlak, kematangan dan juga kesejahteraan kehidupan seseorang individu.

Perkataan syukur itu sendiri mungkin mampu untuk diucapkan dibibir. Namun, persoalannya adakah perasaan bersyukur itu mampu dirasakan dalam hati sanubari seseorang secara sebenar-benarnya sekali gus, terpancar dari tindakan yang menggambarkan rasa syukur tersebut dalam kehidupan?

Keadaan ini dapat dilihat apabila terdapat sebilangan golongan kanak-kanak dan remaja yang termasuk dalam kategori generasi daripada Generasi Z dan Gen Alpha pada masa kini kurangnya mempunyai sifat bersyukur dan berterima kasih apabila menerima pemberian dari pihak lain.

Situasi itu mula dilihat apabila masyarakat membincangkan tentang sebilangan kanak-kanak dan remaja yang mempersoalkan jumlah wang pemberian tuan rumah ketika sesi berziarah Hari Raya Aidilfitri.

Keadaan ini ditambah lagi apabila terdapat juga golongan dewasa yang juga berstatus ibu bapa dengan secara terang-terangan mengutarakan pendapat mereka yang tidak bersetuju dan mempersoalkan jumlah pemberian duit raya kepada kanak-kanak di ruangan status media sosial mereka sehingga menjadi tular dan perbincangan hangat di kalangan warga maya.

Walaupun pada hakikatnya jumlah pemberian wang tersebut bukanlah suatu kewajipan ke atas tuan rumah tetapi adalah lebih bersifat menyantuni tetamu yang hadir berdasarkan kepada kemampuan tuan rumah tersebut.

Berdasarkan kes ini, dapat kita lihat sekiranya golongan dewasa sahaja gagal untuk memberikan contoh yang baik kepada golongan kanak-kanak dan remaja, maka bagaimana mungkin kita akan mampu memastikan bahawa generasi masa depan yang akan memimpin negara ini akan mewarisi sifat-sifat yang mampu membentuk masyarakat sejahtera pada masa akan datang.

Maka tindakan mengabaikan tingkahlaku bersyukur ini seharusnya tidak dinormalkan di kalangan masyarakat.

Berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2020, terdapatnya perkaitan positif di antara sifat bersyukur dan berterima kasih dengan tahap kesejahteraan hidup seseorang individu terutama dalam kalangan golongan dewasa dan juga remaja dalam lingkungan umur di antara 10 hingga 19 tahun.

Namun, kajian bagi perkaitan ini masih tidak begitu jelas bagi golongan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun kerana secara konseptualnya rata-rata kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 5 tahun sudah mampu untuk memahami pelbagai keadaan senario yang dapat menimbulkan perasaan bersyukur.

Selain itu, kanak-kanak juga mampu memahami perkara-perkara yang perlu disyukuri berdasarkan kepada pemahaman kendiri kanak-kanak tersebut dan juga berdasarkan pelaporan dari perspektif ibubapa kanak-kanak.

Kesimpulannya, tingkah laku bersyukur bagi seseorang individu terhadap sesuatu nikmat perlulah dibentuk bermula dari peringkat kanak-kanak lagi. Walaupun pada hakikatnya tahap pemahaman seorang kanak-kanak pada umur di bawah 10 tahun masih lagi dalam keadaan terhad. Pada masa yang sama, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mencorakkan tingkahlaku dan sifat anak-anak itu sendiri.

Bak kata pepatah “Bagaimana kuih, begitulah acuannya’. Pembentukan sifat bersyukur akan menjadikan menjadikan masyarakat ini mempunyai akhlak dan tingkah laku yang baik serta pada masa yang sama mampu memastikan kesejahteraan mental di kalangan masyarakat berada pada paras optimum.

Maklumat Penulis

Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, Dr Nurul Ashikin Alias

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok