Beban hutang melampau yang berasal dari pinjaman pelajaran, pembiayaan peribadi dan kad kredit memberi kesan buruk terhadap kestabilan kewangan peribadi. Gambar kecil: Aini Anisah
Beban hutang melampau yang berasal dari pinjaman pelajaran, pembiayaan peribadi dan kad kredit memberi kesan buruk terhadap kestabilan kewangan peribadi. Gambar kecil: Aini Anisah

Beban hutang generasi muda: Mengapa perlu bertindak sekarang?

08 Dec 2024 11:10am

Hutang merupakan satu krisis kewangan yang dianggap sebagai sebahagian daripada kehidupan moden.

Belakangan ini, krisis hutang yang dihadapi oleh generasi muda khususnya golongan belia yang baru melangkah ke dunia pekerjaan semakin menjadi bualan umum.

Beban hutang melampau yang berasal dari pinjaman pelajaran, pembiayaan peribadi dan kad kredit memberi kesan buruk terhadap kestabilan kewangan peribadi serta ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, peluang pekerjaan terbatas dan keinginan memiliki gaya hidup mewah, ramai golongan muda masa kini terjerat dengan masalah hutang yang membebankan.

Tidak dinafikan golongan ini kini menghadapi pelbagai cabaran ekonomi yang tidak dapat dielakkan.

Masalah ini bermula daripada kenaikan harga barang keperluan, kos pendidikan dan bayaran kenderaan serta rumah.

Dengan jumlah gaji yang sedikit, mereka terpaksa mengimbangi kewangan dengan mengambil inisiatif untuk membuat pinjaman atau berhutang.

Menurut statistik, golongan muda telah menjadi penyumbang utama tertinggi dalam kadar hutang isi rumah di Malaysia dan terus meningkat hari demi hari.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan Bank Negara Malaysia, golongan muda yang berumur antara 25 hingga 35 tahun merupakan kelompok paling tinggi yang terjejas dengan beban hutang.

Pinjaman pendidikan yang diberikan oleh pihak kerajaan telah menjadi batu penghalang kepada individu kerana mereka masih tidak mampu untuk membayar semula wang ditambah pula desakan ekonomi yang mendorong untuk meminjam dengan lebih banyak melalui kad kredit bagi memenuhi keinginan masing-masing.

Masalah hutang yang dihadapi generasi muda tidak hanya memberikan kesan kepada kewangan individu malah ia turut memberi dampak negatif kepada ekonomi secara keseluruhan.

Kesulitan golongan muda dalam merancang masa depan kewangan mereka seperti membeli rumah atau melabur dalam perniagaan akan membawa kepada tekanan psikologi yang tinggi.

Kesan dari itu, daya saing dan inovasi yang diperlukan oleh ekonomi negara untuk mencapai pertumbuhan mampan tidak mampu untuk dilaksanakan.

Pengetahuan asas pengurusan kewangan

Ramai dalam kalangan muda masa kini tidak mempunyai pengetahuan asas berkaitan pengurusan kewangan.

Oleh sebab itu, amalan berbelanja yang tidak terkawal, kurang bijak dan hanya mengikut nafsu semata telah memakan diri mereka sendiri. Ketidaktahuan ini turut menjadi punca kepada pengurusan kewangan yang lemah di mana mereka cenderung untuk meminjam tanpa memikirkan kesan yang akan diterima pada masa akan datang.

Ketidaksediaan pendidikan berkaitan kewangan yang mencukupi kepada golongan muda sememangnya akan membawa kemudaratan kepada semua pihak.

Selain itu, dalam kes berkaitan keperluan pinjaman untuk pendidikan juga merupakan satu beban yang besar.

Meskipun pendidikan merupakan satu pelaburan yang penting, kos untuk pendidikan adalah tinggi dan mahal.

Hal ini telah mendorong mereka untuk membuat pinjaman pendidikan.

Namun, setelah tamat pengajian, ramai dari golongan peminjam ini tidak mampu untuk membayar semula hutang kerana mereka tidak memperoleh pekerjaan sesuai dengan kelayakan yang menyebabkan mereka mengalami kesulitan untuk melunaskan hutang pinjaman pendidikan.

Gaya hidup moden dipengaruhi media sosial turut menjadi faktor yang menyebabkan golongan muda ini terjebak dengan hutang.

Mereka cenderung membeli dan memiliki barang-barang mewah, bercuti di kawasan popular dan menginginkan kehidupan ‘berkelas’ supaya dipandang masyarakat.

Oleh sebab itu, mereka tidak teragak-agak untuk berbelanja lebih dari kemampuan serta sanggup menggadaikan masa depan kewangan demi memenuhi kehendak peribadi.

Krisis hutang dalam generasi muda ini sememangnya memberikan impak besar terutama kepada kesejahteraan mental dan sosial individu.

Sekiranya kesejahteraan mental tidak mampu untuk dikawal, ini boleh membawa kepada kesan yang lebih besar seperti kemurungan dan bunuh diri.

Hal ini berlaku kerana peminjam merasa terperangkap di dalam hutang yang banyak dan sukar untuk dilunaskan.

Tekanan untuk membayar hutang menyebabkan stres melampau dan masalah gangguan sukar tidur.

Tanpa pengurusan wang yang baik, mereka akan berhadapan dengan masalah untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal.

Mereka juga tidak berpeluang untuk membuat simpanan mahupun pelaburan.

Akibat dari hutang yang tiada kesudahan, hubungan kekeluargaan dan sosial yang dibina akan terjejas dan memberi impak kepada seluruh masyarakat kerana negara terpaksa bergelut dengan masalah kewangan serius.

Tenaga penggerak ekonomi negara

Golongan generasi muda seharusnya menjadi tenaga penggerak kepada ekonomi negara kerana generasi inilah yang akan menjadi pemacu ekonomi negara akan datang.

Krisis yang wujud ini juga menjejaskan kemampuan negara untuk memperkukuh ekonomi.

Jika golongan muda banyak menanggung hutang dan tidak menyokong ekonomi negara, ia secara tidak langsung akan mengganggu pelbagai industri perkhidmatan seperti kilang, kedai runcit dan sektor-sektor lain yang bergantung sepenuhnya kepada permintaan pengguna.

Dengan itu, ekonomi negara sukar untuk dirancang dan dikembangkan ke arah yang lebih maju.

Masalah hutang dalam kalangan generasi muda ini tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Sekiranya masalah ini tidak dapat ditangani dengan serius, krisis ini akan memberi kesan negatif untuk generasi akan datang.

Pendidikan kewangan merupakan kunci untuk mengurangkan krisis hutang yang berlaku dalam kalangan generasi muda.

Pengetahuan yang betul tentang cara mengurus wang peribadi dan pentingya menabung perlu diterapkan untuk mengelakkan budaya suka berhutang.

Institusi pendidikan berperanan untuk memperkenalkan modul pendidikan kewangan di peringat sekolah dan universiti.

Dengan ini, golongan muda dapat memahami kepentingan menguruskan wang sejak awal.

Program perundingan kewangan dan bimbingan dalam mengurus hutang juga perlu diperkenalkan oleh institusi kewangan dan pihak bank untuk membantu golongan yang terlibat dalam hutang tidak terkawal ini.

Pihak bertanggungjawab juga perlu memainkan peranan mengkaji semula kadar faedah yang dikenakan kepada peminjam supaya ia tidak terlalu membebankan terutama yang melibatkan waktu pembayaran panjang.

Kerajaan dan institusi kewangan yang terlibat juga perlu meneliti kaedah pembiayaan pendidikan yang lebih efisyen, berpatutan dan berkesan.

Di samping membaik pulih kaedah pembiayaan ini, kaedah pembayaran semula hutang juga perlu lebih fleksibel.

Selain pendidikan kewangan secara formal, masyarakat perlulah mengamalkan budaya pengurusan wang dengan baik.

Amalan menabung

Amalan menabung dan berbelanja mengikut kemampuan perlulah dijadikan sebagai norma dalam kehidupan seharian mereka.

Dengan itu, mereka tidak cenderung untuk berhutang kerana sudah terbiasa untuk hidup secara bersederhana.

Melalui sokongan sosial yang padu serta contoh model yang boleh dijadikan sebagai ikutan juga dapat mengelakkan golongan muda daripada dibelenggu hutang.

Dengan itu, golongan muda akan lebih bijak untuk menguruskan wang dalam kehidupan.

Akses kepada peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada golongan muda yang baru menamatkan pendidikan perlu dipandang serius.

Peluang pekerjaan yang disediakan juga perlulah bersesuaian dengan kelayakan pendidikan yang dimiliki oleh mereka.

Dengan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak dan stabil, golongan muda dapat diberikan peluang dan ruang untuk membayar semula hutang mereka.

Selain dari menguntungkan, mereka juga dapat merancang masa depan kewangan dengan lebih baik.

Sebagai rumusan, krisis hutang yang dihadapi oleh generasi muda ini tidak boleh dipandang enteng.

Tanpa tindakan yang serius, mereka akan terjerumus dalam beban hutang yang secara tidak langsung akan memberi kesan buruk kepada mereka dan ekonomi negara.

Oleh sebab itu, adalah penting untuk memastikan setiap masyarakat khususnya golongan muda mempunyai kesedaran penuh terhadap kepentingan pendidikan kewangan dalam hidup mereka.

Tindakan positif yang diambil membantu golongan muda untuk mencapai masa depan yang stabil di samping dapat meningkatkan ekonomi negara.

Maklumat Penulis:

Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu, Aini Anisah Ramli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp