Mengimbangi bekalan dan permintaan: Menangani isu krisis beras di Malaysia
Beras memainkan peranan penting sebagai makanan ruji utama di Malaysia dan seluruh Asia.
Hampir setiap isi rumah di Malaysia bergantung pada beras sebagai sumber utama karbohidrat sekaligus menjadikannya komoditi yang amat penting dari segi sosial dan ekonomi.
Dalam konteks ini, kestabilan bekalan dan harga beras menjadi isu yang amat sensitif kerana sebarang gangguan boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Baru-baru ini, terdapat laporan mengenai kekurangan bekalan beras tempatan yang mencetuskan kebimbangan terhadap kemampuan negara untuk memenuhi keperluan domestik.
Pengeluaran beras tempatan di Malaysia hanya mencukupi sekitar 60% daripada permintaan, menyebabkan negara bergantung kepada import untuk menampung baki 40%.
Walau bagaimanapun, faktor luaran seperti perubahan dasar eksport oleh negara pembekal termasuk sekatan eksport beras oleh India telah menyebabkan gangguan kepada bekalan antarabangsa.
Situasi ini bukan sahaja menyukarkan pengimport mendapatkan bekalan mencukupi tetapi juga mendorong kenaikan harga beras import secara mendadak.
Malaysia hanya mampu menghasilkan sekitar 60% daripada keperluan berasnya, sementara baki 40% diimport dari luar negara.
Sasaran kerajaan untuk mencapai 70% tahap sara diri (self-sufficiency level, SSL) dalam pengeluaran beras tempatan sering tergugat oleh pelbagai halangan. Salah satu faktor utama ialah tanah pertanian yang semakin berkurangan akibat perubahan guna tanah.
Pembangunan bandar yang pesat di kawasan sawah strategik telah mengurangkan kapasiti pengeluaran domestik.
Selain itu, banyak petani masih menggunakan teknik pertanian tradisional yang kurang efisien sekali gus menyukarkan usaha untuk meningkatkan hasil per hektar.
Di samping itu, kos input seperti baja, racun serangga dan bahan api terus meningkat malah membebankan petani dengan mengurangkan margin keuntungan.
Walaupun kerajaan menyediakan subsidi, ia tidak mencukupi untuk menampung kos pengeluaran yang semakin tinggi.
Tambahan pula, generasi muda semakin kurang berminat untuk menceburi bidang pertanian kerana melihatnya sebagai sektor yang tidak menjanjikan kestabilan kewangan.
Ini mengakibatkan penurunan jumlah petani aktif sekaligus meningkatkan lagi cabaran dalam memenuhi keperluan pengeluaran domestik.
Malaysia mengimport antara 30% hingga 40% bekalan berasnya daripada negara-negara pengeluar utama seperti Thailand, Vietnam dan India.
Pergantungan ini menyebabkan negara terdedah kepada pelbagai risiko luar termasuk perubahan dasar perdagangan di negara pembekal.
Pada tahun 2023, India mengenakan sekatan eksport beras untuk menampung keperluan domestik yang secara langsung menyebabkan kenaikan harga beras import di Malaysia.
Ketergantungan ini juga menjadikan negara terdedah kepada turun naik harga di pasaran antarabangsa.
Sebarang gangguan dalam rantaian bekalan global sama ada akibat konflik geopolitik, bencana alam atau perubahan dasar perdagangan boleh menyebabkan ketidaktentuan bekalan.
Ini memberi impak langsung kepada harga beras dalam negara yang akhirnya membebankan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).
Perubahan iklim adalah ancaman serius kepada sektor pertanian padi di Malaysia. Fenomena cuaca ekstrem seperti banjir, kemarau dan kenaikan paras air laut telah menjejaskan hasil tanaman padi di kawasan-kawasan utama seperti Kedah, Perlis dan Perak.
Sebagai contoh, banjir besar yang melanda kawasan pengeluaran utama pada awal tahun ini menyebabkan kemusnahan besar kepada tanaman padi yang sedang masak sekaligus mengurangkan hasil keseluruhan musim tersebut.
Selain itu, cuaca yang tidak menentu menyukarkan petani untuk merancang jadual penanaman dan penuaian padi dengan tepat.
Keadaan ini menyebabkan penurunan produktiviti malah meningkatkan kebergantungan kepada import untuk menampung keperluan domestik.
Pengurusan rantaian bekalan beras di Malaysia turut berdepan pelbagai isu termasuk ketirisan, monopoli dan spekulasi harga.
Wujud dakwaan bahawa segelintir pihak memanipulasi pasaran untuk keuntungan sendiri menyebabkan ketidakstabilan harga dan bekalan beras.
Sebagai contoh, subsidi yang diperuntukkan kepada petani tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasaran disebabkan kelemahan dalam sistem pengagihan.
Tambahan pula, ketidakcekapan dalam pengurusan stok dan pengagihan bekalan sering menyebabkan situasi kekurangan bekalan di pasaran tempatan walaupun sebenarnya stok beras mencukupi.
Masalah ini mencerminkan perlunya reformasi dalam sistem pengurusan rantaian bekalan bagi memastikan keadilan kepada petani dan pengguna.
Kenaikan harga beras memberikan kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40 yang bergantung kepada beras sebagai makanan asas.
Sebagai makanan ruji, beras merupakan bahagian utama dalam perbelanjaan dapur kebanyakan keluarga. Apabila harga beras meningkat, keluarga miskin terpaksa mengurangkan perbelanjaan keperluan lain seperti pendidikan, kesihatan dan penjagaan anak.
Situasi ini boleh membawa kepada peningkatan kadar keciciran pendidikan dalam kalangan kanak-kanak serta masalah kesihatan akibat kekurangan nutrisi.
Bagi golongan M40 dan T20, kenaikan harga beras juga memberi kesan kepada pola perbelanjaan mereka.
Walaupun mereka mungkin mempunyai kemampuan kewangan yang lebih tinggi, pengalihan belanja kepada makanan asas boleh mengurangkan perbelanjaan untuk barangan atau perkhidmatan lain sekali gus melambatkan pertumbuhan sektor-sektor lain dalam ekonomi.
Dalam jangka panjang, situasi ini menyumbang kepada kelembapan ekonomi negara secara menyeluruh.
Krisis bekalan beras juga mencerminkan kelemahan daya tahan sektor pertanian tempatan. Antara punca utama ialah kemerosotan minat generasi muda untuk menceburi bidang ini.
Sektor pertanian sering dianggap kurang menarik kerana pendapatan yang tidak menentu, kurang penggunaan teknologi moden dan sokongan dasar yang terhad.
Jika trend ini berterusan, Malaysia berisiko kehilangan tenaga kerja berkemahiran dalam sektor ini. Tanpa tindakan segera, sektor pertanian padi negara akan terus merosot dengan penurunan pengeluaran domestik dan peningkatan kebergantungan kepada import.
Ini bukan sahaja melemahkan daya saing sektor pertanian tetapi juga mengancam kelangsungan jangka panjang industri makanan negara.
Dalam keadaan yang lebih kritikal, kehilangan sektor pertanian yang mampan boleh menyebabkan pengurangan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar dan meningkatkan kadar kemiskinan.
Krisis bekalan beras juga memberi tekanan kepada ekonomi negara. Apabila Malaysia perlu mengimport lebih banyak beras untuk memenuhi permintaan domestik, ianya meningkatkan defisit perdagangan negara.
Wang yang sepatutnya digunakan untuk melabur dalam pembangunan infrastruktur atau sektor strategik lain perlu dialihkan untuk membiayai import makanan asas.
Selain itu, kebergantungan tinggi kepada import bermakna negara mempunyai kawalan yang terhad terhadap harga dan bekalan beras.
Perubahan harga di pasaran global secara langsung mempengaruhi kos di peringkat domestik yang menyukarkan kerajaan untuk menstabilkan harga melalui subsidi atau Intervensi.
Pemodenan sektor pengeluaran padi adalah langkah utama untuk meningkatkan produktiviti. Kerajaan boleh memperkenalkan teknologi moden seperti automasi, penggunaan dron dan pertanian pintar.
Teknologi ini dapat membantu petani meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos buruh dan mengoptimumkan penggunaan sumber.
Kerajaan perlu menyediakan insentif untuk menarik minat generasi muda menyertai sektor ini. Latihan teknikal dalam pengurusan ladang moden dan subsidi bagi peralatan teknologi tinggi dapat memberi keyakinan kepada mereka bahawa pertanian boleh menjadi kerjaya yang menguntungkan.
Dengan menambah bilangan petani muda yang berkemahiran tinggi, Malaysia dapat meningkatkan tahap sara diri dalam pengeluaran beras.
Malaysia kini terlalu bergantung kepada beberapa negara luar sebagai pembekal beras. Pergantungan ini menjadikan negara terdedah kepada risiko sekatan eksport atau kenaikan harga di negara-negara tersebut.
Oleh itu, Malaysia perlu memperluaskan rangkaian import dengan mencari pembekal alternatif dari negara lain seperti Myanmar atau Kemboja.
Tambahan pula, penubuhan stok penimbal strategik yang mencukupi harus diperluaskan untuk memastikan bekalan yang stabil semasa krisis.
Stok penimbal ini boleh digunakan untuk menampung kekurangan bekalan semasa kecemasan seperti gangguan import akibat bencana alam atau konflik geopolitik.
Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) amat penting untuk menghasilkan varieti padi baharu yang lebih tahan terhadap perubahan cuaca ekstrem, perosak dan penyakit.
Varieti ini juga perlu memberikan hasil yang lebih tinggi untuk meningkatkan produktiviti tanah pertanian sedia ada.
Selain itu, penyelidikan mengenai kaedah penanaman yang lebih mesra alam seperti sistem pertanian berasaskan agroekologi boleh membantu petani mengurangkan kos pengeluaran sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Teknologi pengairan terkini juga dapat membantu dalam mengatasi masalah kekurangan air akibat perubahan iklim.
Pengurusan tanah pertanian yang lebih baik adalah penting untuk memastikan kelestarian sektor pengeluaran padi.
Tanah sawah strategik perlu dilindungi daripada ditukar guna untuk pembangunan perumahan atau perindustrian.
Dasar yang tegas dan jelas perlu diperkenalkan untuk melindungi kawasan pertanian daripada pembangunan yang tidak terkawal.
Selain itu, inisiatif lain seperti mewujudkan zon pertanian khas yang dikhaskan untuk penanaman padi boleh membantu memastikan tanah pertanian kekal produktif.
Kerajaan juga boleh memberikan insentif cukai kepada pemilik tanah yang mengekalkan kawasan mereka sebagai tanah pertanian.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Nur Anissa Sofia Mohd Zulkifli
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my