
Bencana alam: Peningkatan pengangguran dalam kalangan buruh pertanian, pelancongan & perikanan di Malaysia
Bencana alam merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada ketidakstabilan sosioekonomi di negara sedang membangun khususnya Malaysia dan Indonesia.
Hal ini kerana sektor pertanian,pelancongan dan perikanan yang menjadi tulang belakang ekonomi luar bandar bergantung sepenuhnya kepada keadaan cuaca dan persekitaran fizikal.
Penduduk di kawasan luar bandar memperoleh pendapatan harian melalui hasil pertanian dan tangkapan ikan, justeru fenomena seperti banjir, hakisan pantai, ombak besar dan letusan gunung berapi menyebabkan tenaga buruh tidak dapat menjalankan pekerjaan terutama ketika musim monsun.
Di Malaysia, Monsun Timur Laut memberi kesan besar kepada ekonomi terutamanya di Terengganu, Kelantan, Pahang dan sebahagian Perlis pada tahun 2025.
Di Indonesia pula, kawasan seperti Aceh dan Sumatera mengalami banjir besar serta tanah runtuh yang bukan sahaja menjejaskan sumber ekonomi, tetapi turut meragut banyak nyawa.
Situasi ini menggambarkan betapa terdedahnya sektor pekerjaan luar bandar terhadap risiko bencana alam yang berulang.

Sektor pertanian
Dalam sektor pertanian, musim monsun membawa impak yang ketara.
Tanaman padi sering mengalami kerosakan akibat kepala air dan banjir besar, menyebabkan penurunan mendadak hasil tuaian serta pendapatan petani.
Buruh tani tidak dapat meneruskan aktiviti pertanian kerana cuaca tidak sesuai untuk kerja ladang manakala hasil tanaman yang rosak tidak dapat dijual dan menjejaskan rantaian bekalan makanan.
Sehubungan itu, kerajaan melalui Jabatan Pertanian perlu memperkukuh langkah mitigasi seperti penyediaan pam air, pelaksanaan sistem amaran awal, dan bantuan pemulihan bagi memastikan keselamatan makanan dan pendapatan petani terjamin.
Selain itu, penyediaan pekerjaan alternatif kepada buruh luar bandar wajar diberikan perhatian bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber pendapatan sahaja.
Sektor perikanan
Dalam sektor perikanan, nelayan terpaksa menghentikan aktiviti turun ke laut akibat ombak besar, angin kencang dan risiko keselamatan.
Keadaan ini menyebabkan bekalan hasil laut berkurang, seterusnya mendorong peningkatan harga ikan di pasaran.
Ketika tempoh pengangguran ini, kos sara hidup nelayan meningkat manakala isi rumah bergantung penuh kepada simpanan yang terhad.
Ketiadaan pekerjaan ketika musim monsun menyebabkan pendapatan nelayan terjejas terutama bagi komuniti yang tidak mempunyai sumber pendapatan alternatif.
Bencana alam seperti banjir, ribut taufan dan hakisan pantai juga merosakkan infrastruktur penting seperti jalan raya, jeti nelayan, kilang pemprosesan, sistem pengangkutan serta kediaman.
Keretakan rantaian bekalan ini menjejaskan operasi perniagaan, memperlahankan aktiviti logistik dan mengurangkan pendapatan harian pekerja.

Meningkatkan risiko pengangguran
Sektor perniagaan dan pengangkutan turut terkesan apabila jalan raya terputus, barang tidak dapat dihantar dan operasi harian terbantut.
Keadaan ini secara langsung meningkatkan risiko pengangguran sementara dalam kalangan pekerja sektor tidak formal.
Sektor pelancongan turut mengalami kemerosotan ketara ketika musim monsun.
Gelora laut, hujan berpanjangan dan risiko banjir menyebabkan jumlah pelancong menurun, terutamanya di kawasan pantai timur.
Pekerja seperti pemandu pelancong, operator bot, penjaja, pengusaha resort dan pekerja sektor perhotelan berdepan kehilangan pendapatan kerana operasi pelancongan dihentikan atas faktor keselamatan.
Hal ini menjejaskan pendapatan komuniti tempatan yang bergantung sepenuhnya kepada sektor ini.
Kos pemulihan infrastruktur yang rosak akibat bencana turut meningkatkan beban kewangan kerajaan dan pihak swasta.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM, 2024), kerugian keseluruhan akibat monsun pada tahun tersebut dianggarkan sebanyak RM933.4 juta, melibatkan kerosakan terhadap rumah, kenderaan, premis perniagaan dan sektor pertanian.
Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding kerugian RM755.4 juta pada 2023 sekali gus menggambarkan betapa seriusnya kesan ekonomi yang ditanggung setiap tahun.
Selain memberi kesan ekonomi, musim monsun juga mencetuskan cabaran sosial yang ketara.
Penduduk di kawasan rendah dan pesisir pantai berhadapan dengan banjir berulang, kehilangan tempat tinggal, kerosakan harta benda dan gangguan dalam rutin seharian.

Ketidakstabilan ini menjejaskan kesejahteraan komuniti, menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko kemiskinan dan pengangguran jangka panjang.
Hal itu bukan sahaja menjejaskan kestabilan keluarga, malah berpotensi meningkatkan kadar kemiskinan terutama bagi kelompok B40 yang sering berada di kawasan berisiko tinggi.
Keadaan tersebut menunjukkan bahawa monsun bukan sekadar fenomena alam tetapi turut menjadi punca ketidaksamarataan sosial sekiranya langkah mitigasi tidak dirancang dengan baik.
Bencana alam berupaya mencetuskan kehilangan pekerjaan melalui kemusnahan infrastruktur pertanian, pelancongan dan perikanan.
Banjir di Malaysia seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang sering mengakibatkan kerosakan kepada sawah padi, ladang kelapa sawit, kolam ikan dan sistem pengairan.
Oleh itu, penekanan harus diberikan kepada pembangunan lestari yang mengintegrasikan aspek pengurusan sumber semula jadi, pengurangan risiko bencana dan pembangunan ekonomi inklusif demi masa depan Malaysia yang lebih stabil.
Pelan mitigasi bencana
Dalam menangani masalah ini, kerajaan Malaysia perlu memperkukuhkan pelan mitigasi bencana dengan peruntukan dana khusus bagi pengurusan banjir dan pelaksanaan sistem amaran awal.
Oleh itu, agensi pengurusan bencana perlu meningkatkan langkah kesiapsiagaan melalui latihan berkala, pembinaan pusat pemindahan sementara yang lebih sistematik dan kerjasama rapat dengan kementerian serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan gangguan pekerjaan dan peningkatan kadar pengangguran semasa monsun dapat dikurangkan.
Ketika musim monsun yang sering membawa banjir besar, komuniti pertanian dan perikanan antara yang paling berkesan, menyebabkan kadar pengangguran wilayah tertentu khususnya Pantai Timur, meningkat lebih tinggi berbanding purata nasional.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara pada 2024 ialah 3.2 peratus iaitu bersamaan 534,100 orang.
Namun, negeri yang terjejas banjir seperti Kelantan dan Terengganu merekodkan kadar pengangguran yang lebih tinggi daripada purata nasional, dengan Kelantan mencatat sekitar 3.6 peratus.
Angka ini menunjukkan bahawa musim monsun memperburuk pengangguran di kawasan luar bandar khususnya dalam kalangan buruh pertanian, pesawah dan nelayan yang bergantung kepada cuaca stabil untuk sumber pendapatan mereka.
Dalam tempoh banjir, pendapatan harian terhenti, operasi ekonomi terbantut, dan kehilangan mata pencarian menjadi fenomena ekonomi bermusim yang berulang saban tahun.
Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan impak monsun terhadap ekonomi dan pekerjaan.
Antaranya termasuk penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pembangunan sistem amaran awal melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta pembinaan infrastruktur kawalan banjir seperti tebatan banjir, benteng sungai, sistem perangkap air bawah tanah dan empangan.
Walaupun pendekatan ini mengurangkan risiko kerosakan fizikal, ia masih memerlukan penambahbaikan dari segi pelaksanaan, penyelenggaraan dan kerjasama antara kerajaan pusat, kerajaan negeri, PBT dan komuniti, supaya gangguan terhadap pasaran pekerjaan dapat dikurangkan.
Pada masa yang sama, pelaburan dalam infrastruktur tahan bencana seperti sistem saliran moden, empangan dan pengurusan air pintar amat penting bagi memastikan pekerjaan dalam sektor sensitif cuaca dapat dikekalkan semasa musim monsun.
Pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur ini bukan sahaja melindungi aset nasional tetapi turut menjana peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan awam.
Oleh itu, pelaburan berterusan dapat mengurangkan risiko pengangguran bermusim serta meningkatkan ketahanan ekonomi jangka panjang.
Perubahan iklim yang menyebabkan monsun menjadi lebih ekstrem menuntut pendekatan ekonomi yang lebih adaptif.
Kerajaan perlu meningkatkan kapasiti adaptasi dengan memanfaatkan teknologi digital, automasi dan mekanisasi agar pekerjaan dalam sektor pertanian dan perikanan lebih stabil walaupun cuaca tidak menentu.
Contohnya, sistem pengairan automatik, drone pemantauan tanaman dan IoT dapat mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada keadaan cuaca fizikal, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan pekerjaan semasa banjir.

Sistem pengurusan air automasi
Walaupun monsun membawa cabaran seperti gangguan aktiviti ekonomi dan peningkatan pengangguran, ia juga membuka peluang inovasi dalam teknologi pertanian dan pengurusan sumber air.
Malaysia boleh mempelajari amalan terbaik dari negara seperti Jepun, yang menggunakan sistem pengurusan air automasi berasaskan IoT dan AI bagi mengawal aliran sungai dan empangan secara masa nyata.
Bangladesh pula mengamalkan pendekatan pengurusan bencana berasaskan komuniti yang terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan mata pencarian.
Melihat ke hadapan, strategi jangka panjang perlu memberi fokus kepada pembangunan ekonomi yang lebih berdaya tahan iklim termasuk peralihan kepada pertanian moden seperti fertigasi, akuakultur tertutup, rumah hijau kalis banjir serta insurans tanaman.
Pendekatan ini dapat membantu mengurangkan risiko pengangguran setiap kali monsun melanda, di samping memastikan rantaian bekalan makanan negara tidak terjejas.
Sektor pelancongan juga terdedah kepada gangguan monsun, menyebabkan pekerja sambilan dan komuniti kecil di kawasan pelancongan pantai berhadapan ketidaktentuan pendapatan.
Oleh itu, strategi diversifikasi produk pelancongan seperti ekopelancongan hutan hujan, agro-pelancongan dan pelancongan budaya diperlukan untuk memastikan pekerjaan dapat dikekalkan sepanjang tahun.
Selain itu, komuniti tempatan dan sektor swasta melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut berperanan penting dalam menyokong strategi kerajaan.
Penyertaan mereka dalam program kesedaran bencana, bantuan pemulihan dan sokongan logistik dapat mengurangkan tempoh gangguan pekerjaan dan mempercepatkan pemulihan sosial serta ekonomi.
Secara keseluruhan, musim monsun memberi kesan besar kepada sektor pertanian, perikanan dan pelancongan yang mempunyai hubungan langsung dengan pasaran pekerjaan.
Kenaikan kadar pengangguran semasa monsun bukan sekadar fenomena ekonomi, tetapi merupakan isu struktural yang memerlukan perancangan teliti dan pelaburan berterusan dalam infrastruktur tahan bencana serta teknologi adaptif.
Dengan persediaan yang baik serta kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti, negara dapat menangani cabaran monsun dengan lebih berkesan dan mengurangkan risiko pengangguran di masa hadapan.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Izzati Omar
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my
Ringkasan AI
- Bencana alam menyumbang kepada ketidakstabilan sosioekonomi di negara seperti Malaysia dan Indonesia
- Sektor pertanian, perikanan, dan pelancongan luar bandar yang terjejas akibat fenomena cuaca buruk
- Monsun Timur Laut memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia di negeri-negeri pantai timur
- Peningkatan risiko pengangguran dan kemiskinan akibat gangguan aktiviti ekonomi semasa musim monsun
- Kerajaan dan agensi perlu memperkukuh pelan mitigasi bencana dan meningkatkan kapasiti adaptasi sektor sensitif cuaca