
Cabaran generasi muda memiliki rumah mampu milik
Di sebalik pembangunan pesat dan pembinaan bandar yang semakin mencakar langit, ramai generasi muda kini berdepan dengan realiti pahit apabila impian untuk memiliki rumah sendiri menjadi semakin mencabar dalam keadaan ekonomi pada hari ini.
Bagi kebanyakan anak muda, keinginan untuk mempunyai tempat berteduh yang selesa bukan sahaja melambangkan kemegahan, malah menjadi simbol kestabilan dalam kehidupan mereka sendiri.
Namun, dalam keadaan ekonomi semasa, impian itu semakin dirasai sebagai beban yang berat untuk digalas.
Harga rumah yang semakin melonjak, kadar faedah pinjaman yang tidak tetap dan berubah-ubah serta pertumbuhan gaji yang tidak seiring dengan harga rumah semasa telah menjadikan impian generasi muda sekarang yang ingin memiliki kediaman sendiri tidak lebih daripada angan-angan mat jenin sahaja.
Menurut Jabatan Statistik Malaysia, harga rumah di bandar telah meningkat lebih 30% dalam lima tahun terakhir.
Situasi ini telah memberi tekanan kepada golongan muda yang baru memasuki pasaran kerja, malah ada yang terpaksa menangguhkan rancangan untuk membina keluarga serta terpaksa menyewa bertahun-tahun dan menanggung komitmen yang tidak pernah berkurang sedangkan tiada aset tetap yang dapat dibina.
Hal ini kerana harga rumah yang semakin melonjak sedangkan gaji mereka masih sama hanya cukup sekadar mengurus kehidupan seharian mereka sahaja.
Antara cabaran utama yang membelenggu anak muda pada hari ini adalah kadar faedah pinjaman perumahan yang berubah-ubah mengikut keadaan ekonomi semasa global.
Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) memberi kesan yang besar kepada jumlah bayaran bulanan pinjaman rumah, ini telah menyebabkan lebih ramai pembeli rumah berasa terbeban.
Pada masa yang sama, kos sara hidup yang semakin meningkat secara berterusan termasuk harga makanan, pengangkutan dan perubatan telah menyukarkan lagi anak muda untuk menyimpan wang secukupnya sebagai persediaan mereka untuk membeli rumah.
Gaji pula tidak meningkat pada kadar yang mampu menyaingi inflasi dan hal ini telah mewujudkan jurang kemampuan yang semakin melebar dan seterusnya menyukarkan anak muda untk memiliki rumah mereka sendiri.
Bagi menangani masalah ini, pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti program Rumah Mampu Milik (RMM) dan skim MyHome tetapi permintaan yang tinggi dari rakyat Malaysia telah mengatasi penawaran yang disediakan kerajaan.
Setiap kali permohonan dibuka, ribuan anak muda berebut untuk mendapatkan kediaman pada harga lebih rendah, tetapi hanya sebilangan kecil yang berjaya.
Hal ini sangat menunjukkan bahawa rakyat Malaysia amat memerlukan bantuan kerajaan ini untuk membantu mereka mencapai impian membina mahligai impian mereka sendiri.
Pada masa yang sama, sesetengah projek perumahan mampu milik pula dibangunkan di kawasan yang jauh daripada pusat ekonomi, menjadikan kos pengangkutan bertambah dan kurang sesuai untuk anak muda yang bekerja di bandar.
Tambahan pula, kenaikan kos sara hidup telah menyukarkan rakyat untuk menyediakan wang deposit, sekali gus mengukuhkan lagi kebergantungan mereka terhadap inisiatif kerajaan yang ditawarkan. Isu kemampuan bukan sahaja terletak pada harga rumah, tetapi juga pada gaya hidup dan persepsi masyarakat terhadap pemilikan rumah.
Generasi terdahulu mungkin melihat rumah ini sebagai aset wajib, tetapi generasi kini berdepan pilihan yang lebih kompleks.
Ada yang terpaksa memilih antara membeli rumah atau meneruskan pelajaran, antara membeli rumah atau mengurus komitmen keluarga, bahkan ada yang lebih mengutamakan simpanan kecemasan memandangkan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu.
Namun demikian, keinginan untuk memiliki rumah tetap bersemi di sudut hati mereka, cuma jalannya menjadi semakin berliku.
Untuk menangani masalah ini, pihak kerajaan, pemaju, dan institusi kewangan perlu bekerjasama untuk mencari solusi yang lebih kreatif untuk rakyat.
Bermula dari menyediakan unit rumah bersaiz sederhana dengan harga lebih rendah hinggalah memperkenalkan skim pembiayaan fleksibel yang mengambil kira kemampuan generasi muda pada zaman sekarang.
Institusi kewangan pula boleh mempertimbangkan skim pembiayaan yang lebih fleksibel, termasuk tempoh bayaran lebih panjang atau kadar faedah yang lebih stabil.
Kerajaan dalam masa yang sama perlu memastikan dasar perumahan sebenar-benar menepati keperluan semasa rakyat, bukan sekadar memenuhi angka sasaran dalam laporan tahunan.
Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu diberi kesedaran tentang perancangan kewangan jangka panjang supaya impian untuk memiliki rumah tidak hanya menjadi angan semata-mata.
Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa disiplin kewangan memainkan peranan besar dalam mencapai impian memiliki rumah.
Jika masyarakat diberikan pendedahan tentang bagaimana merancang bajet, membezakan keperluan dan kehendak, serta mengurus komitmen secara lebih bijak, lebih ramai akan mampu mencapai kestabilan kewangan yang membolehkan mereka untuk memiliki rumah mereka sendiri.
Namun, isu ini bukan sekadar tentang ekonomi dan angka semata-mata.
Memiliki rumah ini bukan hanya sekadar simbol kejayaan, tetapi juga membawa makna kestabilan dan keamanan.
Memiliki rumah adalah asas kepada pembentukan sebuah keluarga, kestabilan hidup dan kesejahteraan jangka panjang.
Rumah ialah ruang untuk kita berteduh, membina kenangan dan membentuk identiti.
Jika generasi muda pada masa kini terus terperangkap dalam keadaan menyewa selamanya, kita mungkin bakal menyaksikan generasi yang kehilangan peluang untuk membina aset dan kekayaan jangka panjang, seterusnya memberi kesan kepada masa depan negara ini.
Jika langkah yang tepat tidak diambil dengan segera, kita mungkin akan melihat generasi yang terus terperangkap dalam lingkaran sewa dan impian mereka untuk membina mahligai sendiri terus terkubur begitu sahaja.
Malaysia perlu memastikan bahawa pembangunan negara bukan hanya terletak pada bangunan tinggi yang indah dilihat sahaja tetapi juga pada kemampuan rakyatnya untuk hidup selesa dan memiliki tempat berteduh yang mereka panggil rumah.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Naiman Ismail.
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli.
Ringkasan AI
- Generasi muda berdepan cabaran memiliki rumah sendiri disebabkan harga rumah yang melonjak dan pertumbuhan gaji yang rendah
- Kadar faedah pinjaman rumah yang tidak tetap menyebabkan lebih ramai pembeli berasa terbeban
- Kos sara hidup yang meningkat dan gaji yang tidak menyaingi inflasi memperlebar jurang kemampuan memiliki rumah
- Permintaan tinggi terhadap program Rumah Mampu Milik (RMM) dan skim MyHome, namun hanya sebilangan kecil yang berjaya memperolehnya
- Kerajaan, pemaju, dan institusi kewangan perlu bekerjasama mencari solusi kreatif untuk memudahkan generasi muda memiliki rumah