Kredit foto: ferli/123rf
Kredit foto: ferli/123rf

Cabaran memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi Z

JAZLIZA JAMALUDDIN
16 Aug 2023 09:40am
A
A
A

Globalisasi dan teknologi digital adalah dua elemen utama yang berkembang pesat ketika generasi Z (Gen Z) dilahirkan.

Gen Z adalah mereka yang dilahirkan antara tahun 1997 hingga 2012 dan dalam lingkungan usia 9 hingga 24 tahun.

Tarikan telefon pintar ketika di usia sebegini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa kerana gajet dilihat mampu mempengaruhi minda dan kematangan berfikir.

Berita dan maklumat yang diperolehi di hujung jari kadangkala lebih dipercayai sehingga membawa pelbagai reaksi dalam ruangan komen oleh Gen Z.

Perkara yang menggusarkan adalah apabila Gen Z ini kurang atau tidak begitu memahami tentang sejarah negara bangsa kerana lebih banyak disogokkan dengan hiburan yang mudah diakses pada bila-bila masa.

Mereka juga lebih suka menyendiri daripada bertemu muka untuk berinteraksi kerana beranggapan pendedahan dunia maya secara virtual bagi Gen Z adalah lebih fleksibel.

Keadaan ini secara tidak langsung akan menghadkan komunikasi Gen Z untuk mengetahui lebih lanjut tentang peristiwa-peristiwa sejarah dengan guru atau pensyarah.

Kajian yang dilakukan oleh penulis tentang kaedah mencetuskan semangat patriotisme dalam kalangan Gen Z mendapati generasi ini lebih menyenangi elemen yang berunsurkan sejarah disajikan kepada mereka melalui platform digital seperti video.

Artikel Berkaitan:

Kredit foto: ferli/123rf
Kredit foto: ferli/123rf

Bagaimanapun, tayangan video tentang peristiwa sejarah ini perlu dalam durasi yang singkat dan menarik dari segi warna serta tidak hitam putih kerana akan menimbulkan rasa cepat bosan.

Selain itu, kaedah dalam kelas yang konvensional dan hanya bergantung kepada slaid pengajaran sahaja menyebabkan pelajar dalam kalangan Gen Z kurang minat untuk mempelajari subjek Sejarah.

Justeru, tenaga pengajar subjek Sejarah dan Kenegaraan khususnya apabila menyentuh tentang perjuangan kemerdekaan perlu kreatif dan dinamik supaya platform penyampaian tidak statik.

Menjiwai perasaan Gen Z bukan bermaksud mengikuti kemahuan mereka tetapi sejajar dengan transformasi masa kini.

Inilah cabaran dalam memupuk rasa semangat kemerdekaan pada abad ke-21 atau pada zaman milenium dalam kalangan Gen Z yang begitu hampir dengan dunia digital sedangkan peristiwa pensejarahan begitu jauh dan semakin jauh dengan kehidupan mereka.

Oleh itu, dalam memastikan Gen Z tidak leka dengan pengaruh teknologi digital yang sentiasa up-to-date dan alpa dengan sejarah negara bangsa yang akurat (tepat), maka peranan pelbagai pihak daripada kerajaan dan masyarakat perlu digembeleng dalam menyampaikan wadah perjuangan kemerdekaan oleh generasi terdahulu secara proaktif.

Ini untuk memastikan pendedahan sejarah negara bangsa mencapai matlamat dalam memupuk semangat kemerdekaan dan menzahirkan rasa patriotisme dalam kalangan Gen Z.

Jika generasi muda ini mempunyai asas yang kukuh mencintai negara dan bangsa hasil daripada pemupukan nilai-nilai pensejarahan yang kuat, maka keraguan terhadap pelapis kepimpinan negara di masa depan tidak begitu dibimbangi seumpama kata pepatah ‘pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara’.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan, Unit Sejarah dan Kenegaraan, Pusat Pengajian, Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Jazliza Jamaluddin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Jazliza
Jazliza

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok