Cadangan memperkenalkan subjek Pembangunan Karakter dalam kurikulum di sekolah memerlukan pendekatan baharu dan berfokus kepada adab, akhlak dan ilmu jiwa yang sebenar. Gambar kecil: Dr Kama
Cadangan memperkenalkan subjek Pembangunan Karakter dalam kurikulum di sekolah memerlukan pendekatan baharu dan berfokus kepada adab, akhlak dan ilmu jiwa yang sebenar. Gambar kecil: Dr Kama

Subjek Pembangunan Karakter: Analisis keperluan aplikasi kepada murid

24 Oct 2025 02:24pm

Senario kini, pelbagai isu cabaran sahsiah dan akhlak diperkatakan terutama mengenai status disiplin murid di sekolah.

Isu hangat berkaitan pembunuhan dan buli terutama di sekolah baru-baru ini, menimbulkan kerisauan tentang keselamatan murid di kawasan berkenaan.

Tambahan pula, masyarakat mendesak dan meminta langkah drastik oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengatasi perkara ini segera.

Keadaan ini memerlukan tindakan sistematik bagi membantu mengatasi isu berkenaan daripada berleluasa.

Cadangan memperkenalkan subjek Pembangunan Karakter dalam kurikulum di sekolah memerlukan pendekatan baharu dan berfokus kepada adab, akhlak dan ilmu jiwa yang sebenar.

Dalam memastikan kerelevanan cadangan ini, ia perlu dikaji dari aspek positif dan sebaliknya bagi membantu meningkatkan prestasi pelbagai isu disiplin di sekolah.

Analisis keperluan pelaksanaan subjek Pembangunan Karakter dalam kurikulum perlu ada kajian mendalam dan perlu dilaksanakan di semua peringkat sama ada pendidikan awal kanak-kanak, prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi.

KPM melalui pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) telah memberi penekanan kepada aspek kemenjadian murid seperti pemikiran kritis, kreatif dan inovatif, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Kurikulum ini dibangunkan untuk menghasilkan insan yang dihasratkan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu insan yang seimbang dan harmoni dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Pembangunan Karakter ini mampu memberi nilai tambah bagi melahirkan murid yang mempunyai asas kepimpinan dalam diri mereka.

Hasil pelaksanaan kajian oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2024 di bawah Geran Program Komuniti@UniMadani menghasilkan produk Model Karakter BUDIMAN yang berfokus kepada nilai-nilai murni dan adab yang menekan sahsiah dan akhlak yang tinggi.

Geran yang diketuai oleh Dr Kama Shaffeei membuktikan bahawa nilai-nilai BUDIMAN iaitu Bijak (B), Unggul (U), Disiplin (D),Integriti (I),Mesra (M), Amanah (A) dan Niat (N) membantu meningkatkan sahsiah murid.

Respon kajian kepada murid- murid Sekolah Seri Budiman UPSI dan sekolah-sekolah sekitar daerah Muallim dan daerah Hulu Selangor menunjukkan model ini dapat membantu menerapkan nilai-nilai murni dan positif ke dalam diri mereka.

Pembentukan nilai

Pembangunan Karakter merangkumi pembentukan nilai seperti integriti, tanggungjawab, empati, disiplin, daya tahan dan kepimpinan diri.

Nilai-nilai ini bukan sahaja diperlukan dalam kehidupan persekolahan, malah menjadi asas kepada kejayaan murid pada masa hadapan. Murid yang memiliki integriti dan empati, misalnya, akan lebih jujur dalam tindakan serta prihatin terhadap keperluan orang lain.

Sementara itu, daya tahan pula membolehkan mereka menghadapi cabaran hidup dengan tenang dan tidak mudah putus asa.

Sehubungan dengan itu, pelaksanaan Pembangunan Karakter memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan seluruh warga sekolah.

Guru memainkan peranan penting dalam menyampaikan nilai murni melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap mata pelajaran boleh dijadikan ruang untuk menanam nilai.

Sebagai contoh, guru Sains boleh menerapkan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar manakala guru Matematik boleh menonjolkan nilai ketepatan dan kejujuran dalam pengiraan.

Pendekatan ini menjadikan nilai murni bukan sekadar teori, tetapi sebahagian daripada pengalaman pembelajaran harian murid.

No Image Caption

Membentuk karakter murid

Selain itu, aktiviti kokurikulum turut berperanan besar dalam membentuk karakter murid.

Melalui kelab, persatuan dan pasukan uniform, murid dapat memupuk semangat kerjasama, kepimpinan dan disiplin diri.

Aktiviti khidmat komuniti seperti gotong-royong, lawatan amal dan program bantuan rakan sebaya pula membina nilai empati serta tanggungjawab sosial.

Apabila murid terlibat secara aktif dalam aktiviti seperti ini, mereka belajar menghargai nilai kemanusiaan dan menyedari pentingnya memberi sumbangan kepada masyarakat.

Dari sudut positif, pelaksanaan subjek Pembangunan Karakter membolehkan nilai murni dan kemahiran insaniah diajar secara sistematik dan terancang.

Pendidikan nilai selama ini banyak diselitkan secara tidak langsung dalam mata pelajaran lain, namun keberkesanannya sukar diukur.

Melalui subjek khas, murid dapat memahami, menghayati dan mengamalkan nilai seperti integriti, tanggungjawab, empati dan disiplin dengan lebih mendalam.

Pendekatan ini juga menyokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembentukan insan seimbang dan harmonis, serta seiring dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013–2025) untuk melahirkan murid yang berakhlak mulia dan berdaya saing.

Selain itu, pendidikan karakter mempunyai potensi besar dalam menangani isu sosial dan disiplin yang semakin meningkat dalam kalangan pelajar.

Kajian menunjukkan bahawa pendedahan terhadap nilai moral dan empati mampu mengurangkan perilaku negatif seperti buli, ponteng dan ketidakhormatan terhadap guru.

Dengan memberikan ruang kepada murid untuk berfikir dan merefleksi nilai kehidupan, mereka akan lebih bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri.

Dalam jangka panjang, pendidikan sebegini bukan sahaja membina individu yang baik, tetapi turut menyumbang kepada keharmonian sosial dan perpaduan nasional.

Subjek PembangunanKarakter juga memberi peluang kepada guru untuk membina hubungan emosi yang lebih erat dengan murid.

Melalui perbincangan reflektif, aktiviti kolaboratif dan tugasan berasaskan pengalaman, guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi juga pembimbing sahsiah.

Interaksi sebegini memperkukuh suasana pembelajaran yang positif dan saling menghormati.

Selain itu, kemahiran insaniah yang diterapkan dalam subjek ini seperti kepimpinan, komunikasi dan daya tahan, amat penting untuk mempersiapkan murid menghadapi cabaran dunia sebenar serta memenuhi keperluan abad ke-21.

No Image Caption

Cabaran dan kekangan

Namun demikian, terdapat juga beberapa cabaran dan kekangan yang perlu diberi perhatian serius. Antara isu utama ialah pertambahan beban kurikulum kepada murid dan guru.

Penambahan subjek baharu memerlukan waktu pengajaran khusus sekali gus meningkatkan tekanan kepada jadual persekolahan yang sedia padat.

Di samping itu, kekurangan guru terlatih dalam bidang pendidikan karakter boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan.

Guru yang tidak mempunyai latar belakang dalam psikologi pendidikan atau pendidikan moral mungkin menghadapi kesukaran untuk mengendalikan aktiviti berasaskan nilai secara mendalam dan autentik.

Cabaran lain ialah kesukaran dalam menilai hasil pembelajaran karakter.

Tidak seperti subjek akademik, perubahan nilai dan sikap murid bersifat subjektif dan memerlukan masa yang panjang untuk diperhatikan.

Tanpa sistem penilaian yang holistik dan berasaskan bukti, sukar untuk mengukur sejauh mana subjek ini mencapai objektifnya.

Selain itu, terdapat risiko bahawa subjek ini akan bertindih dengan kurikulum sedia ada seperti Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam jika tidak dirancang secara bersepadu.

Hal ini boleh menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaan dan penilaian di peringkat sekolah.

No Image Caption

Kempen kesedaran dan pelibatan komuniti

Akhir sekali, cabaran terbesar mungkin datang daripada persepsi masyarakat yang masih menilai kejayaan pendidikan berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata.

Jika subjek Pembangunan Karakter tidak dilihat sebagai penting oleh ibu bapa atau pentadbir sekolah, usaha ini mungkin tidak mendapat sokongan sepenuhnya.

Oleh itu, perlu ada kempen kesedaran dan pelibatan komuniti bagi memperkukuh kefahaman bahawa pendidikan nilai merupakan asas kepada pembangunan insan dan kemajuan negara.

Justeru, Pembangunan Karakter murid memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan komuniti.

Penglibatan PIBG, agensi kerajaan serta organisasi bukan kerajaan amat penting dalam memperkukuh jaringan nilai dan budaya positif.

Kejayaan program Pembangunan Karakter tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi melalui perubahan tingkah laku, keperibadian dan empati murid terhadap orang lain.

Secara keseluruhannya, Pembangunan Karakter murid adalah asas kepada pembinaan modal insan yang holistik. Sekolah harus menjadi ruang yang membina bukan sahaja kecerdasan minda, tetapi juga ketulusan hati.

Dengan penerapan nilai yang konsisten dan pelaksanaan yang menyeluruh, murid akan berkembang menjadi warganegara yang berintegriti, berakhlak mulia dan berperanan aktif dalam membangunkan masyarakat dan negara.

Maklumat penulis:

Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI, Dr Kama Shaffeei

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ringkasan AI

  • Senario kini memperlihatkan kebimbangan mengenai isu cabaran sahsiah dan akhlak di sekolah termasuk keselamatan murid
  • Masyarakat mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil langkah drastik menangani isu disiplin murid
  • Cadangan untuk memperkenalkan subjek Pembangunan Karakter dalam kurikulum sekolah dibincangkan
  • Pendidikan karakter bertujuan membentuk murid dengan nilai murni dan kemahiran insaniah yang penting
  • Pembangunan Karakter di sekolah melibatkan pengajaran nilai melalui akademik dan kokurikulum untuk membina insan seimbang
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp