'Wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang' - Ungkapan ini membuktikan bahawa keupayaan mengurus kewangan adalah asas kestabilan hidup. Gambar kecil, Muhammad Hafiz (atas) dan Jaharudin (bawah)
'Wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang' - Ungkapan ini membuktikan bahawa keupayaan mengurus kewangan adalah asas kestabilan hidup. Gambar kecil, Muhammad Hafiz (atas) dan Jaharudin (bawah)

Cabaran pengurusan wang

21 Dec 2024 08:35am

Pengurusan wang merupakan aspek penting dalam kehidupan khususnya bagi pelajar universiti yang sedang menempuh alam peralihan ke dunia dewasa.

Kehidupan sebagai pelajar tidak hanya menuntut kecemerlangan akademik tetapi juga kemahiran mengurus sumber kewangan dengan bijak.

Malangnya, ramai pelajar universiti sering berhadapan dengan cabaran dalam aspek ini.

'Wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang' - Ungkapan ini membuktikan bahawa keupayaan mengurus kewangan adalah asas kestabilan hidup.

Oleh itu, amat penting untuk memahami cabaran yang dihadapi, sebabnya, cara mengatasi dan kesan jangka panjang pengurusan kewangan yang bijak.

Tekanan kos sara hidup meningkat

Salah satu cabaran utama ialah tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ramai mahasiswa terpaksa berjimat cermat untuk menyesuaikan perbelanjaan dengan jumlah wang saku yang diterima sama ada melalui biasiswa, pinjaman pendidikan atau bantuan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Hal ini demikian kerana kos barang keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan bahan pembelajaran semakin mahal terutamanya di kawasan bandar tempat kebanyakan universiti berada.

Tambahan pula, pelajar sering kekurangan pengalaman dalam merancang kewangan, menyebabkan mereka sukar mengimbangi keperluan dan kehendak.

Misalnya, seorang pelajar perlu membelanjakan RM20 sehari untuk makanan. Jika diambil kira kos sewa, pengangkutan dan bahan pembelajaran jumlah ini sudah melebihi RM500 sebulan.

Namun, pinjaman atau bantuan keluarga mungkin tidak mencukupi, memaksa mereka membuat pilihan sukar seperti mengurangkan makan atau meminjam wang.

No Image Caption

Hal ini menyebabkan pelajar mungkin mengalami tekanan emosi akibat kekangan kewangan. Ini boleh menjejaskan tumpuan mereka terhadap pembelajaran dan kesihatan mental mereka secara keseluruhan.

'Bagai tikus jatuh ke dalam beras' - Begitulah perasaan pelajar apabila kos sara hidup membebankan.

Justeru, tekanan kos sara hidup merupakan cabaran nyata yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Kurangnya pengetahuan asas pengurusan kewangan

Selain itu, kebanyakan pelajar universiti kurang mempunyai pengetahuan asas tentang pengurusan kewangan.

Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai kawalan yang baik terhadap tabiat perbelanjaan.

Hal ini demikian kerana sistem pendidikan di sekolah sering kali menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik tetapi kurang memberi penekanan terhadap kemahiran kehidupan seperti pengurusan kewangan.

Tambahan pula, budaya berbelanja tanpa berfikir panjang terutama melalui pembelian atas talian semakin menjadi norma dalam kalangan pelajar muda.

Sebagai contoh, ramai pelajar mudah tergoda dengan tawaran promosi atas talian seperti diskaun besar-besaran.

Mereka mungkin membeli barang yang tidak diperlukan yang menyebabkan perbelanjaan mereka melebihi bajet yang telah ditetapkan.

Kesannya, pelajar sering kehabisan wang sebelum akhir bulan, memaksa mereka untuk meminjam atau berhutang.

Lama-kelamaan, tabiat ini boleh membawa kepada masalah kewangan yang lebih serius.

'Berhutang sebelum kenyang' - Ungkapan ini mengingatkan kita betapa pentingnya berbelanja mengikut kemampuan.

Maka, adalah kritikal untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran pengurusan kewangan yang asas untuk menghadapi cabaran ini.

Ketagihan gaya hidup mewah

Ketagihan gaya hidup mewah juga menjadi cabaran besar bagi sesetengah pelajar universiti. Mereka mudah terpengaruh dengan gaya hidup rakan sebaya atau selebriti di media sosial.

Hal ini demikian kerana media sosial memainkan peranan besar dalam mempromosikan imej gaya hidup mewah seperti makan di restoran mahal, memakai pakaian berjenama atau melancong ke tempat-tempat eksotik.

Tekanan untuk 'kelihatan berjaya' sering mempengaruhi keputusan kewangan pelajar.

No Image Caption

Sebagai contoh, seorang pelajar mungkin menggunakan wang pinjaman pendidikan untuk membeli gajet terkini hanya kerana mahu kelihatan setanding dengan rakan-rakan lain.

Hal ini menyebabkan mereka terpaksa mengorbankan keperluan penting seperti makanan atau pendidikan.

Lebih buruk lagi, mereka mungkin menanggung hutang kad kredit yang tinggi selepas tamat pengajian.

'Hidup biar papa, asal bergaya' - Peribahasa ini menjadi ironi bagi mereka yang lebih mengutamakan gaya hidup daripada keperluan asas.

Oleh itu, pelajar perlu dididik untuk memahami keutamaan perbelanjaan dan tidak terjebak dalam budaya materialisme.

Kurangnya sumber pendapatan tambahan

Ramai pelajar juga menghadapi cabaran dalam mencari sumber pendapatan tambahan. Hal ini menambah tekanan kewangan terutama bagi mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah.

Hal ini demikian kerana kebanyakan pelajar tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana jadual kuliah yang padat.

Tambahan pula, peluang kerja sambilan yang fleksibel sering terhad di kawasan tertentu.

Sebagai contoh, seorang pelajar mungkin hanya mampu bekerja sebagai penghantar makanan pada hujung minggu tetapi pendapatannya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan.

Hal ini menyebakan mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan atau bantuan keluarga, yang mungkin tidak mencukupi.

'Seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang', begitulah keadaan mereka yang tiada sumber pendapatan mencukupi.

Jelaslah bahawa, usaha untuk menyediakan peluang kerja sambilan yang lebih fleksibel amat diperlukan bagi membantu pelajar mengatasi cabaran ini.

Pengaruh penggunaan digital

Cabaran lain ialah pengaruh penggunaan digital yang semakin meluas.

Pelajar sering terdedah kepada iklan dan promosi atas talian yang menggoda mereka untuk berbelanja lebih.

Hal ini demikian kerana teknologi dan media sosial memudahkan pembelian dalam talian dengan hanya beberapa klik sahaja.

Tambahan pula, promosi seperti 'buy now, pay later' membuatkan pelajar merasa selesa berbelanja tanpa memikirkan akibatnya.

Misalnya, seorang pelajar mungkin tergoda untuk membeli kasut berjenama dengan ansuran bulanan, walaupun ia bukan keperluan.

Hal ini menyebabkan mereka akhirnya menanggung hutang yang bertambah setiap bulan.

Situasi ini boleh menjejaskan kestabilan kewangan mereka untuk jangka panjang.

'Air yang tenang jangan disangka tiada buaya' - Begitulah halnya dengan promosi atas talian yang kelihatan menarik tetapi membawa risiko kewangan.

No Image Caption

Oleh itu, pendidikan tentang bahaya penggunaan digital perlu diterapkan bagi mengelakkan pelajar menjadi mangsa.

Secara keseluruhan, cabaran pengurusan wang dalam kalangan pelajar universiti adalah isu yang kompleks dan memerlukan perhatian serius.

Dari tekanan kos sara hidup hingga pengaruh konsumerisme digital, pelajar perlu dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan kewangan untuk menghadapi cabaran ini.

'Sediakan payung sebelum hujan' - Peribahasa ini menggambarkan betapa pentingnya persediaan awal dalam memastikan kestabilan kewangan.

Dengan sokongan daripada institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat, pelajar dapat mengatasi cabaran ini dan membentuk masa depan yang lebih cerah.

Sesungguhnya, pengurusan kewangan yang bijak bukan sahaja membantu mereka semasa di universiti malahan juga menjadi asas kejayaan dalam kehidupan kelak.

Maklumat Penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Hafiz Zaharudin

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial & Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373), UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp