Gambar hiasan
Gambar hiasan

Gajet dan gamifikasi dalam pembelajaran

18 Sep 2024 10:00am

Pada era globalisasi ini, gajet merupakan satu keperluan dalam kehidupan seharian.

Gajet seperti telefon pintar, komputer tablet, dan komputer riba telah mengubah cara kita berkomunikasi, bekerja, serta mendapatkan maklumat.

Bukan sahaja golongan dewasa, malah kanak-kanak juga sudah memiliki gajet mereka sendiri sejak dari bangku sekolah.

Imej anak-anak bermain dengan gajet sewaktu makan seringkali dilihat di kedai makan mahupun di rumah.

Penggunaan gajet dengan betul mampu memberikan pelbagai manfaat kepada seseorang individu.

Salah satu manfaat terbesar gajet adalah memberikan akses informasi tanpa batas dengan cepat dan mudah hanya dengan menekan butang ‘Cari’.

Sewaktu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijalankan, gajet merupakan watak utama yang memainkan peranan sebagai pengantara bagi meneruskan sesi pembelajaran bersama pendidik.

Gajet juga memberi pendekatan pembelajaran lebih interaktif kerana terdapat pelbagai aplikasi dan platform pembelajaran digital yang boleh digunakan untuk menarik minat para pelajar sewaktu aktiviti pembelajaran.

Aplikasi seperti Google Classroom, Kahoot, Genially, dan Quizizz membolehkan tenaga pengajar membuat bahan pengajaran visual serta kuiz berbentuk gamifikasi pendidikan bagi memudahkan proses pembelajaran dilakukan.

Gamifikasi adalah penggunaan elemen reka bentuk permainan dalam konteks bukan permainan tetapi di dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Dengan mengintegrasikan pelbagai elemen permainan seperti sistem mata, lencana pencapaian, tahap kesukaran, cabaran, carta kedudukan tangga utama dan pencarian, ini mampu meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran malah meningkatkan motivasi para pelajar.

Kajian lepas juga menunjukkan gamifikasi mampu meningkatkan perasan ingin tahu pelajar dalam mengatasi pelbagai cabaran.

Ini akan mendorong pelajar untuk mencari lebih banyak maklumat bagi menambahkan pengalaman dan kepuasan diri apabila mereka berjaya melepasi segala halangan yang diberikan di dalam gamifikasi berbentuk kuiz sekali gus membuatkan pelajar merasa teruja serta menantikan sesi pembelajaran seterusnya.

Implementasi gamifikasi dalam pendidikan mampu membantu tenaga pengajar berevolusi dan berinovasi sejajar dengan perkembangan pendidikan negara.

Justeru, tenaga pengajar perlu berfikiran terbuka, fleksibel dan mempunyai minat untuk memajukan diri bagi meningkatkan teknik mengajar mereka kerana pendekatan ini memerlukan pengajar untuk bekerja lebih dari kebiasaan bagi menyediakan bahan pengajaran yang mampu memberi penilaian serta menguji pelajar dengan pelbagai cabaran sambil berhibur secara sihat.

Maklumat Penulis

Pensyarah, Jabatan Perakaunan, College of Business Management & Accounting (COBA), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Sharina Mohd Salleh


Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp