Gambar hiasan
Gambar hiasan

Generasi digital perlu imbangi teknologi dan adab di era moden

04 Sep 2024 12:30pm

Adab atau tata susila ialah asas penting dalam membentuk individu yang berakhlak mulia, termasuklah para pelajar.

Ia merangkumi nilai-nilai seperti menghormati orang lain, bersopan santun, dan menjaga tingkah laku, sama ada dalam dunia nyata atau maya.

Generasi Y, Z dan Alpha, yang lahir dalam era digital membesar dengan teknologi canggih dan pantas.

Akses kepada internet, telefon pintar, dan media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka.

Dalam konteks ini, bagaimana pelajar generasi digital ini dapat mengamalkan adab yang baik di tengah dunia semakin digital?

Generasi digital dibesarkan dalam persekitaran berbeza berbanding generasi sebelum in kerana kehidupan mereka dipengaruhi oleh pelbagai peranti digital dan aplikasi dalam talian yang mencabar penerapan adab di dalam diri mereka.

Dalam konteks pendidikan, generasi ini terdedah kepada pendekatan yang lebih berfokus pada digital dan visual.

Banyak pembelajaran mereka didasarkan kepada kandungan multimedia, animasi, dan visual interaktif.

Walaupun ini dapat meningkatkan daya tarikan pembelajaran, ia juga mengurangkan penekanan pada pemikiran kritis dan perbincangan mendalam.

Pembelajaran melalui skrin jarang memberi ruang untuk pelajar berbincang secara langsung dengan rakan sebaya atau guru, dalam membentuk perbincangan yang merentasi pelbagai sudut pandangan.

Generasi ini juga menghadapi cabaran automasi yang semakin meningkat dalam dunia pekerjaan.

Dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan dan robotik, banyak tugas rutin dan teknikal kini boleh diambil alih oleh mesin.

Oleh itu, generasi digital ini perlu mengasah kemahiran seperti penyelesaian masalah kreatif, keupayaan adaptasi, dan kemahiran sosial serta pengawalan emosi untuk kekal relevan dalam pasaran kerja yang sentiasa berubah.

Meskipun begitu, mereka perlu mengamalkan adab yang baik dengan memahami dan menerapkan nilai-nilai murni dalam konteks kehidupan digital.

Adab dalam dunia digital bermula dengan komunikasi yang berhemah dan bertanggungjawab.

Pelajar perlu menyedari bahawa di sebalik skrin, terdapat individu sebenar yang harus dihormati.

Ini termasuk mengelakkan penggunaan kata-kata kesat, sindiran, atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

Contohnya, menulis e-mel atau mesej dengan bahasa yang sopan, serta mengawal emosi ketika memberikan komen atau pendapat di platform media sosial.

Pelajar perlu diajar tentang pentingnya menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.

Dalam era digital, berita palsu mudah tersebar dan boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu dan masyarakat.

Mengamalkan etika berkongsi bermaksud memastikan maklumat yang disampaikan benar dan tidak menimbulkan fitnah atau prasangka.

Selain daripada itu, menghormati privasi adalah salah satu komponen penting dalam peradaban digital.

Generasi ini perlu diajar untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi orang lain tanpa kebenaran.

Dalam konteks media sosial, ini bermaksud meminta izin sebelum berkongsi gambar atau video seseorang, atau tidak menceroboh kehidupan peribadi individu melalui pendedahan maklumat yang sensitif.

Mereka juga perlu belajar mengawal penggunaan teknologi dan media sosial dengan bijak, mengelakkan ketagihan digital yang boleh memudaratkan.

Mereka perlu mengimbangi antara masa di dunia digital dan aktiviti kehidupan sebenar, seperti mengutamakan masa bersama keluarga dan pelajaran.

Pembelajaran dalam talian atau forum perbincangan juga sering menjadi platform bagi pelajar untuk bertukar pandangan.

Dalam perbincangan ini, mereka harus mengamalkan adab berbicara dengan menghargai pandangan orang lain, walaupun tidak bersetuju.

Ini termasuk mendengar dengan teliti, bertanya soalan dengan niat baik, dan tidak memperlekehkan pendapat yang berbeza.

Ini kerana setiap individu mempunyai latar belakang, pengalaman, dan perspektif berbeza, yang boleh memperkaya perbincangan.

Meskipun pelajar generasi digital dibesarkan dalam persekitaran yang serba pantas dan berteknologi tinggi, adab tradisional tetap relevan dan penting untuk diterapkan dalam kehidupan digital mereka.

Dengan pendidikan yang tepat, pelajar boleh menggabungkan etika digital dengan nilai-nilai adab baik, menjadikan mereka individu lebih bertanggungjawab, berhemah, dan beretika di dunia maya dan nyata.

Maklumat Penulis:

Pensyarah, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional, Nur Shuhada Yaacob

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp