
Generasi rubrik dan krisis kematangan: Apabila skor minimum disalah anggap sebagai kejayaan
Generasi Rubrik merupakan satu fenomena yang semakin ketara dan semakin jelas dalam landskap pendidikan dan latihan kerja Malaysia hari ini.
Situasi ini merujuk kepada kecenderungan sebahagian besar generasi muda menilai kejayaan melalui pematuhan minimum terhadap kriteria yang ditetapkan, lalu menganggap pencapaian tersebut sudah memadai walaupun tanpa penguasaan mendalam atau kematangan menyeluruh.
Dalam erti kata lain, generasi ini belajar untuk lulus dengan selamat, bukan untuk benar benar memahami, menguasai atau berkembang bahkan mengejar pematuhan minimum itu menjadi satu keutamaan.
Generasi Rubrik bukan sekadar label sinikal terhadap anak muda, bahkan ia adalah gambaran psikososial tentang bagaimana sistem, budaya penilaian dan tekanan sosial membentuk cara generasi muda mentafsir makna usaha, kejayaan dan harga diri.
Dalam konteks Malaysia abad ke 21, fenomena ini wajar dibaca sebagai simptom kepada ketegangan antara tuntutan formal dan kerja asas sebenar yang sepatutnya membentuk kematangan intelektual dan karakter.
Bahkan dalam satu satu keadaan ia mampu menimbulkan ketidakharmonian antara generasi lama dan generasi baharu.
Sistem pendidikan Malaysia secara tradisional dibina atas kerangka kurikulum yang tersusun, berperingkat dan berorientasikan pencapaian yang boleh diukur.
Penilaian melalui peperiksaan, rubrik tugasan dan pemarkahan berstandard bertujuan memastikan keadilan dan konsistensi.
Namun dalam realiti pelaksanaan, mekanisme ini secara tidak langsung melatih pelajar untuk beroperasi secara reaktif, bukan proaktif. Seolah-olah yang minimum itulah sebagai tanda pencapaian optimum.
Banyak kajian pendidikan menunjukkan bahawa pelajar semakin cenderung bertanya soalan seperti 'berapa markah untuk bahagian ini' atau 'cukupkah kalau tulis begini'.
Soalan tentang kefahaman konsep, relevansi ilmu dan aplikasi dunia sebenar menjadi sekunder.
Data daripada laporan pendidikan tinggi tempatan menunjukkan bahawa majoriti pelajar merancang tugasan dengan merujuk terus kepada rubrik penilaian, bukan hasil pembelajaran yang ingin dicapai.
Pendekatan ini melahirkan pencapaian yang memadai tetapi tidak luar biasa. Tugasan disiapkan dengan ketepatan teknikal, format dipatuhi, istilah digunakan, tetapi pemikiran kritis dan sintesis idea kekal cetek.
Pengetahuan tidak lagi dilihat sebagai nilai intrinsik, sebaliknya sebagai alat untuk mencapai skor yang dikehendaki.
Keadaan ini menandakan pergeseran asas dalam falsafah pembelajaran generasi muda. Jauh sekali daripada penghayatan ilmu suluh hidup.
Bagi generasi terdahulu, ilmu sering dikaitkan dengan maruah intelektual dan kematangan diri. Bagi Generasi Z, ilmu semakin berfungsi sebagai instrumen taktikal untuk melepasi sistem.
Paradoks paling ketara dalam Generasi Rubrik ialah jurang antara pencapaian sebenar dan cara pencapaian itu dipersembahkan.
Walaupun prestasi akademik atau kemahiran sebenar mungkin berada pada tahap minimum, namun naratif yang dibina di ruang digital sering bersifat heroik dan dramatik.
Bagaimana mungkin pencapaian minimum mahu dianggap luar biasa.
Seorang pelajar yang sekadar melepasi syarat kelulusan mungkin berkongsi pencapaian tersebut di media sosial dengan kisah perjuangan yang menginspirasikan, tanpa mendedahkan bahawa lebih separuh kandungan kursus tidak benar-benar dikuasai.
Fenomena ini diperkukuh oleh budaya media sosial yang meraikan imej, emosi dan naratif berbanding kualiti sebenar. Nilai penguasaan sebenar dan penghayatan ditinggal sepi.
Sebagai masyarakat asli digital, Generasi Z sangat mahir membina identiti dalam talian. Mereka memahami bagaimana visual, kapsyen dan simbol kejayaan boleh membentuk persepsi sosial.
Beberapa laporan institusi pendidikan tempatan mendapati pelajar menghabiskan lebih banyak masa mendokumentasikan pencapaian mereka di media sosial berbanding mendalami proses pembelajaran itu sendiri.
Namun fenomena ini tidak wajar ditafsir sebagai keangkuhan generasi muda semata mata. Ia adalah mekanisme adaptasi psikologi dalam dunia yang sarat dengan ketidakpastian ekonomi, persaingan pekerjaan yang sengit dan tekanan sosial untuk sentiasa kelihatan progresif.
Dalam konteks ini, persembahan kejayaan menjadi pelindung emosi, bukan semata mata untuk mendapatkan validasi sosial.
Fenomena Generasi Rubrik menjadi lebih jelas apabila generasi ini memasuki latihan industri dan dunia kerja.
Data daripada beberapa institusi TVET dan universiti awam menunjukkan pola yang membimbangkan. Sebahagian besar pelajar menjalani latihan industri semata mata untuk memenuhi keperluan akademik, bukan sebagai peluang pembelajaran mendalam.
Bahkan tidak sedikit jumlah majikan yang memberikan komentar yang merisaukan.
Satu laporan institusi mendapati lebih 60 peratus pelajar mengakui motivasi utama latihan industri adalah untuk melengkapkan syarat pengijazahan. Keutamaan diberikan kepada elaun jangka pendek, waktu kerja yang fleksibel dan keselesaan, berbanding pendedahan kemahiran, disiplin kerja dan pembinaan jaringan profesional. Terkadang teguran yang diberi dianggap sebagai penginayaan.
Sebahagian pelajar mempertikaikan tugasan asas, mempersoalkan keperluan kerja rutin dan menunjukkan ketidaksabaran terhadap proses pembelajaran yang perlahan.
Fenomena ini mencerminkan cara generasi muda melihat dunia kerja sebagai medan transaksional, bukan ruang pembentukan karakter dan kematangan.
Maka muncul satu kerisauan, bagaimana generasi ini jika satu hari nanti diambil bekerja di satu satu jabatan, adakah mereka mampu memberikan yang terbaik atau sekadar melepasi tahap minimum sahaja.
Pandangan ini tidak muncul secara kebetulan, tetapi dibentuk oleh struktur ekonomi yang telah menghakis janji kestabilan melalui kesetiaan organisasi. Generasi Z membesar dalam dunia kerja yang ditandai kontrak jangka pendek, ekonomi gig dan pasaran yang tidak menentu.
Akibatnya, mereka lebih cenderung memaksimumkan pulangan segera dalam setiap interaksi, meskipun sikap ini menjejaskan pembelajaran mendalam dan pembinaan nilai jangka panjang.
Kesan jangka panjangnya amat serius. Apabila kerja berpasukan dan pembelajaran kolaboratif dianggap tidak efisien, negara berisiko melahirkan tenaga kerja yang mahir secara teknikal tetapi rapuh dari segi etika kerja, rapun kesetiaan nilai jangka panjang, bahkan mungkin pergeseran generasi lama dan baharu.
Kematangan bukan persoalan umur, tetapi soal keupayaan mengurus pilihan dan kesan jangka panjang.
Namun dalam banyak aspek, Generasi Z masih bergelut untuk membangunkan kemahiran asas ini secara menyeluruh.
Dalam bilik kuliah, kematangan terserlah melalui kesediaan mendengar hujah kompleks tanpa defensif.
Dalam dunia kerja, ia ditunjukkan melalui kesanggupan melakukan tugas asas tanpa menuntut pengiktirafan segera.
Mereka memahami erti pengorbanan untuk organisasi. Manakala, dalam kehidupan peribadi, ia hadir sebagai keupayaan memilih pertumbuhan jangka panjang berbanding keseronokan segera.
Namun generasi yang dibesarkan dalam ekosistem kepuasan segera menghadapi kesukaran besar dalam semua aspek ini.
Kajian psikologi generasi muda menunjukkan kecenderungan kepada tindakan impulsif, baik dalam talian mahupun dunia fizikal, tanpa pertimbangan mendalam terhadap implikasi sosial dan etika.
Sikap terhadap kegagalan juga berubah. Generasi terdahulu melihat kegagalan sebagai sebahagian proses pembelajaran.
Generasi Rubrik cenderung melihat kegagalan sebagai ancaman kepada identiti yang perlu disembunyikan atau dielakkan dengan menukar konteks.
Walaupun strategi ini adaptif dalam dunia tidak stabil, ia menghalang pembinaan daya tahan sebenar dan pemahaman mendalam.
Pendekatan lebih jujur memerlukan pembaharuan cara kita mendidik dan menilai.
Rubrik perlu dilihat sebagai panduan, bukan sasaran akhir. Pendidikan harus kembali menekankan proses, refleksi dan aplikasi sebenar.
Dalam latihan industri, pembelajaran perlu diframkan sebagai pelaburan jangka panjang, bukan transaksi sementara.
Lebih penting, generasi muda perlu dibimbing untuk membina kematangan emosi dan intelektual, bukan sekadar kecekapan teknikaldan pencapaian minimum.
Dunia yang kompleks memerlukan individu yang mampu bertahan dalam ketidakselesaan, memahami proses dan menghargai nilai yang tidak boleh diukur dengan markah.
Generasi Rubrik dikhuatiri membawa kepada kegagalan generasi, ia amaran tentang sistem yang meraikan minimum dan lupa menuntut makna.
Jika Malaysia mahu melahirkan tenaga kerja dan warga yang benar benar matang dan mampu mencapai pencapaian optimum maka kita perlu berani menilai semula budaya penilaian, pendidikan dan kerja kita.
Soalnya bukan sama ada generasi muda ini bijak atau berpotensi.
Soalnya ialah sama ada kita berani mencabar mereka untuk melangkaui skor minimum dan membina kematangan yang sebenar.
Dalam dunia yang pantas dan rapuh, kematangan bukan lagi nilai sampingan. Ia adalah prasyarat untuk kelangsungan.
Maklumat penulis:
1. Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau, Nurul Nisha Mohd Shah
2. Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM Shah Alam, Profesor Dr S Salahudin Suyorno
Ringkasan AI
- Generasi Rubrik cenderung menilai kejayaan melalui pematuhan minimum terhadap kriteria yang ditetapkan tanpa penguasaan mendalam
- Fenomena ini merupakan gambaran psikososial yang dipengaruhi oleh sistem, budaya penilaian, dan tekanan sosial
- Pendekatan pembelajaran generasi ini lebih kepada mencapai pencapaian yang memadai daripada penghayatan ilmu sebagai nilai intrinsik
- Generasi Z menggunakan ilmu sebagai alat untuk melepasi sistem bukannya untuk pembelajaran mendalam atau pembinaan nilai jangka panjang
- Perubahan sikap ini menuntut pembaharuan dalam cara pendidikan dan penilaian disampaikan, menekankan proses, refleksi, dan aplikasi sebenar