
Harga rumah mampu milik: Masih menjadi cabaran golongan muda
Memiliki rumah sendiri merupakan impian setiap individu, khususnya golongan muda yang baru menempuh alam pekerjaan dan ingin membina kehidupan sendiri.
Namun begitu, realiti masa kini menunjukkan bahawa impian tersebut semakin sukar dicapai apabila harga rumah masih berada di luar jangkauan kebanyakan anak muda.
Isu ini bukanlah perkara baharu, sebaliknya terus menjadi cabaran besar yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran hartanah menunjukkan peningkatan harga yang ketara.
Walaupun terdapat pelbagai kategori rumah mampu milik diperkenalkan, namun harga yang ditawarkan masih dianggap tinggi berbanding tahap pendapatan golongan muda.
Keadaan ini menyebabkan ramai anak muda terpaksa menangguhkan niat membeli rumah dan memilih untuk menyewa buat sementara waktu. Selain itu, kadar kenaikan gaji yang perlahan turut menambah kesukaran untuk memiliki rumah.
Gaji permulaan bagi graduan muda sering kali tidak setimpal dengan kos kehidupan semasa, termasuk kos perumahan yang meningkat dari tahun ke tahun.
Walaupun kerajaan telah menetapkan kadar gaji minimum, jumlah itu masih belum cukup untuk menampung bayaran ansuran rumah, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru.
Faktor ekonomi semasa turut memainkan peranan penting dalam menentukan kemampuan seseorang memiliki rumah.
Kenaikan kos sara hidup, harga barangan asas yang tidak menentu, serta komitmen kewangan lain seperti pinjaman pendidikan dan perbelanjaan bulanan menjadikan pemilikan rumah satu tanggungjawab yang berat.
Golongan muda kini berdepan dilema antara menabung untuk masa depan atau memenuhi keperluan harian. Dalam situasi ekonomi yang mencabar, keutamaan kewangan sering tertumpu kepada keperluan asas seperti makanan, pengangkutan, dan kesihatan.
Ramai juga yang memilih untuk membantu keluarga terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang rumah sendiri. Justeru, walaupun terdapat pelbagai skim perumahan yang diperkenalkan oleh kerajaan, kemampuan sebenar golongan muda untuk membeli rumah kekal terhad kerana tanggungan kewangan yang sedia ada.
Salah satu isu utama yang sering dibangkitkan ialah lokasi rumah mampu milik yang ditawarkan.
Banyak projek perumahan dibina di kawasan yang jauh dari pusat bandar, tempat kerja, serta kemudahan awam seperti pengangkutan, sekolah, dan hospital.
Walaupun harganya mungkin lebih rendah, namun faktor jarak menyebabkan ramai anak muda kurang berminat untuk membelinya.
Tambahan pula, kos pengangkutan dan masa perjalanan yang panjang akan meningkatkan lagi beban kewangan dan tekanan hidup mereka. Golongan muda pada masa kini bukan sekadar mencari tempat tinggal, tetapi juga gaya hidup yang selesa dan seimbang.
Mereka mahukan rumah yang berhampiran dengan tempat kerja, kemudahan awam, dan akses internet yang baik.
Namun, kebanyakan rumah mampu milik gagal memenuhi kehendak ini, menjadikan permintaan terhadapnya berkurangan walaupun harga ditawarkan lebih rendah berbanding rumah komersial.
Pertumbuhan ekonomi negara yang tidak seimbang turut menyebabkan jurang antara harga rumah dan pendapatan rakyat semakin melebar. Walaupun kadar inflasi menunjukkan peningkatan sederhana, namun kos hartanah meningkat lebih pantas berbanding pertumbuhan gaji.
Golongan muda yang baru bekerja dengan gaji sederhana sekitar RM1,500 hingga RM2,500 sebulan sukar untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan kerana tidak menepati syarat kelayakan pinjaman.
Selain itu, ramai anak muda kini bekerja dalam sektor tidak formal.
Walaupun pendapatan mereka mungkin setara dengan pekerja bergaji tetap, namun status pekerjaan tanpa slip gaji tetap menyukarkan urusan pinjaman.
Hal ini menunjukkan bahawa sistem kewangan masih belum benar-benar inklusif bagi menyokong realiti tenaga kerja muda masa kini. Perubahan gaya hidup turut menjadi faktor penyumbang kepada cabaran pemilikan rumah.
Golongan muda masa kini lebih cenderung untuk mengutamakan pengalaman hidup seperti melancong, membeli kenderaan, atau melabur dalam perniagaan kecil berbanding memiliki rumah.
Mereka juga lebih fleksibel dalam gaya hidup dan tidak mahu terikat dengan komitmen jangka panjang seperti bayaran rumah selama 30 tahun. Namun begitu, ini tidak bermakna mereka tidak berminat untuk memiliki rumah.
Ramai sebenarnya ingin membeli rumah, tetapi mereka berasa kurang yakin dengan kestabilan ekonomi dan keadaan pasaran. Ada juga yang memilih untuk menunggu peluang yang lebih baik atau menanti harga rumah turun, tetapi dalam keadaan pasaran semasa, harapan tersebut sukar menjadi kenyataan kerana nilai hartanah terus meningkat saban tahun.
Kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk membantu golongan muda memiliki rumah, antaranya memperkenalkan skim perumahan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), MyHome, dan Skim Sewa Untuk Milik.
Melalui skim ini, pembeli berpeluang menyewa terlebih dahulu sebelum membeli, sekali gus memberi masa untuk mengumpul wang deposit.
Selain itu, bantuan subsidi dan pinjaman tanpa faedah turut disediakan untuk meringankan beban kewangan pembeli rumah pertama. Namun begitu, pelaksanaan skim-skim ini masih berdepan cabaran.
Terdapat isu ketelusan dalam pemilihan penerima, kelewatan projek siap dibina, dan kekurangan maklumat yang jelas kepada golongan muda tentang peluang yang tersedia.
Di samping itu, penglibatan pihak swasta dan pemaju juga penting dalam memastikan harga rumah kekal dalam lingkungan mampu milik tanpa mengabaikan kualiti pembinaan.
Pemaju perumahan perlu lebih peka terhadap keperluan sebenar golongan muda. Mereka harus menumpukan pembangunan rumah dalam kawasan strategik dengan harga yang berpatutan dan saiz yang sesuai.
Selain itu, penggunaan teknologi binaan moden boleh membantu mengurangkan kos pembinaan dan mempercepatkan tempoh siap sesuatu projek.
Pemaju juga boleh memperkenalkan konsep perumahan pintar dan mesra alam yang memenuhi kehendak generasi muda.
Dari pihak lain, institusi kewangan pula perlu memperkenalkan skim pinjaman lebih fleksibel kepada pembeli rumah pertama, khususnya bagi mereka yang mempunyai pendapatan tidak tetap.
Dengan pendekatan lebih mesra pengguna, pihak bank dapat membantu meningkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia dan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik.
Sekiranya isu harga rumah ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan sosial dan ekonomi negara.
Golongan muda yang tidak mampu memiliki rumah sendiri mungkin akan terus tinggal bersama ibu bapa dalam tempoh yang lama atau terus menyewa hingga ke usia tua. Keadaan ini boleh menjejaskan kesejahteraan hidup dan kualiti kehidupan mereka.
Lebih membimbangkan, ketidakmampuan memiliki aset seperti rumah boleh menyebabkan jurang kekayaan antara generasi semakin melebar. Generasi terdahulu mungkin menikmati peningkatan nilai hartanah, namun generasi muda berisiko ketinggalan dari segi pemilikan aset.
Dalam jangka masa panjang, hal ini boleh memberi kesan kepada struktur ekonomi negara kerana kurangnya pemilikan aset tetap dalam kalangan tenaga kerja muda.
Bagi mengatasi cabaran ini, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Pertama, harga rumah perlu ditentukan berdasarkan kemampuan sebenar rakyat, bukan semata-mata kepada nilai pasaran.
Kerajaan boleh menetapkan had harga rumah mampu milik yang lebih realistik mengikut pendapatan purata isi rumah di sesuatu kawasan.
Pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan dengan merancang pembangunan bandar secara seimbang agar rumah mampu milik tidak tertumpu di kawasan pinggir sahaja.
Dengan adanya kemudahan awam yang baik seperti pengangkutan dan sekolah di kawasan perumahan, rumah di luar bandar juga boleh menjadi pilihan menarik kepada golongan muda. Pendidikan kewangan kepada anak muda perlu diperkasakan.
Ramai masih kurang sedar tentang pentingnya menabung untuk masa depan atau tidak memahami proses pembelian rumah dengan baik. Jika pendedahan awal diberikan sejak di universiti atau awal kerjaya, mereka dapat merancang kewangan dengan lebih bijak dan bersedia menghadapi komitmen jangka panjang.
Secara keseluruhannya, isu harga rumah mampu milik yang masih menjadi cabaran kepada golongan muda bukanlah masalah yang mudah untuk diselesaikan.
Ia melibatkan pelbagai faktor termasuk ekonomi, pendapatan, dasar kerajaan, dan sikap masyarakat itu sendiri. Walau bagaimanapun, dengan usaha berterusan dan kerjasama antara semua pihak, cabaran ini mampu diatasi.
Oleh itu, setiap usaha untuk menjadikan rumah mampu dimiliki oleh golongan muda perlu diberi perhatian serius. Masa depan negara banyak bergantung kepada kesejahteraan generasi muda pada hari ini.
Jika mereka diberi peluang untuk memiliki rumah sendiri, ia bukan sahaja menjamin kesejahteraan individu, malah memperkukuh kestabilan ekonomi dan sosial negara secara keseluruhan.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Che Anis Farahana Che Suhaimi
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia, Jaharudin Padli
Ringkasan AI
- Memiliki rumah sendiri merupakan impian golongan muda tetapi semakin sukar dicapai disebabkan harga rumah yang tinggi
- Peningkatan harga rumah dan gaji permulaan yang tidak setimpal dengan kos hidup menyebabkan ramai terpaksa menangguhkan hasrat membeli rumah
- Lokasi rumah mampu milik yang jauh dari pusat bandar dan kemudahan asas kurang menarik minat pembeli muda
- Kerajaan telah memperkenalkan skim perumahan seperti Program Perumahan Rakyat untuk membantu golongan muda memiliki rumah
- Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan termasuk menetapkan harga rumah berdasarkan kemampuan sebenar rakyat dan meningkatkan pendidikan kewangan