Ilmu, adab asas utama masyarakat sejahtera
Firman ALLAH yang bermaksud; "Adakah sama orang yang mengetahui dan orang tidak mengetahui," perkara ini merujuk kepada ilmu.
Pengajaran yang dapat di ambil ialah kedudukan orang berilmu lebih tinggi daripada orang yang tidak berilmu. Ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat.
Budaya ilmu pula menurut (Wan Mohammad Wan Daud, 2019) adalah kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara lansung mahupun tidak langsung dalam kegiatan ilmuwan.
Berdasarkan kefahaman itu, perkembangan ilmu dalam masyarakat telah bermula sejak dahulu kerana mempunyai kepentingannya yang tersendiri.
Realiti zaman kini, pada usia tiga tahun sudah diajarkan kepada kanak-kanak tentang ilmu menulis dan membaca sehingga mereka memasuki alam persekolahan.
Namun masalah yang timbul pada masa kini, segelintir masyarakat tidak mengambil enteng tentang ilmu kerana mahu menjadi terkenal sebagai pempengaruh, tidak mahu sambung belajar.
Malah dengan bangganya mereka mendakwa boleh berhenti sekolah semata-mata ingin menjadi pempengaruh terkenal ataupun sebagai pereka konten.
Mereka tidak sedar bahawa setiap perkara atau pekerjaan memerlukan ilmu, tidak kira dunia, agama, ilmu berkaitan sains atau sebagainya.
Hendak membina bangunan perlu kepada ilmu dan pakar dalam kejuruteraan, memula bisnes perlu kepada ilmu, untuk menjadi hakim atau peguam perlukan ilmu, memilih dan memberi ubatan kepada pesakit juga perlu kepada ilmu.
Oleh itu, sudah jelas bahawa ilmu ini sangat penting dan dapatlah kita menyangkal bahawa kenyataan yang tidak perlu belajar, namun boleh berjaya itu cuma kata-kata yang sia.
Teknik untuk mendapatkan ilmu pula perlu belajar dengan guru-guru yang sudah pasti kearifannya. Dengan belajar daripada guru itu, maka dapatlah hasilnya namun pelajar pula perlu juga berusaha mendapatkan ilmu.
Ilmu yang dipelajari sangat tinggi nilainya kerana jika seseorang itu belajar sesuatu ilmu dan memberi tumpuan 100 peratus terhadap pembelajaran tersebut, namun kita hanya dapat separuh sahaja yang diajar, sebahagian lagi perlu kepada barakah daripada guru.
Dan jika memberi tumpuan sepenuhnya dengan membawa buku dan alatan tulis untuk mencatat segala nota yang diberi dan diajar oleh sang guru, maka hanya sekdar separuh kefahaman ilmu yang didapati.
Sekiranya seseorang itu sedang menuntut ilmu tetapi tidak memberi tumpuan penuh, manakan mungkin ada ilmu yang mereka perolehi, sesekali tidak yang didapati hanyalah sedikit barangkali tidak dapat apa-apa. Itulah hakikat sebenar sesuatu ilmu.
Ekoran daripada memberi tumpuan dan keberkatan daripada sang guru, maka wujudlah hubung kait antara disiplin seorang pelajar untuk terus memberi tumpuan dan beradab dengan guru supaya mereka mendapatkan 100 peratus ilmu.
Jika tiada restu daripada guru, maka akan muncul kekeliruan dalam pandangan alam penuntut ilmu itu kerana mereka sekadar mendapat maklumat. Hal tersebut boleh terjadi dengan seseorang penuntut ilmu tidak menjaga adabnya dengan guru.
Kehilangan adab juga menjadi salah satu faktor hilangnya ilmu. Mereka kurang faham dan keliru akan belajar tentang adab dengan ilmu dan adab dengan guru.
Pentingnya ilmu
Para ulama sangat menitik beratkan tentang adab sehinggakan ada diriwayatkan sebuah cerita seseorang belajar tentang adab selama 20 tahun, kemudian baru beliau belajar tentang ilmu.
Situasi itu menunjukan bahawa pentingnya nilai adab dan nilai ilmu kerana apabila belajar penuh beradab, maka akan bertambah ilmu yang dikurniakan oleh-Nya kerana ada barakah daripada sang guru.
Namun berbeza pada zaman kini, guru pula perlu beradab dengan anak murid yang dengan senang-wenangnya menyalahkan guru. Malah lebih teruk mengecam guru dengan pelbagai kata-kata kesat.
Impaknya masyarakat zaman sekarang semakin kurang beradab.
Dengan itu sangat ditekankan dua perkara iaitu ilmu dan adab. Satu usaha perlu dilaksanakan untuk membaiki masyarakat yang memandang remeh tentang ilmu dan adab.
Semua pihak perlu mengambil cakna masalah itu kerana kesan yang mendatang akan menjadi lebih teruk dan berbahaya buat masyarakat.
Islam mahupun mana-mana agama lain mengiktiraf ilmu sebagai komponen utama dalam kehidupan kerana pembuktiannya, zaman dahulu kala telah wujud orang yang cerdik pandai dalam falsafah tidak kira dari ketokohan Islam mahupun Barat.
Di era kebangkitan Barat, wujud beberapa ahli pemikiran falsafah namun tidak berpaksi kepada agama, maka lahirlah fahaman bercanggah dengan kehendak agama Islam. Mereka ialah ahli para ilmuwan yang banyak berjasa kepada sebuah tamadun, namun begitu memisahkan agama dengan segala hal pemikiran.
Para pemikir Islam patut dijadikan sebagai contoh dan model bagi masyarakat untuk menunjukan bahawa ilmu agama itu tidak boleh dipisahkan serta mengambil faedah daripada sumbangan yang besar mereka taburkan.
Telah terbukti bahawa belajar ilmu agama juga merupakan perkara penting bagi setiap orang Islam kerana akan melahirkan insan berakhlak tinggi.
Ilmu sangatlah sukar diperoleh dan perlu kepada pengrobanan dan mujahadah yang tinggi. Ilmu berkehendak kepada manusia yang bersungguh-sungguh dalam mendapatkannya, bukan kepada orang yang bermain-main dalam menuntut ilmu.
Jika ilmu didapati oleh seseorang itu tanpa pengorbanan, ketahuilah orang tersebut hanya mendapat maklumat yang disimpan dalam otak sahaja.
Maklumat Penulis
Pelajar Fakulti Pengajian Quran Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia, Muhammad Syahmin Rusli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my