No Image Caption

'Seikat bak serai, serumpun bak selasih': Kereta Api Sarong 2025 makna perpaduan

24 Sep 2025 03:30pm

'Seikat bak serai, serumpun bak selasih.' Begitulah indahnya peribahasa Melayu yang sejak dahulu kala menekankan erti perpaduan hidup bermuafakat, teguh bersama, seia sekata.

Peribahasa ini seakan menjelma nyata setiap kali berlangsungnya Keretapi Sarong, sebuah perayaan budaya yang merentas batas pakaian dan tradisi untuk membawa mesej yang jauh lebih besar: kita semua satu keluarga di bawah langit Malaysia.

Pada 13 September 2025 yang lalu, Kereta Api Sarong sekali lagi melakar sejarah gemilang.

Dianjurkan oleh Locco Malaysia, acara ini berjaya menghimpunkan lebih 20,000 peserta dari pelbagai latar belakang.

Bermula serentak dari 11 stesen permulaan di seluruh Lembah Klang, perjalanan penuh warna-warni ini akhirnya bertemu di destinasi yang gemilang Tun Razak Exchange (TRX), lambang kemodenan kota yang menyaksikan kebangkitan budaya tradisi di tengah arus pembangunan.

Gerabak-gerabak kereta api pada hari itu seakan menjadi jambatan silaturahim.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Setiap sarong yang dililit, setiap songket yang dipakai, adalah simbol keindahan kepelbagaian bangsa Malaysia yang berdiri bahu-membahu, meraikan warisan tanpa mengira usia, kaum mahupun darjat.

Sarong, pada pandangan mata kasar, hanyalah sehelai kain. Namun, bagi bangsa Melayu dan masyarakat Nusantara, sarong adalah bahasa jiwa, lambang kesederhanaan, simbol keakraban, dan warisan yang tidak lekang ditelan zaman.

Apabila ribuan penumpang berdiri di dalam gerabak kereta api dengan sarong dan songket yang beraneka warna, ia seolah-olah tenunan harmoni, corak bangsa yang walaupun berbeza, tetap indah apabila digabungkan.

'Bukan gaya yang ingin dimewahkan, tetapi perpaduan yang dibanggakan.'

Keretapi Sarong 2025 membuktikan bahawa fesyen tradisi mampu hidup segar di tengah kota moden, dan lebih daripada itu, ia menjelma sebagai sebuah gerakan sosial yang menyatukan hati rakyat.

Di setiap lipatan sarong yang dipakai, tersimpan doa agar persaudaraan ini kekal lestari. Di setiap langkah menuju TRX, terpahat keyakinan bahawa perpaduan bukan sekadar retorik, tetapi sebuah realiti yang lahir dari jiwa rakyat Malaysia sendiri.

Kereta Api Sarong 2025 bukan sekadar acara budaya, tetapi sebuah warkah cinta kepada tanah air.

Ia mengajar kita bahawa perpaduan itu indah apabila dirasai bersama, bahawa kebanggaan sebenar bukan pada kemewahan yang dipamerkan, tetapi pada ikatan yang dirasai.

Maka, marilah kita terus berpaut pada semangat peribahasa lama:

'Seikat bak serai, serumpun bak selasih.' Kerana di situlah terletak kekuatan bangsa, bersatu hati, teguh sejiwa, menuju masa depan yang harmoni.

Maklumat penulis:

Muhammad Adz Arrief Hayat Zamri

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ringkasan AI

  • Seikat bak serai, serumpun bak selasih menekankan erti perpaduan dan muafakat dalam masyarakat Melayu
  • Keretapi Sarong ialah perayaan budaya yang menyerlahkan perpaduan melalui penggunaan sarong dan songket
  • Acara pada 13 September 2025 berjaya menghimpunkan lebih 20,000 peserta dari pelbagai latar belakang di Lembah Klang
  • Sarong dianggap sebagai bahasa jiwa dan simbol kesederhanaan dalam budaya Melayu dan Nusantara
  • Keretapi Sarong 2025 membuktikan fesyen tradisi boleh berkembang di kota moden dan memperkuatkan perpaduan rakyat Malaysia
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp