Impak ChatGPT terhadap masa depan mahasiswa
Dalam era perkembangan teknologi yang pesat, kehadiran ChatGPT sebagai model bahasa automatik memberi impak yang besar dalam kehidupan seharian termasuk dalam dunia pendidikan.
ChatGPT ini masih dianggap baharu kerana ia mula diperkenalkan oleh OpenAI pada November 2022 sekali gus telah menggemparkan dunia akademik berdasarkan kekuatan AI yang menyediakan maklumat secara pantas dan komprehensif.
Sejak teknologi ini diperkenalkan, ia mula menjadi saingan yang cukup hebat kepada enjin carian seperti Google yang merupakan salah satu sumber pencarian utama maklumat.
Statistik semasa merekodkan seramai 13 juta pengguna sudah mengakses ChatGPT setiap hari, lebih-lebih lagi melibatkan golongan mahasiswa.
ChatGPT kebanyakannya digunakan oleh mahasiswa tidak mengira universiti awam mahupun swasta sebagai alat bantu dalam memudahkan kerja, penyediaan maklumat berkaitan tugasan, penyediaan bahan penulisan, peluasan skop pengetahuan dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, penggunaan ChatGPT yang tidak bijak boleh mengancam masa depan masyarakat terutamanya mahasiswa yang merupakan golongan harapan serta peneraju dan pemimpin masa depan negara.
Sekiranya golongan ini bergantung sepenuhnya kepada teknologi AI iaitu ChatGPT tanpa menggunakan pemikiran yang asli, ia akan membataskan daya pertumbuhan pemikiran yang seterusnya menghasilkan graduan yang hanya berjaya di atas kertas, namun di kemudian hari boleh memberi ancaman kepada diri mereka sendiri.
Tidak dinafikan penggunaan ChatGPT memberi banyak manfaat kepada mahasiswa dan masyarakat kerana ia boleh diakses secara percuma, selain mampu menambah baik kualiti penulisan dan memberi ruang kepada pengguna mendapatkan lebih banyak idea untuk diterjemahkan dalam bentuk penulisan.
Namun, ia juga akan mendatangkan masalah dan ancaman kepada mahasiswa apabila disalah guna. Terdapat mahasiswa yang terlalu obses dengan penggunaan ChatGPT sehingga boleh membawa kepada hilangnya tujuan mencari ilmu.
Adalah menjadi tanggungjawab mahasiswa mencari ilmu demi masa depan mereka, keluarga dan negara. Harapan oleh ibu bapa untuk melihat anak-anaknya berjaya, menjamin peluang pekerjaan yang cerah dan mencapai keberhasilan tenaga kerja yang berkualiti.
Tetapi, apa gunanya kecemerlangan yang diperoleh sekiranya bergantung secara menyeluruh terhadap pemikiran di ChatGPT? Ia sama sekali tidak membantu dalam keterjaminan masa hadapan mahasiswa.
Perlu bijak guna ChatGPT
Penggunaan teknologi ChatGPT dalam pendidikan boleh menjadi kawan dan lawan. Ia dianggap kawan apabila digunakan secara tepat dan bijak.
Namun, menjadi lawan sekiranya terlampu obses dengannya sehingga segala perkara yang melibatkan pendidikan diekstrak daripada ChatGPT ini secara menyeluruh dan tanpa sumbangan idea pemikiran yang kritis dan kreatif dari diri sendiri.
Situasi ini lama-kelamaan akan menyebabkan mahasiswa terbiasa dan minda mereka tidak dapat berfikir secara terbuka. Justeru, sudah pasti kemahiran berfikir akan terhakis dengan adanya cara yang lebih mudah untuk mendapatkan jawapan bagi setiap persoalan iaitu menerusi ChatGPT.
Sebanyak 100 peratus pergantungan terhadap ChatGPT tanpa menggunakan idea pemikiran semula jadi boleh mencetuskan isu dalam pendidikan di mana para pensyarah akan tertipu dengan penulisan mahasiswa, memberikan skor penilaian yang tidak menggambarkan pengetahuan sebenar mereka serta tidak setanding dengan skor yang mereka sepatutnya dapat dan ini sudah dianggap sebagai penipuan.
Isu bias atau penilaian berat sebelah berdasarkan isi kandungan yang dihantar oleh mahasiswa kepada penilainya bakal menjadi masalah yang perlu diberi penekanan dan perhatian.
Bukan itu sahaja, namun menurut laporan akhbar tempatan, sebilangan pakar luar negara memberi amaran bahawa lebih separuh daripada pelajar institusi pengajian tinggi termasuk di kolej mula menggunakan aplikasi ChatGPT untuk menipu dalam peperiksaan.
Perkara ini dilihat merupakan isu yang tidak boleh diendahkan sama sekali kerana lama-kelamaan, ia akan berterusan menjadi barah dalam kalangan mahasiswa dan menyumbang kepada penghasilan graduan yang tidak berintegriti.
Pergantungan terlalu tinggi pada teknologi ChatGPT sudah tentu akan memberi masalah kepada mahasiswa di alam pekerjaan kelak kerana mahasiswa tersebut tidak terbiasa untuk bergantung kepada kebolehan diri mereka sendiri.
Situasi ini melahirkan tenaga kerja yang lemah dan tidak berupaya menyumbang kepada perkembangan ekonomi.
Tanpa sumbangan idea dari pemikiran mahasiswa itu sendiri, mereka mungkin gagal membawa perspektif unik atau penyelesaian kreatif kepada projek atau masalah di tempat kerja serta kualiti kerja mereka juga mungkin tidak memenuhi piawaian yang diharapkan. Perkara ini boleh memberi kesan negatif kepada reputasi dan kemajuan kerjaya mereka.
Tambahan pula, jika mahasiswa bergantung sepenuhnya pada ChatGPT, mereka mungkin tidak mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan rakan sekerja kelak yang boleh menghalang keupayaan mereka untuk bekerjasama dalam satu pasukan.
Sehubungan itu, penyalahgunaan terhadap teknologi ChatGPT ini perlu dibendung dengan kadar segera.
Umumnya, kita tidak berupaya untuk menolak sepenuhnya kemajuan ini tetapi kita masih boleh menggunakannya secara berhikmah dan rasional. Mahasiswa sewajarnya memikirkan segala impak negatif yang akan diterima di kemudian hari sekiranya tahap kebergantungan kepada ChatGPT terlampau tinggi.
Dalam pada itu, peperiksaan yang dijalankan secara atas talian, penyediaan laporan seperti tesis, pemberian tugasan yang perlu disiapkan memungkinkan mahasiswa untuk meniru menerusi ChatGPT.
Oleh itu, kaedah pendidikan tersebut mungkin sudah tidak boleh digunakan sepenuhnya.
Maklumat Penulis
1 - Pelajar Tahun Akhir SM Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nursyafiqka Kamaruzzaman
2 - Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT, Jaharudi Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my