Mahasiswa adalah ejen pembangunan negara. Gambar kecil: Muhammad Syafi Fauzan.
Mahasiswa adalah ejen pembangunan negara. Gambar kecil: Muhammad Syafi Fauzan.

Mahasiswa berkarisma bentuk masa depan negara

MUHAMMAD SYAFI FAUZAN SAIFUDDIN
25 Feb 2024 08:00am
A
A
A

Negara amat memerlukan pemimpin masa depan yang bukan hanya cemerlang di atas kertas peperiksaan, namun seseorang bertanggungjawab, mementingkan kebajikan rakyat dan berketerampilan terpuji sebelum nama meniti kemasyhuran.

Umum mengetahui bahawa mahasiswa merupakan insan yang mendominasi warga kampus lantaran sentiasa digalakkan berfikiran kreatif, kritis dan analitis.

Justeru, sebarang usaha murni yang dapat membantu atau membentuk kelompok mahasiswa memiliki karakter kepemimpinan yang baik, wajar diketengahkan dalam memastikan pelapis pemimpin masa depan memiliki kredibiliti untuk mendukung aspirasi masyarakat dan negara agar impian dalam mencapai status negara maju di peringkat global dapat direalisasikan.

Kepercayaan yang menyatakan seseorang pemimpin sememangnya dilahirkan sebagai pemimpin juga merupakan tanggapan salah kerana kepimpinan sebenarnya adalah satu proses di mana individu yang mahu muncul sebagai seorang pemimpin perlu melalui pelbagai proses pembelajaran sebelum mereka berjaya.

Untuk menjadi pemimpin yang hebat pula, seseorang individu itu perlu memiliki ciri-ciri tertentu bagi membolehkan mereka muncul sebagai seorang pemimpin yang berkaliber.

Setiap individu mampu memiliki semua ciri-ciri kepimpinan yang berkesan kerana kepimpinan ialah suatu proses pembelajaran.

Kepimpinan juga bukan adalah suatu perkara yang boleh diajar dalam pembelajaran di kelas atau diturunkan secara turun-temurun daripada generasi sebelum ini.

Ciri-ciri atau keperibadian sebagai pemimpin itu perlu dirintis daripada pengalaman dan kematangan mahasiswa sendiri dengan menyusuri pahit getir di alam universiti.

Artikel Berkaitan:

Universiti telah menjadi institusi yang melahirkan insan berilmu dan berpengetahuan luas sepanjang tempoh pengajian. Penguasaan ilmu dalam sesuatu bidang akan mengangkat martabat sesuatu bangsa dan negara. Dengan ilmu yang dipraktikkan sebaik mungkin, ia boleh mengubah kehidupan dan nasib sesuatu negara bangsa untuk mendepani cabaran hidup yang penuh dengan pancaroba.

Mahasiswa bukannya robot atau insan tidak berjiwa, mereka perlu dididik menyampaikan pandangan bernas terhadap apa jua perkara yang perlu ditambah baik.

Mahasiswa tentunya berhak memberi apa sahaja cadangan bernas yang mencerminkan kewibawaan personaliti mereka asalkan menerusi saluran yang berhemah. Sebagai contoh, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah pentas terbaik untuk menggilap idealisme mahasiswa, selain aktif bersama kelab atau persatuan di kampus.

Setiap mahasiswa memiliki potensi diri dan bakat yang berbeza-beza, jadi pensyarah tanpa disedari sebenarnya memainkan peranan yang cukup signifikan dalam kehidupan mahasiswa yang tidak boleh dikesampingkan sebagai penasihat akademik dan tenaga pengajar dalam membentuk mahasiswa yang memiliki akal budi yang tinggi serta mencorak mereka menjadi orang yang berguna di masa akan datang.

Antara sebab terbesar mengapa seseorang itu perlu menjadi atau menonjolkan diri mereka sebagai pemimpin adalah pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan mampu memimpin merupakan individu yang mempunyai wawasan dan boleh melakukan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen. Mereka juga mempunyai disiplin diri yang kuat dan mampu menangani masalah dengan cara yang terbaik dan berkesan.

Sesungguhnya, mahasiswa wajar diberikan peluang bersama pengurusan universiti untuk bersatu membina aspirasi dan iltizam secara kebersamaan.

Mahasiswa adalah ejen pembangunan negara yang bukan sahaja boleh membantu universiti, malah masyarakat dan kerajaan dengan pelbagai idea menarik.

Keistimewaan kecerdasan akal fikiran yang ada pada diri mereka boleh digembleng sebaik mungkin dalam usaha membentuk masa depan negara yang gemilang.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Melaka, Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok