Jambatan angkat Kuala Terengganu pemacu ekonomi, destinasi pelancongan baharu
Jambatan Angkat (Drawbridge) yang menjadi mercu tanda ikonik Terengganu kini bukan sekadar simbol kemodenan tetapi turut mencipta impak besar terhadap perkembangan ekonomi dan pelancongan tempatan.
Dengan rekaan yang unik serta pemandangan menakjubkan, jambatan ini telah berjaya menarik ribuan pengunjung setiap tahun sekali gus membuka peluang besar kepada peniaga kecil, usahawan tempatan dan sektor perhotelan.
Pelbagai program menarik tingkatkan ekonomi
Kawasan sekitar Jambatan Angkat ini telah menjadi lokasi strategik untuk pelbagai acara menarik yang menjadi daya tarikan utama pelancong.
Antaranya ialah RXZ Member Gathering yang mengumpulkan ribuan peminat motosikal RXZ dari seluruh negara.
Acara berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan peniaga tempatan melalui jualan makanan, cenderamata, dan perkhidmatan lain.
Tidak ketinggalan, Ex5 Member Gathering turut menjadi medan pertemuan komuniti motosikal klasik yang berjaya mencipta suasana meriah dan meningkatkan bilangan pengunjung di kawasan tersebut.
Selain itu, Pesta Buku PPAT 2024 yang berlangsung berhampiran Jambatan Angkat turut menarik perhatian ramai dengan aktiviti menarik seperti pameran galeri seni, permainan realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) serta lawatan eksklusif ke ruang hidraulik jambatan.
Acara ini bukan sahaja memupuk budaya membaca tetapi juga memberi peluang kepada usahawan kecil memasarkan produk mereka.
Tambahan pula, Jom Santai Food Festival dan Mini Zoo Utara turut mendapat sambutan hangat dengan pelbagai tarikan seperti 500 menu makanan viral, mini zoo terbesar, persembahan artis nasyid dan gerai usahawan tempatan.
Festival ini mencerminkan keunikan budaya Terengganu dan pada masa sama memberi impak ekonomi positif kepada penduduk setempat.
Pesta kreatif dan hiburan moden
Keunikan kawasan Jambatan Angkat diperkukuhkan lagi dengan penganjuran Karnival Jualan Drawbridge yang menyajikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung seperti kemunculan dinosaur animatronik dan pesta lampu berwarna-warni.
Elemen kreatif ini bukan sahaja menarik golongan muda yang gemar bergambar malah mewujudkan suasana meriah bagi keluarga.
Aktiviti seperti ini turut memberikan peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk unik mereka kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.
Platform promosi dan perkembangan ekonomi
Jambatan Angkat juga telah diiktiraf sebagai lokasi strategik untuk memperkenalkan produk tempatan kepada pelancong.
Dengan sokongan pelbagai pihak, penganjuran acara berskala besar telah membuka peluang kepada lebih ramai peniaga kecil untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka.
Peningkatan bilangan pelancong turut membantu sektor perhotelan, pengangkutan dan perkhidmatan lain yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi tempatan.
Salah seorang peniaga tempatan berkongsi bahawa setiap kali acara besar diadakan sudah pasti hasil jualan mereka meningkat secara mendadak.
“Kawasan ini menjadi tumpuan pelancong dan kami amat bersyukur kerana kehadiran Jambatan Angkat telah membuka ruang rezeki yang luas untuk semua,” katanya.
Destinasi masa depan Terengganu
Dengan pelbagai program yang menarik dan pengurusan acara yang berkesan, Jambatan Angkat terus memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi negeri Terengganu.
Ia bukan sahaja menjadi simbol kemajuan tetapi juga contoh terbaik bagaimana infrastruktur moden mampu mengubah landskap ekonomi dan sosial sesebuah komuniti.
Jambatan Angkat kini tidak sekadar jambatan penghubung, tetapi sebuah platform untuk pembangunan ekonomi dan pemerkasaan budaya tempatan.
Dengan komitmen berterusan daripada kerajaan dan pelbagai pihak, Jambatan Angkat dijangka terus menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri, seterusnya memastikan Terengganu kekal relevan sebagai destinasi pelancongan unggul di Malaysia.
Maklumat Penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhamad Ariff Ibrahim
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my