Golongan usahawan muda adalah kumpulan yang sangat dinamik dan inovatif. (Gambar kecil: Nur Syafiqah)
Golongan usahawan muda adalah kumpulan yang sangat dinamik dan inovatif. (Gambar kecil: Nur Syafiqah)

Usahawan muda pemacu ekonomi negara pada era digital

10 Dec 2024 12:05pm

Di Malaysia, peranan usahawan muda semakin penting dalam usaha membangunkan ekonomi negara.

Mereka bukan sekadar mencipta peluang pekerjaan, tetapi juga membantu merancakkan pelbagai sektor ekonomi termasuk perkhidmatan, pelancongan, makanan dan teknologi digital.

Di Kelantan, mereka berhadapan dengan cabaran dalam pembangunan ekonomi.

Kehadiran usahawan muda menjadi tonggak penting untuk memacu perubahan dan meningkatkan daya saing negeri di peringkat global.

Artikel ini akan mengupas bagaimana usahawan muda memberi impak besar dalam pembangunan ekonomi negara, khususnya di Kelantan dan menyentuh bagaimana inspirasi daripada tokoh seperti Khairul Aming serta Datuk Seri Vida yang dapat mendorong lebih ramai generasi muda untuk membina empayar perniagaan masing-masing.

Golongan usahawan muda adalah kumpulan yang sangat dinamik dan inovatif.

Dengan keberanian untuk mencuba pendekatan baharu serta kebolehan menggunakan teknologi moden, mereka membawa nafas segar kepada pelbagai sektor ekonomi.

Menurut laporan SME Corporation Malaysia (2020), sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang didominasi oleh usahawan muda menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan ini termasuk dalam aspek penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan eksport, dan pengenalan produk baharu yang kompetitif di pasaran global.

Dalam konteks di Kelantan, usahawan muda memainkan peranan besar untuk mengatasi cabaran ekonomi seperti kadar pengangguran yang tinggi dan kekurangan pelaburan luar.

Dengan memanfaatkan keunikan tradisi budaya dan warisan negeri ini, mereka dapat mencipta peluang perniagaan yang dapat memperkukuh ekonomi tempatan.

Usahawan muda di negeri itu juga semakin proaktif menggunakan platform digital untuk memperluaskan pasaran dan menunjukkan bahawa potensi ekonomi negeri ini mampu berkembang jauh melangkaui sempadan geografi.

Kelantan kaya dengan tradisi seni dan hasil alam yang unik.

Usahawan muda di negeri ini sering menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan moden untuk menghasilkan produk yang menarik dan relevan di pasaran global.

Sebagai contoh, industri makanan dan minuman di negeri itu telah berkembang pesat apabila produk tradisional seperti keropok lekor, dodol, dan nasi kerabu diberi nafas baharu.

Golongan muda yang menceburi bidang ini menggunakan kreativiti mereka untuk mencipta nilai tambah pada produk-produk tersebut sekali gus menjadikannya lebih menarik bagi pasaran generasi muda.

Selain makanan, sektor pelancongan juga mendapat manfaat daripada keusahawanan muda.

Pengenalan rumah inap yang berkonsep elemen tradisional dengan teknologi moden serta promosi produk kraftangan Kelantan di platform digital telah menarik lebih ramai pelancong.

Usaha ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan usahawan muda, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara keseluruhan.

Pengaruh positif usahawan berjaya

Antara faktor yang mendorong ramai generasi muda menceburi bidang keusahawanan adalah kejayaan tokoh-tokoh seperti Datuk Seri Vida dan Khairul Aming.

Mereka membuktikan bahawa melalui dedikasi dan kreativiti, kejayaan besar boleh dicapai walaupun bermula dengan modal kecil.

Hal ini dapat diambil contoh melalui Datuk Seri Vida yang telah membina jenama Vida Beauty yang terkenal dengan produk kecantikan seperti Qu Puteh.

Beliau berasal dari Kelantan dan menggunakan kelebihan tempatan sebagai asas untuk memulakan perniagaan.

Kejayaannya tidak hanya terletak pada kualiti produk tetapi juga strategi pemasaran kreatif melalui media sosial dan selebriti.

Pengaruh Datuk Seri Vida telah menginspirasikan ramai golongan muda untuk berani mengejar impian mereka dalam dunia perniagaan.

Khairul Aming pula adalah contoh usahawan muda yang memanfaatkan media sosial sebagai platform utama untuk memasarkan produknya.

Jenama seperti ‘Sambal Nyet’ yang diperkenalkan tidak hanya berjaya di pasaran tempatan tetapi juga mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Beliau menunjukkan bahawa pemasaran digital yang kreatif dan konsisten mampu membawa perniagaan kecil ke tahap yang lebih tinggi.

Kisah kejayaan tokoh-tokoh ini memberi motivasi kepada usahawan muda untuk terus berinovasi dan berusaha gigih.

Ia juga membuktikan bahawa dengan pendekatan yang betul, perniagaan boleh berkembang pesat walaupun dalam suasana ekonomi yang mencabar.

Cabaran dan sokongan kepada usahawan muda

Walaupun usahawan muda mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, mereka sering berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti kekurangan modal, persaingan sengit dan perubahan teknologi yang pesat.

Namun, sokongan daripada kerajaan dan institusi kewangan memainkan peranan penting untuk membantu mereka mengatasi halangan ini.

Di Malaysia, pelbagai program telah diperkenalkan untuk menyokong usahawan muda.

Contohnya, agensi seperti SME Corporation Malaysia, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan TEKUN Nasional menyediakan pembiayaan, latihan, dan peluang pemasaran untuk membantu mereka memulakan dan mengembangkan perniagaan.

Selain itu, insentif seperti geran dan pembiayaan mikro turut diberikan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil.

Kerajaan juga menekankan kepentingan ekonomi digital dengan memperkenalkan inisiatif seperti Geran Digitalisasi PKS.

Langkah ini bertujuan untuk membantu usahawan muda memanfaatkan platform e-dagang dan teknologi digital untuk memperluaskan pasaran mereka.

Membangunkan ekonomi melalui keusahawanan muda

Usahawan muda bukan sahaja bertanggungjawab untuk mencipta kekayaan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi yang lebih inklusif.

Mereka membantu mengurangkan kadar pengangguran dengan mencipta peluang pekerjaan untuk golongan belia dan memperkenalkan produk yang memenuhi keperluan pengguna.

Di Kelantan, keusahawanan muda telah membawa perubahan positif dengan memperkenalkan perniagaan yang mengangkat keunikan negeri tersebut ke peringkat global.

Produk tempatan seperti batik, songket dan makanan tradisional kini mendapat perhatian yang lebih luas, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.

Generasi muda hari ini harus mengambil inspirasi daripada kejayaan usahawan seperti Khairul Aming dan Datuk Seri Vida.

Kedua-duanya membuktikan bahawa kejayaan tidak bergantung kepada latar belakang tetapi lebih kepada usaha, kreativiti dan keberanian untuk mengambil risiko.

Bagi mereka yang baru ingin menceburi bidang keusahawanan, penting untuk mempunyai visi yang jelas, memahami kehendak pasaran dan memanfaatkan teknologi terkini.

Media sosial misalnya merupakan alat yang sangat berkuasa untuk membina jenama dan memasarkan produk.

Pendekatan pemasaran yang kreatif dan konsisten seperti yang dilakukan oleh Khairul Aming boleh menjadi panduan kepada usahawan muda lain.

Selain itu, sokongan daripada komuniti dan kerajaan juga memainkan peranan penting.

Generasi muda perlu mengambil inisiatif untuk menyertai program latihan dan pembangunan yang disediakan di samping membina rangkaian dengan usahawan lain untuk bertukar idea dan pengalaman.

Usahawan muda adalah pemacu utama dalam pembangunan ekonomi negara, khususnya di negeri-negeri seperti Kelantan.

Dengan kreativiti, inovasi dan semangat juang yang tinggi, mereka telah membuktikan bahawa cabaran boleh diatasi untuk mencapai kejayaan besar.

Inspirasi daripada tokoh seperti Khairul Aming dan Datuk Seri Vida harus dijadikan motivasi untuk lebih ramai golongan muda melibatkan diri dalam dunia perniagaan.

Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan dan masyarakat, usahawan muda berpotensi untuk membawa perubahan yang lebih besar sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif di peringkat global.

Maklumat Penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian & Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Syafiqah Zikri.

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp