Amalan rasuah merosakkan struktur pentadbiran, menyebabkan penyalahgunaan kuasa dan menghalang keadilan sosial. (Gambar hiasan)
Amalan rasuah merosakkan struktur pentadbiran, menyebabkan penyalahgunaan kuasa dan menghalang keadilan sosial. (Gambar hiasan)

Kejahatan ekonomi gelap dan rasuah

18 May 2024 08:00am

Ekonomi gelap dan rasuah sentiasa menjadi dua isu yang menjejaskan integriti dan kemajuan Malaysia.

Ekonomi gelap, dengan pelbagai aktiviti tidak sah seperti perdagangan manusia, pengedaran dadah, penggalian haram dan penipuan kewangan sememangnya menimbulkan kegusaran dalam masyarakat. Fenomena ini tidak hanya merugikan ekonomi negara tetapi juga menjejaskan keselamatan sosial.

Keadaan ini bertambah rumit dengan meluasnya jaringan antarabangsa dalam aktiviti ekonomi gelap. Peredaran wang haram dan perniagaan tidak sah melalui perbatasan negara menjadi semakin sulit untuk dikesan dan dicegah.

Fenomena itu menuntut kerjasama antarabangsa yang lebih mantap untuk memerangi kegiatan ekonomi gelap secara efektif.

Di samping itu, rasuah terus menjadi ancaman serius terhadap kestabilan institusi negara dan kepercayaan masyarakat. Amalan rasuah merosakkan struktur pentadbiran, menyebabkan penyalahgunaan kuasa dan menghalang keadilan sosial.

Ketidakadilan yang berkaitan dengan rasuah membawa implikasi yang negatif terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Rasuah juga mempengaruhi proses pembangunan ekonomi dengan menyekat pelaburan, merosakkan persekitaran perniagaan dan menjejaskan kecekapan penggunaan sumber-sumber negara. Ia menyebabkan kesan negatif yang berterusan terhadap pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Bagi menangani ekonomi gelap dan rasuah, kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan. Pendidikan dan pemahaman mengenai kesan negatif kedua-dua isu ini kepada masyarakat dan negara perlu disebarkan secara meluas.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, perlunya penegakan undang-undang yang lebih tegas dan berkesan serta peningkatan integriti dalam semua lapisan masyarakat dan institusi penting untuk mengatasi kedua-dua cabaran ini.

Kejayaan menangani ekonomi gelap dan rasuah memerlukan kerjasama yang erat antara pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat awam.

Hanya melalui usaha bersama yang gigih dan berterusan, Malaysia dapat membasmi amalan yang merosakkan ini serta mencapai pembangunan yang berkekalan, selain memastikan masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.

Maklumat Penulis

1 - Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Jaharudin Padli

2 - Mahasiswa Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) UMT, Siti Salbiah Mohd Fuad

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp