Kertas ulangan tidak bererti gagal
Kertas ulangan atau repeat paper bukan tanda kegagalan bagi seorang mahasiswa.
Keputusan akhir setiap semester kebiasaanya menjadi ukuran terhadap pemahaman dan ilmu yang didapati oleh semua mahasiswa saat itu.
Punca terjadinya kertas ulangan adalah disebabkan mereka gagal mencapai syarat kelayakan yang ditetapkan universiti atau kolej.
Situasi ini menyebabkan para penuntut terpaksa mengulang semula subjek yang tidak memenuhi syarat kelulusan dan memulakan kembali sesi pembelajaran dengan lebih bersemangat untuk mendalami ilmu.
Terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan sekiranya mahasiswa mahu lebih bermotivasi walaupun menduduki kertas ulangan. Antaranya, mereka perlulah mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk menduduki peperiksaan itu.
Sebagai penuntut, anda mestilah rajin belajar dan mengulang kaji pelajaran serta memahami apa yang dipelajari sepanjang semester.
Malah, mereka juga perlu membuat jadual belajar agar aktiviti pembelajaran dan mengulang kaji pelajaran menjadi lebih berkesan dan konsisten.
Tambahan pula, waktu rehat yang cukup amat penting agar tidak terganggu dengan masalah kesihatan sebelum menduduki kertas ulangan.
Hal ini kerana, apabila kesihatan terjejas maka penuntut tidak akan dapat menjawab peperiksaan dengan baik. Ia juga akan menyebabkan anda tidak dapat menduduki peperiksaan seperti yang diingini sebelum ini.
Pada hemat penulis, antara kesan dan kebaikan mengambil kertas ulangan adalah anda akan lebih fokus dalam pembelajaran dan lebih efektif menyiapkan tugasan serta bersemangat menduduki peperiksaan.
Ia kerana, apabila sudah berpengalaman menduduki kertas ulangan, kebiasaannya para mahasiswa lebih mempersiapkan diri mereka untuk melakukan tugasan bersungguh-sungguh.
Seterusnya, persiapan mental yang kuat juga penting supaya mereka sentiasa yakin pada diri dengan segala ilmu yang diperolehi untuk digunakan ketika peperiksaan.
Akhir kata, kepayahan dan kesusahan dihadapi golongan mahasiswa untuk belajar akan menjadi bukti kejayaan masa hadapan.
Kesungguhan dan kecekalan yang ikhlas menuntut ilmu akan dijanjikan kemenangan indah dan kedudukan terbaik di sisi masyarakat. Pemikiran positif dan semangat belajar yang tinggi akan menjadi pendorong kepada penuntut untuk berjaya.
Bak kata peribahasa Melayu, mereka yang berusaha pasti akan erjaya.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Nur Khairul Izzati Mohd Zamri dan Siti Daleela Mohd Wahid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my