Kesihatan mental cabaran untuk semua
Kesihatan mental bukanlah isu asing dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Ini kerana, statistik masalah kesihatan mental yang sentiasa menunjukkan trend peningkatan telah membimbangkan semua orang.
Misalnya statistik individu yang membuat panggilan ke Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang dilaporkan Majlis Keselamatan Negara meningkat lima kali ganda pada tahun 2022 berbanding 2020.
Kesihatan mental merujuk kepada satu keadaan di mana seseorang itu menyedari akan keupayaan dirinya boleh bertindak balas terhadap tekanan hidup, boleh melakukan kerja dengan produktif dan boleh memberi kepentingan kepada komuniti.
Ia juga merujuk kepada cara seseorang itu berfikir, merasa, bertindak dan berinteraksi dengan orang lain.
Jika dilihat definisi kesihatan mental itu sendiri, dapat kita simpulkan ia adalah satu perkara penting dan wajar diberi perhatian.
Jadi, apakah punca masalah kesihatan mental di Malaysia ini semakin meningkat?
Sebelum itu, perlu kita ketahui masalah kesihatan mental adalah satu situasi yang pada mulanya hadir rasa tidak selesa dengan diri sendiri, persekitaran dan orang lain semasa melayari kehidupan seharian.
Hal ini berlanjutan dan sedikit demi sedikit akan menggangu rutin harian seseorang.
Oleh itu, penting untuk kita ketahui faktor atau punca yang membawa kepada masalah tersebut agar dapat kita berikan rawatan awal bagi mencegah daripada menjadi lebih buruk.
Sudut keluarga
Salah satu faktornya dapat kita lihat dari sudut keluarga iaitu cara atau corak seseorang itu diasuh dan dibesarkan di rumah.
Ia berkait rapat dengan corak keibubapaan diamalkan para ibu bapa yang secara langsung dapat mempengaruhi kesihatan mental anak-anak.
Terdapat empat corak keibubapaan diamalkan di Malaysia iaitu authoritarian, authoritative, permissive dan negligent.
Authoritarian ialah gaya asuhan yang mengajar anak-anak untuk patuh pada perintah dan peraturan ditetapkan oleh ibu bapa tanpa ada kompromi.
Authoritative pula gaya asuhan di mana ibu bapa menetapkan peraturan untuk anak-anak ikuti tetapi mereka juga terbuka mendengar pendapat anak-anak.
Permissive adalah ibu bapa memberikan kebebasan kepada anak-anak melakukan sesuatu dan mereka ini kurang tegas berbanding ibu bapa yang mengamalkan corak asuhan authoritarian dan authoritative.
Negligent pula ibu bapa memberi kebebasan penuh kepada anak-anak membuat pilihan.
Dalam erti kata lain, kesihatan mental anak-anak akan terkesan dengan cara asuhan ibu bapa di rumah.
Persekitaran
Faktor seterusnya adalah persekitaran. Ia merujuk kepada keadaan sekeliling seseorang itu seperti rakan-rakan, tempat tinggal dan tempat kerja.
Sebagai contoh, rakan-rakan yang mempunyai perasaan cemburu dan iri hati antara satu sama lain, tempat tinggal kotor dan tidak terjaga serta tekanan di tempat kerja.
Hal-hal ini akan melahirkan rasa tidak senang dalam diri individu dan akan mempengaruhi kesihatan mental seseorang.
Pendidikan
Umum mengetahui pendidikan memberi banyak manfaat kepada seseorang baik dari segi pengetahuan dan kemahiran, peluang pekerjaan dan pembentukan karakter seseorang.
Kajian daripada portal kesihatan MyHealth, statistik orang yang tiada pendidikan atau berpendidikan rendah dan mempunyai masalah kesihatan mental adalah kira-kira 15-16 peratus.
Dalam dunia yang kita diami sekarang di mana terdapat banyak persaingan, pendidikan adalah satu aspek penting yang menentukan kedudukan individu dalam kalangan masyarakat.
Orang yang tiada pendidikan selalunya akan dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling dan hal ini semestinya akan mempengaruhi kesihatan mental mereka.
Kesihatan fizikal
Bagi orang sakit atau mempunyai kekurangan dari segi fizikal, mereka cenderung untuk merasa rendah diri dan tidak berguna.
Hal ini terutamanya berlaku kepada seseorang yang lahirnya sempurna dari segi fizikal yang mana mereka mengalami kecelakaan hingga memberikan kesan kepada fizikal mereka.
Akan tetapi faktor ini juga dipengaruhi oleh penerimaan orang sekeliling terhadap mereka sekali gus mempengaruhi kesihatan mental seseorang.
Terdapat juga faktor-faktor lain yang akan mempengaruhi kesihatan mental seperti jantina, umur, agama dan budaya.
Individu yang mengalami masalah kesihatan mental akan mudah berasa tidak puas hati dan terasa dengan kata-kata orang lain.
Mereka juga akan mengalami masalah sukar untuk tidur atau insomnia, hilang selera makan, berat badan menurun, mudah gemuruh, berdebar-debar, mudah marah dan tidak produktif.
Suka diingatkan, kesihatan fizikal, kualiti kehidupan dan produktiviti seseorang dipengaruhi kesihatan mental individu terbabit.
Antara masalah kesihatan mental yang sering kita dengar di Malaysia ialah kemurungan (depression), kebimbangan (anxiety), skizofrenia dan gangguan obsesif kompulsif (OCD).
Meskipun begitu, masalah-masalah ini bukanlah kekal dan tidak boleh dipulihkan. Ia boleh dipulihkan dengan bantuan pakar dan orang sekeliling.
Oleh hal yang demikian, masyarakat seharusnya tidak mendiskriminasi golongan yang mempunyai masalah kesihatan mental ini sebaliknya hendaklah memberikan bantuan kadar segera agar mereka boleh menjalani kehidupan dengan baik.
Antara cara yang boleh dilakukan bagi menolong golongan yang mengalami masalah ini adalah dengan mendengar masalah dan menasihati mereka untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan mental teruk, dinasihatkan merujuk pakar supaya mereka mendapat rawatan sesuai dan berkesan.
Tuntasnya, seseorang itu hendaklah prihatin akan kesihatan mental diri dan orang sekeliling agar dapat hidup dalam suasana aman, damai dan harmoni.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Siti ‘Aisyah Balqis Abdul Rahman
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my