
Ketelusan pelajar dalam sistem peperiksaan penentu masa depan
Kes peniruan dalam peperiksaan bukanlah isu baharu dalam dunia pendidikan.
Sebahagian pelajar masih beranggapan bahawa perbuatan meniru dapat menjamin keputusan cemerlang, sedangkan peperiksaan bukan sahaja mampu mengukur tahap pengetahuan, malah bertujuan membentuk jati diri serta nilai integriti dalam kalangan pelajar.
Amalan ini jelas menimbulkan ketidakadilan terhadap mereka yang berusaha memperoleh ilmu secara sahih, sementara segelintir pelajar memilih 'jalan singkat'.
Walaupun tindakan meniru mungkin memberikan keputusan yang baik secara luaran, nilai kejujuran dan keberkatan dalam proses pembelajaran adalah jauh lebih penting.
Tambahan pula, pelajar yang ditangkap meniru berisiko dikenakan tindakan disiplin seperti pembatalan keputusan peperiksaan atau dibuang institusi.
Meskipun ada pihak yang menganggap isu ini remeh, kejujuran dan ketelusan merupakan asas penting yang membentuk hala tuju hidup seseorang pada masa hadapan.

Sebagai contoh, terdapat pelajar yang menyalahgunakan alat elektronik seperti jam tangan pintar dan kalkulator grafik untuk menyeludup jawapan ke dalam dewan peperiksaan.
Meskipun statistik rasmi berkenaan jumlah pelajar yang meniru dalam peperiksaan di Malaysia tidak didedahkan secara terbuka, namun laporan media menunjukkan bahawa kes meniru masih kerap berlaku setiap tahun khususnya dalam penggunaan alat elektroknik.
Tindakan sebegitu bukan sahaja menyebabkan keputusan peperiksaan mereka terbatal, malah menghancurkan harapan ibu bapa yang menginginkan kejayaan yang sah, halal dan berintegriti.
Integriti dalam peperiksaan menjadi asas penting dalam pembentukan jati diri serta pencapaian kejayaan yang sebenar.
Sebarang bentuk penipuan mampu menjejaskan ketelusan sistem peperiksaan kerana sistem penilaian di Malaysia berlandaskan standard yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Perlakuan meniru juga menggugat kredibiliti sistem penilaian kerana ia tidak mencerminkan kemampuan sebenar pelajar dalam pembelajaran.
Terdapat pelbagai bentuk peniruan seperti menyalin jawapan rakan, menggunakan bahan bantuan yang tidak dibenarkan (cheat sheet), menggunakan alat elektronik dan juga penipuan secara lisan.
Secara realitinya, pelajar yang lulus peperiksaan melalui penipuan mungkin berdepan pelbagai masalah ketika memasuki alam pekerjaan.

Hal ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai kemahiran sebenar untuk melaksanakan tugas, khususnya dalam pekerjaan yang memerlukan kepakaran tinggi seperti bidang sains, teknologi, perubatan dan kejuruteraan.
Ilmu yang dipelajari sepanjang tempoh persekolahan dan pengajian tinggi sepatutnya digunapakai dalam kerjaya dan ketiadaan asas yang kukuh akhirnya merugikan diri mereka sendiri.
Ketiadaan asas yang kukuh boleh menjejaskan daya saing individu sekali gus menyukarkan pelaksanaan tugas.
Perkara ini menyebabkan majikan meragui kebolehupayaan pekerja mereka kerana bimbang ianya boleh menjejaskan reputasi organisasi.
Secara umumnya, punca yang menyebabkan pelajar kerap meniru adalah disebabkan tekanan akademik.
Mereka takut akan kegagalan yang bakal mereka hadapi setelah menerima keputusan sehingga menyebabkan mereka mengambil tindakan tidak bermoral iaitu dengan meniru.
Ibu bapa yang meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap keputusan anak mereka juga menjadi salah satu penyebab timbulnya rasa kebimbangan, rendah diri dan takut akan kegagalan.
Tekanan psikologi ini menyebabkan pelajar mengambil ‘jalan selamat’ dengan meniru.
Bahkan, perkembangan kepada teknologi turut menyumbang kepada peningkatan kes penipuan dan peniruan dalam dewan peperiksaan.
Contoh alat yang digunakan untuk meniru adalah pemadam elektronik, cermin mata pintar dan kamera mikro.
Hal ini menunjukkan bahawa teknologi adalah ibarat penawar dan racun, jika dimanfaatkan dengan bijak ianya membawa kebaikan namun jika disalahgunakan, ia membawa binasa.
Meskipun pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik, majikan kini amat menitikberatkan calon yang bukan sahaja berprestasi akademik tinggi tetapi juga 'kaya' dengan kemahiran.
Kemahiran yang dimaksudkan merangkumi aspek interpersonal, teknikal dan digital.
Mereka yang mahir dalam ketiga-tiga aspek ini mempunyai potensi yang besar untuk berjaya dalam jangka masa panjang, tidak kira bidang yang diceburi.
Sehubungan itu, sistem pendidikan turut menilai pelajar dari aspek tersebut melalui ujian lisan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, yang menguji kebolehan pelajar berfikir secara kritis dan menyatakan idea secara tersusun.

Malah, pelajar didedahkan dengan penggunaan teknologi maklumat semasa penyediaan kerja kursus.
Perisian komputer seperti Word, Excel, PowerPoint, Canva dan lain-lain sering digunakan semasa pembentangan, yang secara tidak langsung meningkatkan kemahiran mereka dalam menghadapi dunia digital.
Kesimpulannya, ketelusan merupakan asas penting dalam kehidupan, sama ada dalam alam pembelajaran mahupun dunia pekerjaan.
Sistem peperiksaan berperanan sebagai saluran utama dalam membentuk sahsiah pelajar agar menjadi individu yang berintegriti dan bertanggungjawab.
Oleh itu, isu ini perlu diberi perhatian serius, terutamanya oleh pihak berkuasa yang mengurus peperiksaan seperti Lembaga Peperiksaan dan Jawatankuasa Peperiksaan Sekolah.
Pelajar yang didapati meniru harus dikenakan hukuman setimpal supaya mereka mengambil iktibar dan sedar akan kepentingan nilai kejujuran dalam membentuk masa depan yang cemerlang.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Fatihah Ibrahim
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my
Ringkasan AI
- Kes peniruan dalam peperiksaan menjejaskan integriti dan nilai kejujuran pelajar
- Pelajar yang meniru berisiko dikenakan tindakan disiplin seperti pembatalan keputusan atau dibuang institusi
- Penggunaan alat elektronik dalam peniruan menunjukkan perkembangan teknologi boleh menjadi baik atau buruk bergantung penggunaannya
- Kelulusan melalui penipuan menyebabkan ketiadaan kemahiran sebenar yang diperlukan dalam dunia pekerjaan
- Tekanan akademik dan harapan tinggi dari ibu bapa menjadi penyebab utama pelajar memilih untuk meniru