No Image Caption

Klik dan beli: Revolusi online shopping dalam ekonomi Malaysia

16 Jan 2026 10:00am

Dunia hari ini berkembang dengan begitu pantas, dan rakyatMalaysia sedang berada dalam fasa revolusi digital yang berterusan.

Kini, hampir semua urusan boleh dilakukan dengan telefon anda, daripada berkomunikasi hingga bekerja dan membeli-belah.

Dengan hanya beberapa sentuhan pada skrin telefon pintar, masyarakat sejagat boleh menyelesaikan tugas yang dahulunya memerlukan masa dan tenaga.

Globalisasi yang berkembang pesat ini mempunyai kesan yang ketara terhadap ekonomi dunia, termasuk Malaysia.

Perkara ini bukan sahaja mengubah cara orang bekerja dan berinteraksi, tetapi menghidupkan semula budaya membeli-belah orang ramai.

Rakyat Malaysia telah mempercepatkan peralihan ke dunia digital sejak pandemik COVID-19 melanda enam tahun lalu iaitu pada sekitar tahun 2019.

Perubahan ini bukan sahaja mempengaruhi cara komunikasi dan urusan harian masyarakat, malah turut mengubah landskap perniagaan secara menyeluruh.

Aktiviti jual beli dalam talian tidak menunjukkan tanda perlahan, sebaliknya terus meningkat walaupun kita semakin hampir tahun 2026 dan wabak itu telah kembali perlahan seterusnya menjadi yang terakhir.

Sebelum berlakunya pandemik 2020, e-dagang Malaysia sudah menunjukkan kemajuan yang baik dan perkembangan yang positif.

Artikel Berkaitan:

Keadaan ini menjadi lebih ketara apabila pandemik melanda. Hal ini terserlah apabila dunia yang seakan terhenti akibat wabak, lalu perdagangan digital muncul sebagai nadi baharu ekonomi.

Perkara ini dapat dibuktikan oleh laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pendapatan transaksi e-dagang melonjak daripada RM675.4 bilion pada tahun 2019 kepada RM1,037.2 bilion pada tahun 2021, iaitu peningkatan lebih 53.6% dalam tempoh dua tahun. Peningkatan ini bukan sekadar angka statistik, sebaliknya ia sudah menunjukkan cara masyarakat menggunakan teknologi untuk menyesuaikan diri dengan cabaran dunia.

Ribuan perniagaan kecil dan sederhana telah beralih kepada membuka perniagaan mereka di alam maya sebagai tindak balas kepada keperluan untuk menutup banyak kedai fizikal.

Mereka mula berniaga melalui platform popular seperti Shopee, Lazada, TikTok Shop dan Grab dengan hanya telefon pintar dan internet, menjadikan Malaysia lebih yakin ke arah era perdagangan digital.

Bagi penjual dalam talian, lonjakan e-dagang ini hadir bersama perasaan bercampur baur antara cemas dan harapan.

Ketika pintu kedai fizikal terpaksa ditutup, dunia digital menjadi ruang baharu untuk mereka bangkit dan meneruskan kelangsungan hidup.

Walaupun persaingan semakin sengit dan cabaran teknologi tidak mudah ditempuh, mereka tetap meneruskan perniagaan walaupun hanyalah di atas talian.

Bagi mereka, setiap transaksi bukan sekadar jual beli, tetapi simbol ketabahan dalam menghadapi perubahan zaman.

Jika dahulu pembelian barangan memerlukan masyarakat untuk keluar dari rumah, beratur panjang di parkir dan menunggu lama untuk mendapatkannya, kini hampir semua perkara boleh dilakukan dari rumah.

Perkara ini turut dapat dilakukan oleh semua orang, tidak kiralah ketika sedang berehat mahupun beriadah, ramai pelanggan sudah selesa membeli-belah dalam talian.

Mereka malah boleh membuat pesanan pada bila-bila masa, tanpa mengira waktu. Hal ini terjadi apabila internet semakin mudah diakses dan penggunaan telefon pintar semakin meluas, pembelian atas talian menjadi satu kebiasaan yang kekal walaupun pandemik telah berlalu.

Pembelian dalam talian memberi manfaat besar kepada peniaga kecil dan sederhana selain memudahkan pengguna.

Inisiatif kerajaan seperti MyDIGITAL dan pelan e-dagang membantu usahawan beralih ke platform digital.

Ini membolehkan penjual kampung dan luar bandar menghantar barangan mereka ke seluruh Malaysia, malah ke pasaran global tanpa perlu membuka kedai fizikal.

Pelbagai lapisan masyarakat dapat mengalami kesan kemajuan ini. Selain itu, peluang pekerjaan baharu tercipta dengan banyak dan meluas kerana antara contohnya adalah dalam bidang perkhidmatan pelanggan, logistik, penghantaran dan pergudangan.

Pada masa yang sama, ramai usahawan tempatan kini boleh bersaing secara sihat dalam pasaran digital.

Hasil daripada pertumbuhan pesat e-dagang, pekerjaan seperti pemandu penghantaran, pekerja kurier, pereka laman web dan jurugambar produk semakin mendapat permintaan.

Oleh kerana pembeli boleh membandingkan harga, membaca ulasan dan membuat keputusan dengan lebih yakin, kehidupan mereka menjadi lebih mudah dan fleksibel.

Pada masa yang sama, sektor sokongan seperti perbankan digital, syarikat telekomunikasi dan logistik berkembang pesat, semuanya disebabkan oleh budaya membeli-belah atas talian yang semakin kukuh.

Menjelang tahun 2026 dan seterusnya, ekonomi digital Malaysia dijangka terus berkembang selari dengan penggunaan pembayaran tanpa tunai dan perkhidmatan penghantaran yang lebih pantas.

Pembelian dalam talian kini bukan sahaja melibatkan barangan fizikal, malah turut merangkumi perkhidmatan seperti pembelajaran, kesihatan dan urusan profesional yang boleh diakses secara dalam talian.

Dalam masa yang sama, pengguna semakin sedar akan kepentingan keselamatan semasa melakukan transaksi digital.

Ramai pembeli kini lebih berhati-hati dalam melindungi maklumat peribadi serta memilih penjual dan kaedah pembayaran yang selamat.

Kesedaran ini mendorong platform e-dagang dan institusi kewangan untuk terus menambah baik sistem keselamatan.

Usaha ini penting bagi memastikan kepercayaan antara peniaga dan pengguna terus terpelihara. Apabila landskap digital berubah, perniagaan juga perlu mengubah cara mereka memasarkan produk mereka.

Bagi menarik minat pelanggan untuk membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan, perniagaan atas talian ini secara keseluruhannya mempromosikan barangan serta perkhidmatan ini menggunakan platform media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook, Threads bagi tujuan penstriman langsung (live stream) dan konten video pendek yang inovatif yang menunjukkan kelebihan serta kualiti sesuatu produk tersebut.

Dalam dunia e-dagang Malaysia pada hari ini,fenomena live selling menjadi menjadi strategi utama aktiviti jual beli atas talian.

Hal ini adalah kerana penjual dan pembeli dapat membuat komunikasi dua hala antara penjual dan pembeli. Namun begitu, dalam keghairahan mengejar kemajuan digital, nilai kemanusiaan tidak boleh diketepikan.

Teknologi seharusnya mendekatkan manusia, bukan menjauhkan. Kejujuran peniaga, kebijaksanaan pengguna dan peranan kerajaan dalam memastikan keadilan serta keselamatan transaksi digital.

Secara keseluruhan, pembelian dalam talian telah berkembang daripada sekadar trend baharu kepada kuasa utama ekonomi Malaysia.

Ia bukan sahaja membantu orang ramai bertahan dalam tempoh paling mencabar dalam sejarah dunia moden, tetapi ia juga mengurangkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar dengan membolehkan barangan dihantar ke mana-mana sahaja.

Selain itu, ekosistem e-dagang yang semakin berkembang menawarkan peluang yang lebih baik untuk penciptaan tempatan. Menggunakan platform digital sebagai batu loncatan untuk berkembang kerana ramai anak muda sudah mula membina jenama sendiri, menjual barangan buatan tempatan.

Ini meningkatkan ekonomi negara secara tidak langsung dan meningkatkan daya saing negara.

Akhir sekali, bagi memastikan kemajuan ini benar-benar memberi kesan, pembangunan ekonomi digital perlu dilaksanakan dengan cara yang adil, inklusif dan bertanggungjawab. Ini akan memenuhi matlamat Malaysia untuk mewujudkan ekonomi digital yang mampan dan seimbang.

Maklumat penulis:

1) Pelajar Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nursyazwani Othman

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Ringkasan AI

  • Dunia kini dalam fasa revolusi digital dengan urusan harian boleh dilakukan melalui telefon pintar
  • Pandemik COVID-19 mempercepatkan peralihan Malaysia ke dunia digital, meningkatkan aktiviti e-dagang
  • Pendapatan transaksi e-dagang di Malaysia meningkat daripada RM675.4 bilion pada tahun 2019 ke RM1,037.2 bilion pada tahun 2021
  • Inisiatif kerajaan dan penggunaan telefon pintar merangsang pembelian dalam talian, memudahkan akses ke pasaran global untuk penjual kampung dan luar bandar
  • Pembangunan ekonomi digital Malaysia memerlukan pendekatan yang adil, inklusif dan bertanggungjawab untuk mencapai ekonomi digital yang mampan dan seimbang
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp