
Teknologi merentasi generasi menyemai potensi Madani
Dalam landskap masyarakat Malaysia hari ini, perbezaan antara generasi sering dilihat sebagai sumber konflik, salah faham dan sindiran terbuka. Kenyataan seperti 'generasi sekarang terlalu bergantung kepada telefon' atau 'generasi lama tidak mahu belajar teknologi' menjadi naratif lazim dalam perbualan seharian.
Namun persoalan yang lebih besar ialah sama ada perbezaan generasi ini benar benar menjadi penghalang kemajuan, atau sebenarnya peluang strategik yang belum dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina masyarakat Madani yang inklusif dan berdaya tahan.
Hakikatnya, jurang antara generasi bukan berpunca daripada kelemahan sikap semata mata, tetapi daripada perbezaan ekosistem pembangunan yang membentuk cara berfikir, berkomunikasi dan bekerja.
Setiap generasi lahir dalam konteks ekonomi, teknologi dan budaya yang berbeza, lalu membangunkan set kemahiran dan nilai yang tidak sama.
Apabila perbezaan ini tidak difahami secara berstruktur maka ia mudah ditafsir sebagai keengganan untuk berubah atau kegagalan menyesuaikan diri.
Malaysia kini berada pada satu fasa kritikal di mana kemajuan teknologi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan asas dalam kehidupan seharian.
Dalam situasi ini, pendekatan yang memposisikan perbezaan generasi sebagai masalah perlu ditinggalkan.
Sebaliknya, perbezaan tersebut harus dilihat sebagai modal sosial untuk menyemai potensi Madani yang menekankan nilai ihsan, hormat, kebersamaan dan kesejahteraan bersama.
Generasi X, Y, Z dan Alpha tidak sekadar berbeza dari segi umur, tetapi dibentuk oleh realiti pembangunan yang berbeza.
Generasi yang membesar sebelum era digital mengalami dunia yang lebih perlahan, berhierarki dan berasaskan interaksi fizikal.
Sebaliknya, generasi yang lahir dalam era internet pantas dan telefon pintar dibentuk oleh budaya maklumat segera, komunikasi visual dan ekosistem digital yang sentiasa berubah.
Generasi muda yang sering dirujuk sebagai masyarakat asli digital mempunyai kelebihan dari segi kecekapan teknologi, keupayaan menyesuaikan diri dengan aplikasi baharu dan kefahaman intuitif terhadap logik platform digital.
Mereka membesar dalam persekitaran di mana carian maklumat, transaksi kewangan dan interaksi sosial berlaku di hujung jari. Ini menjadikan mereka lebih pantas menyesuaikan diri dengan perkembangan seperti kecerdasan buatan, automasi dan ekonomi digital.
Sebaliknya, generasi yang lahir sebelum era digital sering dilabel sebagai pendatang digital.
Mereka perlu mempelajari teknologi sebagai kemahiran tambahan pada usia dewasa, sering kali dalam keadaan terpaksa dan tanpa sokongan pembelajaran yang sistematik.
Walaupun pengalaman hidup dan kebijaksanaan praktikal mereka sangat bernilai, jurang kemahiran digital boleh menimbulkan rasa terpinggir, tertekan dan tidak yakin.
Namun, jurang ini bukan takdir yang tidak boleh diubah.
Pelbagai inisiatif boleh diambil bagi merapatkan jurang yang ada termasuklah melalui pendekatan komunikasi yang betul, pendidikan rentas generasi dan kesediaan untuk bekerjasama.
Teknologi sering dianggap sebagai punca jurang generasi, tetapi sebenarnya ia juga boleh menjadi bahasa penyatuan yang paling berkesan.
Dalam konteks Malaysia hari ini, hampir setiap urusan asas melibatkan teknologi digital.
Data menunjukkan kadar penembusan internet di Malaysia melebihi 96 peratus bagi penduduk berumur 15 tahun ke atas.
Lebih lapan puluh peratus rakyat menggunakan perkhidmatan dalam talian sama ada untuk komunikasi, urusan kewangan, pembelian barangan atau akses perkhidmatan kerajaan.
Dasar pendigitalan kerajaan seperti inisiatif ekonomi digital nasional, sistem bantuan kebajikan berasaskan permohonan dalam talian, transaksi tanpa tunai serta penggunaan kod QR di premis perniagaan telah mengubah cara hidup masyarakat.
Bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan program kebajikan lain memerlukan tahap literasi digital minimum untuk diakses dengan berkesan.
Dalam konteks ini, generasi muda sebenarnya memiliki peranan strategik sebagai pemudah cara.
Kecekapan teknologi mereka bukan sekadar untuk kegunaan peribadi, tetapi boleh dimanfaatkan sebagai aset komuniti.
Apabila generasi muda dilibatkan secara aktif sebagai jurulatih, fasilitator atau rakan pembimbing digital, jurang generasi boleh dirapatkan melalui interaksi bermakna, bukan sindiran atau paksaan.
Sebaliknya, generasi lebih berusia membawa pengalaman, nilai kerja, kesabaran dan kefahaman konteks sosial yang mendalam.
Apabila digabungkan dengan kemahiran teknologi generasi muda, ia membentuk kombinasi yang sangat berharga untuk pembangunan masyarakat Madani.
Konsep Madani yang menekankan kesejahteraan, hormat dan keadilan sosial memberikan kerangka yang sesuai untuk mengurus perbezaan generasi.
Masyarakat Madani tidak dibina melalui dominasi satu kelompok ke atas kelompok lain, tetapi melalui pengiktirafan bahawa setiap generasi menyumbang nilai yang berbeza.
Inisiatif seperti Program Madani Rakyat yang membawa tema digital merentasi generasi mencerminkan kesedaran kerajaan bahawa transformasi digital tidak boleh bersifat eksklusif.
Pembangunan negara tidak akan mampan jika hanya satu segmen masyarakat yang mampu bergerak pantas, manakala segmen lain tertinggal dan terpinggir.
Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi nasional untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan, berdaya saing dan beretika.
Teknologi dalam kerangka Madani bukan sekadar alat kecekapan, tetapi instrumen pemerkasaan sosial. Ia perlu digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup, memperkukuh jaringan komuniti dan mengurangkan ketidaksamaan, bukan menambah jurang antara yang celik digital dan yang tercicir.
Walaupun teknologi menawarkan banyak kemudahan, proses adaptasi tidak berlaku secara automatik.
Generasi yang sedang menyesuaikan diri berdepan cabaran psikologi seperti rasa rendah diri, takut melakukan kesilapan dan kebimbangan ditipu dalam talian.
Kajian mengenai adaptasi digital mendapati golongan dewasa dan warga emas sering memerlukan sokongan berterusan, bukan sekadar latihan sekali lalu.
Di sinilah pentingnya pendekatan berempati dan berteraskan nilai. Pendidikan teknologi tidak boleh disampaikan dengan nada menghakimi atau merendahkan.
Sebaliknya, ia perlu berlandaskan prinsip saling menghormati, kesabaran dan keinginan untuk belajar bersama.
Apabila generasi muda memahami cabaran ini dan generasi lebih berusia bersedia membuka diri, proses adaptasi menjadi lebih manusiawi dan berkesan.
Teknologi merentasi generasi bukan slogan kosong, tetapi strategi sosial yang penting untuk masa depan Malaysia.
Dalam usaha merealisasikan potensi Madani, perbezaan generasi perlu diraikan sebagai kekuatan kolektif, bukan sumber perpecahan.
Apabila generasi muda dan generasi berpengalaman bertemu dalam ruang saling belajar, teknologi menjadi jambatan nilai, bukan jurang.
Dalam kerangka inilah Malaysia boleh membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi teknologi, tetapi juga matang dari segi adab, empati dan kebersamaan.
Pilihan akhirnya terletak pada kita sebagai masyarakat.
Sama ada terus memelihara sindiran antara generasi, atau memilih untuk menyemai potensi Madani melalui teknologi yang memanusiakan, bukan meminggirkan.
Maklumat penulis:
1. Pelajar Tahun Akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Negeri Sembilan Alif Danish Ahza Ahmad Azahari
2. Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, Nurul Nisha Mohd Shah
Ringkasan AI
- Dalam masyarakat Malaysia, perbezaan generasi sering dilihat sebagai sumber konflik namun sebenarnya boleh dijadikan peluang untuk membina masyarakat yang inklusif
- Jurang antara generasi disebabkan oleh perbezaan dalam ekosistem pembangunan seperti ekonomi, teknologi dan budaya
- Generasi muda, yang merupakan asli digital, memiliki keupayaan teknologi yang lebih tinggi berbanding dengan generasi yang lebih tua yang perlu belajar teknologi pada usia dewasa
- Pendekatan dalam mengatasi jurang generasi perlu berubah dari melihatnya sebagai masalah kepada melihat perbezaan sebagai aset untuk pembangunan masyarakat Madani
- Teknologi boleh menjadi bahasa penyatuan yang berkesan antara generasi dan penting untuk pembangunan masyarakat yang adil, berempati dan matang