Latihan industri merupakan peluang keemasan bagi bakal graduan untuk meningkatkan kemahiran serta membentuk profesionalisme yang mantap. (Gambar hiasan)
Latihan industri merupakan peluang keemasan bagi bakal graduan untuk meningkatkan kemahiran serta membentuk profesionalisme yang mantap. (Gambar hiasan)

Latihan industri: Platform penting untuk pengalaman kerjaya awal

23 Jul 2024 08:00am

Latihan industri di peringkat pengajian tinggi kini menjadi salah satu syarat untuk bergraduan.

Ia merupakan peluang keemasan bagi bakal graduan untuk meningkatkan kemahiran serta membentuk profesionalisme yang mantap.

Melalui latihan industri, pelajar dapat menerapkan ilmu yang dipelajari di kelas ke dalam situasi sebenar, memperoleh pengalaman bekerja dan membina rangkaian profesional yang berguna untuk kerjaya masa depan.

Kebanyakan institut pengajian tinggi memberi peluang kepada pelajar untuk memilih syarikat di mana mereka ingin menjalankan latihan industri.

Dengan perkembangan teknologi, pelajar kini mempunyai pilihan untuk menjalankan latihan industri dari rumah, selari dengan trend bekerja dari rumah yang diikuti oleh pekerja tetap rentetan dari fasa Covid-19.

Pendekatan ini tidak mengurangkan penglibatan pelajar dalam proses latihan, malah memberikan mereka fleksibiliti dan kebebasan dalam menyesuaikan diri dengan tuntutan dunia kerja yang semakin dinamik.

Bagaimanapun, terdapat kekurangan dari segi kemahiran kerja berpasukan, interpersonal dan komunikasi lisan apabila menjalankan latihan industri seperti bekerja dari rumah. Hasil kajian mendedahkan bahawa sesetengah pelajar tidak mempunyai kemahiran komprehensif sebelum bergraduan.

Untuk meningkatkan lagi keberkesanan latihan industri, terdapat beberapa persediaan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pelajar seperti berikut:

Artikel Berkaitan:

Latar belakang syarikat

Pelajar perlu memahami latar belakang syarikat, bidang dan etika kerja yang akan diberikan.

Ia dapat memudahkan pelajar untuk mengaitkan bidang kerja dengan pembelajaran di kelas dan mengetahui tanggungjawab sebagai seorang pelatih latihan industry dengan lebih baik.

Kemampuan berkomunikasi

Pelajar perlu mempelajari cara berkomunikasi dengan baik secara lisan atau bertulis.

Kemahiran berkomunikasi boleh meningkatkan profesionalisme dalam pekerjaan termasuk dalam menulis email rasmi dan berurusan dengan pihak luar.

Kerja berpasukan

Pelajar perlu melatih diri untuk bekerja dalam satu pasukan, termasuk mendengar dan memberi pandangan atau maklum balas untuk sesuatu tugasan. Sebarang maklum balas yang diberikan perlu diambil penekanan dan menerima dengan terbuka untuk penambahbaikan di masa akan datang.

Bekerja secara berdikari

Pelajar perlu meningkatkan keupayaan untuk bekerja lebih berdikari tanpa perlu pengawasan yang berterusan dari majikan.

Dengan menyertai kumpulan, forum profesional atau membina jaringan dengan industri yang berkaitan, ia dapat membantu pelajar untuk menyelesaikan masalah dan mencari peluang untuk memperbaiki diri.

Sikap positif dan bermotivasi

Pelajar perlu sentiasa berfikiran positif dan bermotivasi dalam tugasan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Perkembangan perniagaan pasti akan merubah cara kerja dari masa ke semasa yang memerlukan persediaan mental dan fizikal dari pelajar.

Dengan persediaan yang rapi dan penambahbaikan yang berterusan, latihan industri dapat memberikan pengalaman yang berharga dan mempersiapkan graduan untuk menghadapi dunia pekerjaan dengan lebih yakin dan kompeten.

Maklumat penulis

Pensyarah Kanan, Uniten Business School, Universiti Tenaga Nasional, Nurul Nadiah Ahmad

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp