
Mahasiswa Unisel turun padang bersihkan Sungai Chiling
Sungai Chiling yang terletak di Kuala Kubu Baru, Selangor, merupakan salah satu destinasi popular bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi.
Air jernih dan pemandangan hutan tropika yang menakjubkan menjadikan Sungai Chiling bukan sahaja menjadi tempat rekreasi tetapi juga lokasi ideal untuk aktiviti kemasyarakatan.
Selain itu, Sungai Chiling juga terkenal sebagai pusat santuari ikan yang menjadi tempat kunjungan utama bagi peminat ikan kelah.
Baru-baru ini, mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) telah menganjurkan aktiviti gotong-royong dan rekreasi di Sungai Chiling.
Program ini dianjurkan penuntut subjek Green Awareness and Sustainability Community yang diketuai Karnaganiswaran Ulaganathan.
Menurut pensyarah merangkap penasihat program, Profesor Madya Dr Salina Muhamad, program sebegini adalah penting kepada mahasiswa kerana mereka perlu didedahkan dengan aktiviti yang dapat meningkatkan pemahaman terhadap kesedaran hijau dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

"Aktiviti gotong-royong ini sekali gus menyokong SDG 14 dan 15 yang menekankan Kelestarian Hidupan di Dalam Air dan Hidupan di Atas Darat.
"Ia juga turut menyokong SDG 13 yang bertujuan untuk mengambil tindakan segera bagi memerangi perubahan iklim dan kesannya," katanya dengan menambah, program sebegini tidak hanya memberikan manfaat kepada alam sekitar tetapi juga memperkukuhkan ikatan sosial antara mahasiswa.
Sementara itu, aktiviti gotong-royong dan rekreasi di Sungai Chiling telah dirasmikan oleh bekas Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk K Deepakaran yang turut berkongsi pandangan tentang kepentingan penjagaan alam sekitar serta peranan mahasiswa dalam meneruskan kelestarian alam.
Beliau turut memberi motivasi kepada mahasiswa agar terus aktif dalam aktiviti sosial dan sukarelawan.
Sekadar info, program gotong-royong yang dilaksanakan bertujuan membersihkan kawasan sekitar Sungai Chiling daripada sampah sarap dan pencemaran yang ditinggalkan pengunjung.
Inisiatif ini juga berobjektif meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar dalam kalangan mahasiswa dan orang awam.
Selain aktiviti pembersihan, program berkenaan turut menjadi platform untuk mahasiswa berinteraksi dan bekerjasama dalam suasana santai serta menyeronokkan.

Mereka juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti rekreasi seperti jungle trekking, mandi sungai dan mendaki laluan hutan menuju ke puncak air terjun yang terkenal dengan keindahannya.
Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman menyeronokkan malah menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan mahasiswa.
Melalui program ini juga, mahasiswa Unisel berjaya menunjukkan komitmen mereka terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Dalam masa sama, penuntut bukan sahaja mempelajari kepentingan menjaga kebersihan sungai malah memahami ekosistem yang wujud di sekitarnya.
Seterusnya, program di Sungai Chiling bukan sekadar memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi turut memperkukuh semangat kerjasama, kepimpinan dan persahabatan dalam kalangan mahasiswa.
Diharapkan inisiatif sebegini dapat menarik lebih ramai penuntut untuk terlibat dalam aktiviti pemeliharaan alam semula jadi pada masa hadapan.
Dengan usaha bersama, keindahan alam semula jadi dapat terus dipelihara agar dinikmati oleh generasi akan datang.
Maklumat penulis:
Pensyarah Unisel merangkap penasihat program, Profesor Madya Dr Salina Muhamad
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my