Malaysia, negara terkemuka dalam dunia Islam mampu menawarkan pelbagai perkara terutamanya berkaitan dengan amalan terbaik, perdagangan dan inovasi. Gambar kecil: Andi Sukmawati
Malaysia, negara terkemuka dalam dunia Islam mampu menawarkan pelbagai perkara terutamanya berkaitan dengan amalan terbaik, perdagangan dan inovasi. Gambar kecil: Andi Sukmawati

Malaysia sebagai hab ekonomi halal

ANDI SUKMAWATI ANDI SUMING DAN JAHARUDIN PADLI
28 Jun 2024 08:00am
A
A
A

Pasaran ekonomi halal amat memberangsangkan sehingga dijangka akan mencecah AS$4.96 trilion (RM 22.34 trilion) menjelang 2030 daripada AS$2.3 trilion 2020. Selain daripada itu, ekonomi halal di negara Islam sedang mengalami trend menaik. Perkara ini berlaku disebabkan oleh produk halal orang Islam dan negara bukan Islam meningkat.

Terdapat beberapa faktor utama dalam memacu industri halal antaranya adalah demografi penduduk yang menggalakkan, dasar kerajaan dan inisiatif sektor swasta.

Menurut Pakar Ekonomi Kanan Frost & Sullivan, Neha Anna Thomas, tahap perdagangan halal dan kewangan Islam mempunyai potensi yang tinggi dalam mempercepatkan pembangunan infrastruktur dan ekonomi halal bersedia untuk menjadi lebih bersepadu dengan perdagangan global dan rantaian bekalan.

Bagi memperkukuhkan kawal selia dan sokongan dasar, pihak kerajaan telah melaksanakan pelan induk nasional dan pengembangan skop pensijilan. Perkara ini dapat meningkatkan pertumbuhan industri halal. Selain itu, ketelusan dan kebolehkesanan sepanjang rantaian nilai produk halal juga sangat penting dalam meningkatkan pertumbuhan industri halal.

Seterusnya, Frost & Sullivan turut menyatakan bahawa, bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan pasaran halal pihak kerajaan global perlu berusaha untuk menyatukan standard halal dan proses akreditasi bertujuan untuk membantu dalam mengurangkan bilangan keperluan pensijilan dan mempromosikan perdagangan halal.

No Image Caption

Bagi mencapai matlamat tersebut pengeluar makanan harus bekerjasama dengan syarikat teknologi bagi meningkatkan kebolehkesanan dan ketulusan sambil meningkatkan kepercayaan pengguna.

Tambahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengatakan Malaysia perlu memperkasakan lagi aspek utama dalam pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan, latihan, integrasi teknologi serta kerjasama global.

Seterusnya, Fadillah mengingatkan kepada pemegang-pemegang taruh dalam industri Islam supaya tidak melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang dengan melakukan transaksi tidak beretika bertujuan untuk memastikan ekosistem sektor ekonomi halal berkembang secara komprehensif.

Perkara ini beliau tegaskan kerana industri halal telah menetapkan penanda aras ke arah menegakkan integriti dan nilai halal mengikut undang-undang Islam. Oleh itu, pemegang taruh perlu menjauhi transaksi yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang seperti tidak jujur, memanipulasi harga dan menyorok bekalan sebaliknya pemegang taruh perlu mematuhi prinsip etika yang baik bertujuan untuk mewujudkan ekosistem industri halal yang lebih kondusif.

Malaysia yang merupakan sebuah negara yang terkemuka dalam dunia Islam mampu untuk menawarkan banyak perkara terutamanya yang berkaitan dengan amalan terbaik, perdagangan dan inovasi.

Malaysia dijadikan sebagai contoh kepada ekonomi halal dan berjaya dalam menempatkan dirinya sebagai penggerak utama ekonomi halal global yang mana Malaysia telah berada di kedudukan nombor satu selama sembilan tahu berturut-turut.

No Image Caption

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ekonomi halal telah menyumbang kira-kira 7.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Selain itu, beliau juga turut memaklumkan negara kini telah menerajui kewangan Islam, makanan halal, pelancongan mesra Islam dan sektor-sektor media dan rekreasi. Sektor makanan merupakan komponen terbesar ekonomi halal yang telah berjaya menyumbangkan kira-kira US$31 bilion (US$=RM 4.72).

Lima negara teratas

Malaysia merupakan lima negara teratas dengan aset kewangan Islam terbesar iaitu lebih US$619.7 bilion pada 2021. Dengan ini, Malaysia dikenali sebagai perintis dalam kewangan Islam dan industri kerana telah dikawal dengan baik dan cukup maju.

Malaysia telah menerbitkan nota komersial yang berkaitan kemampanan kewangan Islam berdenominasi dolar AS yang pertama di dunia. Selain itu, pensijilan halal Malaysia turut diiktiraf di peringkat global. Dengan cop keaslian halal Malaysia telah membantu dalam mengekalkan ‘ pencucian wang kotor’ dan Membina kepercayaan terutamanya dalam perdagangan antarabangsa.

Mustapa juga menegaskan kerajaan untuk terus menekankan kepentingan ekonomi halal. Dalam Rancangan Malaysia ke-12, beliau mengatakan strategi utama adalah meletakkan Malaysia sebagai hab global dengan merancakkan pembangunan bakat halal, memperkenalkan pengiktirafan profesional halal, merangsang pembangunan industri dan meningkatkan daya saing produk.

Perkara ini bertujuan untuk meningkatkan sumbangan ekonomi halal daripada KDNK kepada 8.1 peratus dan menjana lebih US$12 bilion hasil daripada eksport menjelang 2025.

Perbelanjaan masyarakat musim seluruh dunia adalah mencecah US$2 trilion pada 2021 yang mana merangkumi pelbagai sektor misalnya makanan, fesyen dan kewangan selain US$3.6 trilion aset kewangan Islam sukuk dan bon Islam.

Kenyataan ini dinyatakan oleh DinarStandard yang memetik Laporan Keadaan Ekonomi Islam Global yang mana beliau menyatakan, tahap perbelanjaan pengguna untuk semua sektor ekonomi Islam global, kecuali untuk perjalanan telah kembali ke tahap sebelum pandemik setakat akhir tahun 2021.

No Image Caption

Permintaan untuk barangan dan perkhidmatan halal dijangka akan meningkat dengan unjuran perbelanjaan global mencecah sebanyak US$2.8 trilion menjelang 2025.

Menurut Pusat Penyelidikan Pew, pada 2019 terdapat sebanyak 1.9 bilion penduduk Islam global dan akan berkembang dua kali lebih pantas berbanding keseluruhan populasi dunia. Di mana akan ada sekurang-kurangnya tiga bilion umat Islam menjelang 2060. Perkara ini akan mewakili satu pertiga daripada populasi global.

Selain itu, jelas Mustapa, perniagaan dan pelaburan harus menyedari potensi besar dalam ekonomi Islam global. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat peralihan yang jelas ke arah barangan dan perkhidmatan mesra Muslim dan perkara ini juga turut disokong oleh konsep halal dalam dunia Islam dan melangkauinya.

Ekosistem halal

Seterusnya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu, Malaysia mempunyai ekosistem halal yang telah lama bertapak dan di kedudukan pertama dari segi ekosistem dan pensijilan selama 10 tahun berturut-turut.

Beliau turut mengatakan kementerian meneruskan dalam mempertingkatkan semua komponen ekosistem halal ke arah meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran halal global. Bagi mencapai objektif ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya telah berusaha meletakkan industri tersebut sebagai sektor yang menguntungkan berdaya saing terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ekosistem ekonomi halal merupakan konteks penting yang perlu diberi penekanan bagi meningkatkan pendapatan rakyat terutama kepada usahawan Melayu Islam. Selain itu, pemerkasaan digital perlu diberikan perhatian kerana ianya memainkan peranan dalam pertumbuhan sektor industri ekonomi halal negara.

No Image Caption

Malaysia merupakan contoh bagi ekonomi halal dan berjaya menempatkan diri sebagai penggerak utama ekonomi halal global dan berdasarkan Skor Penunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) yang mana Malaysia telah berada pada kedudukan nombor satu selama sembilan tahun berturut-turut.

Dengan ini, sebagai peniaga dan pelabur perlu merebut peluang dengan kebolehupayaan dan potensi industri ekonomi halal di Malaysia. Sehubungan dengan itu, memperkasakan sektor ekonomi halal dengan melatih lebih ramai usahawan Melayu Islam di negara ini. Selain itu, semua pihak perlu bekerjasama bagi menambah baik semua komponen ekosistem halal ke arah meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam pasaran halal global.

Maklumat Penulis

1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Andi Sukmawati Andi Suming

2) Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi Dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok