Mengapa budaya kekerasan masih berlaku di IPT?
Isu buli di institusi pengajian tinggi (IPT) awam menjadi topik perbincangan yang semakin serius, terutamanya selepas kes tragis melibatkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) beberapa tahun lalu yang membawa kepada kematian seorang pelajar akibat penderaan fizikal.
Kejadian ini bukan sahaja membuka mata masyarakat tentang realiti budaya buli di kalangan pelajar IPT, tetapi juga menimbulkan persoalan tentang langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh institusi berkenaan untuk memastikan keselamatan mahasiswa mereka.
Walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, kes-kes buli, baik secara fizikal mahupun melalui media sosial (cyberbullying), masih dilaporkan menunjukkan keperluan mendesak untuk tindakan yang lebih tegas dan menyeluruh.
Isu ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan dalam sistem pengawasan dan pendidikan nilai, namun memberikan kesan besar kepada kesejahteraan fizikal, emosi dan akademik pelajar.
Budaya buli di IPT tidak akan berlaku secara tiba-tiba, ia wujud apabila melibatkan aspek sosial, psikologi dan persekitaran yang boleh menjurus kepada masalah buli.
Antara punca-punca utama yang menyumbang kepada budaya kekerasan ini adalah kurang perhatian ibu bapa, pengaruh sosial dan persekitaran kampus atau kurang pemantauan serta pengaruh media sosial.
Kurang perhatian dan pengawasan daripada ibu bapa merupakan salah satu faktor yang menyebabkan budaya kekerasan masih berlaku dalam sesebuah institusi tinggi.
Ibu bapa terlalu sibuk atau tidak peka terhadap tingkah laku anak-anak mereka seiring gagal memberikan didikan dan nilai moral yang kukuh.
Anak-anak yang kurang perhatian ini cenderung mencari pengaruh rakan sebaya dan menggunakan kekerasan untuk menonjolkan diri.
Budaya kekerasan yang diwarisi melalui pengalaman di sekolah atau masyarakat turut menyumbang kepada normalisasi tingkah laku agresif.
Menurut Kaunselor Berdaftar dari Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani menyatakan bahawa kegagalan pentadbir untuk meningkatkan kesedaran melalui kempen bebas buli serta ketiadaan sistem aduan dan tindakan tegas menyebabkan pembuli berani bertindak sedemikian.
Kampus yang tidak mempunyai sistem sokongan sosial yang kuat boleh menjadi persekitaran yang kondusif untuk budaya buli berkembang.
Pelajar yang terasing atau menghadapi kesukaran beradaptasi dalam persekitaran universiti, seperti mereka yang baru pertama kali jauh dari keluarga, mungkin menjadi sasaran buli oleh rakan sekelas atau senior.
Mereka yang kurang keyakinan diri atau mempunyai perbezaan dalam segi fizikal, sosial, atau budaya sering kali menjadi mangsa buli.
Dalam beberapa kes, pelajar lebih senior yang merasa lebih berkuasa atau ‘menguasai’ dalam budaya kampus boleh menggunakan kekerasan untuk mengawal atau mendominasi mahasiswa baharu.
Pengaruh media sosial juga merupakan faktor yang menyebabkan budaya buli berlaku secara berleluasa.
Di zaman serba digital ini, buli tidak hanya berlaku secara fizikal, tetapi juga dalam talian. Kegiatan buli melalui media sosial, yang sering dikenali sebagai ‘cyberbullying’, semakin berleluasa di kalangan pelajar IPT sama ada Institusi Pengajian Awam dan Swasta.
Keupayaan untuk bersembunyi di sebalik identiti palsu memberi pelaku rasa kebebasan dan kurang rasa tanggungjawab atas tindakan mereka.
Pelajar mungkin merasa lebih berani untuk membuli orang lain secara maya kerana mereka tidak perlu berhadapan dengan mangsa secara langsung.
Budaya buli boleh membawa kesan buruk kepada individu dan persekitaran kampus secara keseluruhannya.
Mangsa buli sering kali mengalami gangguan psikologi yang serius seperti kemurungan, dan gangguan tidur.
Mangsa berisiko untuk mengalami rasa rendah diri, kegelisahan sosial dan rasa tidak dihargai untuk hidup.
Kesan jangka panjang buli boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang lebih serius, yang mengganggu kesejahteraan pelajar dan prestasi akademik mereka.
Buli yang berlaku dalam suasana akademik boleh memberi kesan negatif kepada keupayaan pelajar untuk menumpukan perhatian dan mencapai kejayaan dalam pelajaran.
Imej sesebuah institusi juga turut terjejas jika budaya atau gejala buli berleluasa di IPT.
Apabila kejadian buli yang tular di media sosial atau dilaporkan oleh pihak media boleh mencalarkan reputasi IPT, menjadikannya dikenali sebagai tempat yang tidak selamat untuk pelajar.
Hal ini juga boleh mengurangkan keyakinan ibu bapa dan bakal pelajar terhadap keupayaan institusi dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berintegriti.
Imej buruk ini boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat dan pihak luar, termasuk penaja, majikan dan rakan kerjasama antarabangsa, yang mungkin mengaitkan IPT tersebut dengan kegagalan dalam membentuk pelajar beretika dan berkualiti.
Dalam jangka masa panjang, budaya buli yang tidak dikawal boleh mengurangkan daya tarikan IPT sebagai pilihan pendidikan sekali gus menjejaskan pencapaian akademik dan kemajuan institusi secara keseluruhan.
Bagaimanapun, isu buli ini perlu diberi perhatian dan langkah secara kolektif oleh pelbagai pihak khususnya pihak institusi itu sendiri.
Hal ini dikatakan demikian kerana pihak insititusi merupakan pihak bertanggungjawab ke atas setiap pelajar apabila berdaftar dengan mana-mana institusi pendidikan.
Pihak institusi dan pengurusan perlu menyediakan sistem sokongan yang mudah diakses dan tertutup untuk mangsa-mangsa buli, termasuk kaunseling dan tempat untuk melaporkan kejadian buli dengan penuh kerahsiaan.
Saluran aduan yang selamat dan bebas daripada pembalasan perlu diwujudkan untuk memastikan kesejahteraan mangsa untuk melaporkan kejadian buli.
Setiap laporan buli ditangani dengan serius dan tindakan disiplin yang sewajarnya diambil terhadap pelaku buli.
Selain itu, menetapkan peraturan yang jelas mengenai buli bagi memastikan bahawa pelaku buli dikenakan tindakan yang tegas.
Tindakan disiplin yang berkesan dan adil perlu diambil sama ada melalui amaran, denda atau tindakan lebih serius seperti penggantungan serta pemecatan dari institusi.
Prosedur dan pengurusan yang ketat dapat menangani aduan buli dan menghalang sebarang bentuk buli daripada berulang.
Pihak institusi juga berperanan penting dalam memupuk budaya toleransi, penghormatan dan kepelbagaian dalam kalangan pelajarnya.
Program-program yang menggalakkan interaksi antara pelajar dari latar belakang berbeza boleh membantu mengurangkan perbezaan sosial yang menjadi punca buli.
Sebagai contoh, aktiviti kokurikulum yang melibatkan pelajar dalam kerja-kerja sukarela dan kemasyarakatan juga dapat memperkukuhkan rasa empati serta persaudaraan antara pelajar.
Program berkenaan boleh meningkatkan kesedaran pelajar tentang pentingnya saling menghormati dan bekerja dalam kumpulan yang pelbagai.
Sebagai kesimpulannya, isu buli di IPT adalah cerminan cabaran dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Walaupun kes seperti di UPNM telah membawa perhatian serius terhadap masalah ini, usaha berterusan diperlukan untuk memastikan budaya kekerasan tidak lagi menjadi norma di kalangan pelajar.
Langkah-langkah pencegahan seperti penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, pendidikan nilai, sokongan psikologi, dan penggunaan teknologi harus dilaksanakan secara menyeluruh.
Dengan kerjasama semua pihak, IPT dapat menjadi tempat yang tidak hanya menghasilkan graduan yang cemerlang dari segi akademik tetapi juga individu yang memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi.
Budaya hormat-menghormati perlu diutamakan bagi memastikan setiap pelajar berasa selamat dan diterima dalam komuniti kampus.
Maklumat Penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nuramalin Wahida Azahan
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my