Kehadiran pekerja asing memberi kesan dari segi ekonomi, sosial dan politik yang perlu diperhatikan secara cermat. Gambar kecil: Syed Muhammad Fitri.
Kehadiran pekerja asing memberi kesan dari segi ekonomi, sosial dan politik yang perlu diperhatikan secara cermat. Gambar kecil: Syed Muhammad Fitri.

Pekerja asing dan ekonomi negara

13 Feb 2024 07:15am

Isu kedatangan pekerja asing ke Malaysia menimbulkan masalah dan cabaran seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan keperluan tenaga kerja.

Kehadiran pekerja asing memberi kesan dari segi ekonomi, sosial dan politik yang perlu diperhatikan secara cermat.

Secara ekonomi, kedatangan pekerja asing sering kali dianggap sebagai jalan yang mudah untuk mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor-sektor tertentu yang mengalami pertumbuhan pesat.

Sektor pembinaan, pertanian, perkhidmatan dan kilang adalah beberapa contoh di mana pekerja asing memberikan sumbangan tenaga yang bersungguh-sungguh.

Mereka membantu mengatasi kekurangan tenaga kerja yang sukar dipenuhi oleh pekerja tempatan. Namun, isu ekonomi ini tidak dapat dipisahkan dari segi sosial.

Kedatangan pekerja asing juga menciptakan isu sosial yang kompleks, termasuk cabaran budaya dan mungkin menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Isu-isu hak pekerja juga muncul dengan beberapa pekerja asing menghadapi risiko penyalahgunaan hak-hak mereka seperti upah yang rendah dan kondisi kerja yang buruk.

Selain itu, adanya pekerja asing dapat menimbulkan pertanyaan tentang ketergantungan ekonomi yang berlebihan.

Artikel Berkaitan:

Jika terlalu ramai pekerja asing diambil sebagai pekerja, ini boleh merugikan pekerja tempatan dengan menciptakan persaingan untuk pekerjaan dan mungkin mengakibatkan pengangguran dalam kalangan penduduk setempat.

Isu kedatangan pekerja asing juga sering terkenal dalam arus globalisasi.

Perjanjian kerjasama antarabangsa atau perjanjian perdagangan memainkan peranan dalam memudahkan mobiliti tenaga kerja.

Meskipun hal ini dapat memberikan manfaat ekonomi, perlu ada keseimbangan yang tepat untuk memastikan bahawa kehadiran pekerja asing tidak merugikan masyarakat petempatan.

Kerana faktor tertentu

Kedatangan pekerja asing ke dalam ekonomi Malaysia adalah hasil daripada beberapa faktor yang saling berkaitan.

Faktor-faktor ini adalah dari segi pertumbuhan ekonomi, keperluan sektor tertentu dan hubungan antarabangsa.

Antara punca utama kedatangan pekerja asing ke dalam ekonomi Malaysia adalah negara memerlukan tenaga kerja tambahan.

Pertumbuhan ekonomi pesat dan projek pembangunan yang besar mewujudkan kekosongan pekerjaan yang sukar diisi oleh pekerja tempatan.

Pekerja asing sering diambil untuk memenuhi keperluan ini, terutamanya dalam sektor seperti pembinaan, pertanian dan perkhidmatan.

Beberapa sektor ekonomi memerlukan keterampilan khusus yang mungkin tidak cukup tersedia dalam kalangan pekerja tempatan.

Pekerja asing sering diundang untuk mengisi kekosongan pekerjaan terutama dalam sektor teknologi, sains dan teknik.

Seterusnya, punca kedatangan pekerja asing juga adalah pekerja asing selalu bersedia dalam pekerjaan walaupun gaji lebih rendah dan di bawah situasi kerja yang mungkin kurang diinginkan pekerja tempatan.

Kebolehtahanan pekerja asing ini memberikan keuntungan bagi pengusaha, membantu menjaga mengupah tenaga kerja dan memberikan daya saing yang lebih besar.

Sesetengah pekerja asing mempunyai kemahiran atau kepakaran khas yang mungkin tidak cukup dimiliki oleh pekerja tempatan.

Kerajaan dan syarikat mungkin mencari pekerja asing untuk mengisi jurang kemahiran ini malah pertumbuhan sektor perkhidmatan termasuk perhotelan dan pelancongan juga menjadi penyumbang utama kedatangan pekerja asing.

Permintaan tinggi dalam sektor ini memerlukan pekerja tambahan untuk memenuhi kehendak pelanggan.

Kewujudan pekerja asing dalam ekonomi Malaysia juga boleh dikaitkan wujudnya hubungan dua hala dengan negara menghantar pekerja asing dan perjanjian kerjasama antarabangsa memainkan peranan dalam menyokong kedatangan pekerja asing.

Perjanjian sedemikian menyediakan asas undang-undang dan memudahkan aliran pekerja antara negara.

Pembinaan projek infrastruktur utama di Malaysia seperti lebuh raya, lapangan terbang dan perumahan, mewujudkan keperluan mendesak untuk tambahan tenaga kerja.

Pekerja asing sering dilihat sebagai penyelesaian yang cekap untuk mempercepatkan projek ini.

Kesan negatif

Selain membawa manfaat ekonomi kepada Malaysia kedatangan warga asing ke Malaysia juga memiliki kesan negatif yang perlu diperhatikan.

Antara kesan negatif kedatangan pekerja asing adalah mewujudkan persaingan yang lebih ketat dalam pasaran buruh.

Pekerja asing yang sanggup bekerja dengan gaji yang lebih rendah boleh menjadi alternatif yang menarik bagi majikan, yang akhirnya boleh menyebabkan pengangguran atau gaji yang lebih rendah dalam kalangan pekerja tempatan.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengakui berlaku lambakan pekerja asing dalam negara, melebihi unjuran yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud memberitahu, mengikut unjuran Kementerian Ekonomi, angka pekerja asing yang sepatutnya berada di Malaysia adalah 2.4 juta.

Namun menurutnya, menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, angka semasa itu kini mencecah 2.7 juta orang.

Kesan kedatangan pekerja asing ke dalam ekonomi Malaysia dari segi sosial pula menimbulkan integrasi sosial disebabkan oleh perbezaan bahasa, budaya dan norma sosial antara warga asing dan masyarakat tempatan.

Salah faham dan ketegangan sosial boleh timbul terutama di kawasan yang mempunyai kepelbagaian etnik yang tinggi.

Peningkatan warga asing dalam Malaysia juga boleh menyebabkan peningkatan kes jenayah di Malaysia.

Beberapa kajian mencadangkan bahawa kedatangan warga asing mungkin dikaitkan dengan peningkatan kadar jenayah tertentu.

Faktor-faktor seperti kemiskinan, ketidakstabilan sosial dan ketidaktentuan ekonomi dalam kalangan warga asing boleh menyumbang kepada peningkatan jenayah.

Data terkini berkenaan kes jenayah yang dilakukan oleh warga asing di Malaysia tidak ditemui.

Namun begitu, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), terdapat sebanyak 42,451 kes jenayah oleh warga asing yang dicatatkan dari tahun 2016 hingga Ogos 2019.

Antara kes terbabit adalah kes kecurian (12,647 kes), kes pecah rumah dan curi (11,862 kes) serta pencurian motosikal (4,882 kes).

Apabila dibandingkan dengan keseluruhan kes jenayah di Malaysia, kes jenayah yang membabitkan warga asing bagi 2016 hingga 2019 adalah sebanyak anggaran 11 peratus daripada jumlah kes.

Di samping itu, kedatangan warga asing juga boleh berlaku pertambahan penduduk akibat kedatangan warga asing boleh menyebabkan peningkatan permintaan terhadap perumahan.

Ini boleh mewujudkan kenaikan harga hartanah dan kesukaran kepada penduduk tempatan untuk mencari rumah mampu milik.

Selain memberi penekanan terhadap pertempatan ia juga boleh memberi tekanan tambahan kepada sumber awam seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

Permintaan yang meningkat untuk perkhidmatan ini boleh menyebabkan beban berlebihan dan menimbulkan masalah akses kepada komuniti setempat.

Berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah warga asing yang berada di dalam negara pada tahun 2021 ialah seramai 2.69 juta orang yang mewakili 8.2 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia iaitu seramai 32.66 juta orang

Rangka dasar bijak

Bagi menghadapi isu ini, kerajaan dan pihak yang berkepentingan perlu merangka dasar yang bijak.

Perlindungan hak pekerja, integrasi sosial, dan pengurusan keseimbangan antara pekerja asing dan tempatan mesti menjadi tumpuan.

Pendidikan dan latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerja tempatan juga merupakan langkah penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Dengan memahami isu-isu ini, Malaysia boleh membangunkan pendekatan yang seimbang dan mampan untuk memanfaatkan sumbangan positif pekerja asing sambil meminimumkan kesan negatif mereka.

Ini bukan sahaja isu ekonomi, tetapi juga mengenai pembinaan masyarakat yang inklusif dan adil dalam menghadapi cabaran global dalam era globalisasi.

Kerajaan dan pihak berkepentingan boleh merangka dasar yang seimbang untuk menguruskan ketibaan pekerja asing.

Langkah-langkah seperti latihan tempatan dan pembangunan kemahiran, pengaturan imigresen yang berhemat dan perlindungan hak pekerja adalah kunci dalam memastikan kedatangan pekerja asing memberikan faedah sambil meminimumkan risiko dan kesan negatif.

Maklumat Penulis

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Syed Muhammad Fitri Syed Mohamad Shaiful Zalizan

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp