Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pembangunan akademik menerusi program pemindahan ilmu antara universiti dan sekolah

12 Sep 2024 05:30pm

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), universiti-universiti di Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Salah satu inisiatif utama yang telah mendapat perhatian adalah program Pemindahan Ilmu antara universiti dan sekolah.

Program ini bukan sahaja berfungsi sebagai wadah untuk universiti menyumbang kepada masyarakat, tetapi juga sebagai platform untuk memperkasa pembangunan akademik pelajar.

Program Pemindahan Ilmu antara universiti dan sekolah bertujuan menghubungkan pelajar universiti dengan pelajar sekolah dalam usaha meningkatkan pembelajaran serta pembangunan akademik kedua-dua pihak.

Pelbagai kesan positif dapat dilihat melalui program ini, terutamanya dalam kalangan mahasiswa.

Pertama, program ini membantu mahasiswa mengembangkan kemahiran pengajaran dan komunikasi yang berharga dikalangan mahasiswa.

Melalui interaksi dengan pelajar sekolah, mereka belajar untuk menyampaikan maklumat dengan jelas dan berkesan, serta meningkatkan kemahiran komunikasi kepada kumpulan umur yang berbeza.

Kedua, pemindahan ilmu kepada pelajar sekolah membolehkan pelajar universiti memperdalam pengetahuan mereka dalam bidang tertentu.

Proses ini memerlukan mereka memahami topik secara mendalam dan menjelaskan konsep dengan cara yang mudah difahami.

Ketiga, program sebegini amat membantu pelajar universiti dalam membina keyakinan diri melalui interaksi langsung dengan pelajar sekolah.

Ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran interpersonal, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri mereka.

Selain memberi impak positif kepada mahasiswa, program pemindahan ilmu juga memberikan manfaat yang signifikan kepada pelajar sekolah.

Pertama, pelajar sekolah mendapat manfaat daripada pengetahuan dan kemahiran pelajar universiti dalam subjek tertentu.

Pendekatan pengajaran yang segar dan berbeza ini, yang tidak terhad kepada aktiviti di dalam kelas sahaja, ia boleh membantu mereka memahami konsep dengan cara yang berbeza.

Kedua, interaksi dengan pelajar universiti sering kali memberikan motivasi tambahan kepada pelajar sekolah.

Mereka dapat melihat contoh nyata kejayaan akademik dan bersemangat untuk mencapai kejayaan serupa.

Ketiga, program ini menyediakan sokongan tambahan kepada pelajar sekolah yang mungkin memerlukan bantuan ekstra dalam mata pelajaran tertentu.

Ini boleh mengurangkan jurang pembelajaran dan memperbaiki prestasi akademik mereka.

Kesimpulannya, program Pemindahan Ilmu antara universiti dan sekolah telah menunjukkan potensi yang besar dalam menyumbang kepada pembangunan akademik kedua-dua pihak.

Melalui inisiatif seperti ini, diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu dan menjadi persediaan masa depan yang lebih baik bagi pelajar sekolah.

Mereka yang terlibat dalam program seperti ini mungkin lebih berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, dengan sokongan dan motivasi yang diterima daripada mahasiswa.

Usaha ini juga diharapkan dapat mengurangkan peratusan pelajar lepasan SPM yang tidak mahu menyambung pelajaran, seterusnya membantu mencapai sasaran kementerian untuk melahirkan 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030.

Maklumat Penulis

Pensyarah, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional, Nik Amalena Najebah Nik Azman

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp