Pembangunan infrastruktur hijau dan ekonomi mampan di Malaysia
Pembangunan mampan menjadi tarikan utama Malaysia dalam usaha mencapai keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Pembangunan infrastruktur hijau di Malaysia menjadi keutamaan dalam mencapai ekonomi mampan, sejajar dengan komitmen negara terhadap matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Infrastruktur hijau memainkan peranan penting sebagai pemangkin perubahan ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mesra alam. Infrastruktur hijau juga melibatkan kaedah yang memanfaatkan kecekapan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran serta memulihara biodiversiti.
Melalui pendekatan ini ekonomi Malaysia dapat diperkuat dengan adanya peluang pekerjaan hijau dan pelaburan yang berorientasikan kelestarian.
Beberapa elemen utama pembangunan infrasruktur hijau yang diambil kira iaitu konsep infrastruktur hijau, dasar dan inisiatif kerajaan, cabaran pelaksanaan dan kesan positif terhadap pembangunan ekonomi Malaysia.
Dalam erti kata lain, keupayaan berfikir itu dijelmakan melalui seni visual yang memiliki nilai estetika dan makna-makna yang tersirat.
Bangunan hijau ditakrifkan sebagai pendekatan reka bentuk dan pembinaan yang memfokuskan kecekapan penggunaan sumber seperti air, udara, bahan, tenaga manusia, mengurangkan sisa dan pencemaran bagi mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia (Chi et al, 2020).
Konsep ini melibatkan gabungan reka bentuk yang mesra alam, penggunaan teknologi rendah karbon serta pelaburan strategik untuk meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Infrastruktur hijau ini merangkumi elemen seperti bangunan cekap tenaga boleh diperbaharui, membantu mengurangkan jejak karbon sambil meningkatkan kecekapan ekonomi.
Konsep pembangunan mampan juga ditakrifkan sebagai satu bentuk pembangunan yang dirancang untuk memastikan keperluan generasi masa kini dapat dipenuhi tanpa menjejaskan generasi akan datang dalam memenuhi keperluan mereka
(Laporan Brundtland, 1987).
Pembangunan mampan ini memberi penekanan terhadap mutu persekitaran ekologi, kestabilan serta keadilan sosial, di samping memastikan ekonomi yang mampan untuk masa hadapan (Chamhuri, 2001).
Dasar dan rancangan kerajaan juga menyokong kepada pembangunan infrastruktur hijau iaitu dengan memperkenalkan Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan (DTHK) bertujuan mengoptimumkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan teknologi hijau serta memacu daya saing dalam teknologi hijau di persada antarabangsa.
Dasar ini juga turut menyediakan persekitaran pembangunan teknologi hijau yang kondusif dan selamat apabila diaplikasikan dalam kehidupan manusia.
Membangunkan industri teknologi hijau, sama ada dalam pembuatan atau perkhidmatan adalah penting untuk mencapai objektif Dasar Teknologi Hijau.
Industri ini bukan sahaja menyediakan teknologi hijau untuk keperluan pasaran domestik dan antarabangsa, tetapi ia juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dasar ini juga turut menyediakan persekitaran pembangunan teknologi hijau yang kondusif dan selamat untuk kehidupan seharian manusia.
Seterusnya, inisiatif dalam Rancangan Malaysia ke -12 juga turut menyokong pembangunan infrastruktur hijau iaitu dengan penerapan teknologi hijau dalam budaya Malaysia, dapat membantu mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan sambil memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus terpelihara.
Melalui bajet tahunan 2023, peruntukan khas diberikan untuk membiayai projek hijau seperti pembinaan bandar rendah karbon, memperluaskan akses tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sumber air secara mampan.
Kerajaan juga menetapkan sasaran untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Belanjawan 2023 pula memperuntukkan dana bagi meningkatkan akses kepada tenaga boleh diperbaharui dan membangunkan kawasan bandar rendah karbon.
Teknologi hijau memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ini. Tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin bersama inovasi seperti kenderaan elektrik dan bahan binaan mampan, menjadi tonggak utama untuk merealisasikan pembangunan infrastruktur hijau.
Sebagai contohnya, Malaysia telah melancarkan projek tenaga solar berskala besar yang bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga menurunkan kos tenaga dalam jangka masa panjang.
Menurut Datuk Seri Ir Hasni Mohammad (2024), menyambut baik langkah kerajaan dalam belanjawan 2025 untuk menyediakan peruntukan bagi projek tebatan banjir.
Projek ini mengabil kira kos sebanyak RM50 juta bagi kerja pembersihan dan naik taraf longkang serta parit sebanyak RM150 juta kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tujuan pembersihan sungai.
Dari sudut ekonomi, infrastruktur hijau memberikan manfaat yang meluas, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor teknologi hijau dan pembinaan mampan.
Sektor swasta juga memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur hijau ini melalui pelaburan dalam teknologi hijau. Sebagai contohnya, penggunaan instrumen kewangan seperti Green Sukuk yang telah diperkenalkan di Malaysia.
Instrumen ini telah membantu mempermudahkan pembiayaan projek-projek hijau di Malaysia seperti Large Scale Solar (LSS), yang seterusnya merangsang aktiviti pelaburan domestik tempatan dengan menyediakan ruang hidup yang lebih baik untuk masyarakat sekaligus menarik lebih banyak pelaburan.
Infrastruktur hijau yang mampan dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan efisien sekaligus menjadi daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Dalam mentransformasikan pembangunan infrastruktur hijau ini terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi oleh kerajaan.
Kos pelaksanaan yang tinggi, kurangnya kesedaran masyarakat serta kekurangan teknologi tempatan menjadi penghalang kepada pembangunan infrastruktur hijau yang lebih meluas.
Kebimbangan pertama dalam pembangunan hijau telah dikenalpasti kerana perbelanjaan yang besar dibandingkan dengan struktur konvensional menjadi isu utama dalam pembangunan infrastruktur hijau ini (Dwaikat et al, 2018).
Hal ini berlaku disebabkan jurang kos kedua-dua jenis struktur ini dilaporkan terhasil akibat penggunaan teknologi hijau dan elemen-elemen tertentu yang mempengaruhi harga. Keadaan ini mencakup kepada keperluan kontraktor dan pemaju untuk mendapatkan bahan dari luar negara disebabkan oleh kekurangan produk mesra alam yang mencukupi di Malaysia.
Malaysia memerlukan kolaborasi antara kerajaaan, swasta dan komuniti untuk menyelesaikan cabaran ini. Insentif tambahan kepada pelabur dan Syarikat yang menyokong inisiatif hijau perlu diperkenalkan bagi mempercepatkan usaha ini.
Projek seperti pembangunan bandar pintar dan perbandaran hijau menjadi bukti kejayaan Malaysia dalam melaksanakan infrastruktur hijau.
Ini menunjukkan bahawa melalui perancangan strategik dan pelaksanaan teknologi canggih, Malaysia boleh mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.
Pembangunan infrasruktur hijau turut memberikan manfaat besar kepada alam sekitar dan ekonomi.
Contohnya, inisiatif Transformasi Bandar Rendah Karbon, yang dijalankan di bandar-bandar seperti Iskandar Malaysia, menyumbang kepada pengurangan pencemaran udara dan peningkatan daya huni bandar.
Bukan itu sahaja, Taman Tugu di Kuala Lumpur juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan sebagai bandar penyerapan karbon dan kawasan penyejuk semula jadi untuk membantu menurunkan suhu sekitar kawasan bandar yang padat. Impaknya, inisiatif ini dapat membantu menarik pelabur asing yang lebih mengutamakan pelaburan mampan.
Kesimpulannya, pembangunan infrastruktur hijau adalah satu pendekatan yang bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi mampan tetapi juga memastikan kelestarian alam sekitar bagi generasi akan datang.
Infrastruktur hijau adalah kunci kepada keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar di Malaysia.
Dengan dasar yang kukuh, pelaburan strategik serta penglibatan pelbagai pihak, Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk menjadi pemimpin dalam pembangunan mampan di Rantau Asia Tenggara.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian dan Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Siti Hamidah.
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Dr Jaharudin Padli.
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my