Pendidikan perlu lahirkan generasi pejuang
Sebelum menjejaki ke institusi pendidikan tinggi (IPT) penulis pernah terfikir apakah maksud 'tinggi' dalam perkataan itu kerana mahasiswa yang memperolehi ijazah sering dipandang tinggi oleh masyarakat.
Dari sudut sejarah, Malaysia sudah lama mewarisi legasi British dalam pendidikan perundangan, perniagaan, politik dan ekonomi.
Menurut Profesor Tamir dalam kajian Constituting Religion, undang-undang Islam masa kini adalah dari Anglo-Muslim Law yang diperkenalkan oleh British, semasa Perjanjian Pangkor 1874. Sistem peperiksaan dan sistem grading juga turut diwarisi.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, di mana silapnya sistem pendidikan yang dicedok dari Barat?
Kelemahan sistem pendidikan Barat terletak pada sistem pendidikan yang menekankan gred dan reputasi sebagai kayu ukur kejayaan seseorang individu.
Namun, pembangunan jati diri dan sahsiah seseorang itu tidak lagi menjadi fokus utama dalam membentuk individu berjaya terutama sekali sikap bertanggungjawab dalam menuntut dan mengamalkan ilmu.
Berbeza dengan sistem pendidikan dalam Islam, di mana ia bersumberkan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW membentuk manusia yang beriman, bertakwa serta berakhlak mulia. Bukan gred atau nombor menjadi tujuan utama untuk mendapat ijazah atau sekadar mencukupkan jam kredit.
Perbezaan yang lebih jelas antara sistem pendidikan Islam dan Barat adalah tiada pemisahan antara ilmu agama serta ilmu umum. Yang paling penting sekali apa yang dipelajari dalam kelas diaplikasikan di luar kelas; “Sesungguhnya Rasulullah membaca kepada mereka (sahabat) sepuluh ayat mereka tidak akan menambah sepuluh ayat berikutnya, sampai mereka mengerti isi kandungan ayat-ayat tersebut dan mengamalkannya”. (Ahmad bin Hanbal, Musnad Ahmad: 466. Hadis ke-23482).
Ia bermakna ilmu yang diperoleh perlu diamalkan dalam kehidupan seorang Muslim, berbeza dengan sistem pembelajaran sekarang yang menggalakkan penyertaan pelajar dalam kelas tetapi di luar kelas, ilmu itu tidak perlu diamalkan malah terpisah dari kehidupan dan kemudian dilupakan. Ini kerana sistem pendidikan semasa tidak mengukur learning application di luar kelas dan tiada tindakan jika ilmu itu tidak diamalkan.
Contohnya, ramai pelajar memperoleh 'A' untuk subjek Islam, tentu lebih tahu berduaan dengan bukan mahram itu dilarang tetapi perbuatan bercinta tidak dihukum. Tiada pelajar yang peduli untuk menegur kerana ia bukan peraturan universiti dan pelajar sendiri mahu menjaga reputasi dan hati kawan mereka.
Sebaliknya jika kita melanggar peraturan yang ditetapkan universiti seperti membawa peralatan elektrik yang dilarang, tidak hadir ke kelas, pelajar akan disaman atau dikenakan tindakan.
Mengapa peraturan-peraturan itu lebih berat hukumannya daripada menangkap pelajar yang berduaan di kawasan universiti sedangkan mendekati zina lebih berat hukumannya di sisi Islam?
Situasi itu menunjukkan sistem pendidikan hari ini menekankan kecemerlangan akademik iaitu CGPA daripada pembentukan insan yang berilmu dan beramal.
Apabila sibuk dengan tugasan dan aktiviti, majoriti pelajar akan berasa hilang arah dan bingung, untuk apa sebenarnya semua ini dilakukan dan tujuan melakukan sesuatu. Adakah kerana mengejar kuantiti sehingga tidak peduli tentang kualiti?
Oleh sebab itu, pelajar universiti cenderung kepada sikap narsisisme, individualisme iaitu berlumba-lumba bersaing menjadi yang terbaik dan pentingkan diri sendiri, bukannya untuk berganding bahu menyelesaikan masalah ummah sebagai satu jemaah.
Solusi generasi pejuang
Salah seorang pensyarah dari Institut Pendidikan Guru yang mahu dikenali sebagai Puan Anom Syukiri berkongsi mengenai cara mendidik pelajar.
Menurutnya, para pelajar perlu dididik melalui ketegasan pada peringkat awal. Ia supaya mereka boleh dikawal dan sedar akan tanggungjawab masing-masing. Selepas proses menerapkan tanggungjawab dalam diri pelajar, beliau melayan pelajarnya seperti rakan.
Dari situlah beliau membentuk hubungan dengan pelajar di mana pelajar menghormati guru sebagai pendidik dalam pada masa yang sama berasa selesa untuk berkongsi masalah mereka.
Namun tidak berkompromi dalam perkara benar dan salah dalam melayani pelajar sebagai rakan. Cara pendidikan ini juga merupakan strategi Rasulullah SAW mendidik para sahabat.
Baginda disifatkan sebagai seorang yang berhemah bicaranya, namun tegas dalam hal berkaitan haq dan batil seperti disebut dalam surah Al-Qalam ayat keempat dan kesembilan; “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”
“Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu)”.
Ayat itu membawa maksud bahawa Rasulullah SAW bertindak berdasarkan al-Quran dan watak serta peribadinya mengikut apa yang telah diajarkan kepada melalui al-Quran.
Dari pendidikan begini, lahirlah generasi pejuang seperti Zaid bin Harithah, Ali bin Abu Talib, Tariq bin Ziyad, Usman Ertugrul, Salahuddin Al Ayubi yang berdisiplin kerana berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar sempadan, had-had yang ditetapkan oleh Rabb dalam al-Quran dan berusaha mematuhinya sekalipun mereka tidak disukai, penat, sedih kerana mereka juga manusia biasa.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh, Ain Syahdeena, Mardhiah dan Mar'iyah
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my