Masalah ini perlu diatasi kerana peratusan peningkatan pengangguran graduan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Gambar kecil: Nur Syamimi Fa’ezah (atas) dan Jaharudin (bawah)
Masalah ini perlu diatasi kerana peratusan peningkatan pengangguran graduan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Gambar kecil: Nur Syamimi Fa’ezah (atas) dan Jaharudin (bawah)

Pengangguran lepasan graduan semakin membimbangkan

18 Feb 2025 04:33pm

Graduan merupakan golongan mahasiswa yang akan menerima ijazah setelah tamat belajar. Sudah pasti setiap pelajar lepasan universiti mengharapkan untuk mendapat pekerjaan setelah tamat belajar. Namun masalah pengganguran dalam kalangan graduan di Malaysia semakin membimbangkan. Masalah ini perlu diatasi kerana peratusan peningkatan pengangguran graduan semakin meningkat.

Kekurangan pengalaman kerja

Lepasan graduan yang kurang mempunyai pengalaman dalam bekerja menyebabkan ia sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Kebanyakan syarikat akan mengambil pekerja yang mempunyai pengalaman. Perkara ini dapat memberikan kesan yang baik terhadap syarikat kerana mereka tidak perlu melatih pekerja untuk bekerja dalam organisasi tersebut. Lepasan graduan yang kekurangan pengalaman kerja menyebabkan sukar mendapat pekerjaan walaupun mempunyai akademik baik.

Pertambahan jumlah graduan

Peningkatan jumlah lepasan graduan merupakan faktor utama pengangguran. Pertambahan mereka menyebabkan berlakunya persaingan sengit. Setiap golongan mahasiswa perlu mempunyai kemahiran dan kelebihan masing-masing agar dapat melayakkan mereka untuk bekerja. Perkara ini juga menyebabkan pemilihan untuk menerima bekerja semakin ketat. Mereka perlulah mempunyai kepakaran yang luar biasa daripada orang lain agar kemahirannya dicari untuk diguna pakai. Oleh itu, jelaslah jumlah graduan yang semakin bertambah sehingga melebihi jumlah pekerjaan yang sedia ada menyebabkan pengangguran semakin meningkat.

No Image Caption

Ketidakstabilan ekonomi

Ekonomi yang kurang stabil dapat memberikan impak negatif kepada golongan lepasan graduan. Ekonomi yang kurang berkembang sudah pasti tidak akan mengambil pekerja ramai. Faktor mengurangkan tenaga kerja dalam pekerjaan kerana mereka tidak mampu untuk membayar gaji yang lebih kepada pekerja. Malahan kebanyakan pekerja yang dibuang akibat majikan tidak mampu membayar gaji. Ketidakstabilan ekonomi ini secara tidak langsung menyukarkan graduan untuk mendapatkan pekerjaan kerana kekurangan peluang tempat untuk mereka bekerja. Perkara ini menyebabkan, mereka mempunyai sikap berputus asa untuk mencari pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Kesan terhadap individu

Pengangguran kalangan siswazah dapat memberikan kesan buruk kepada tekanan jiwa mereka. Sesetengah graduan beranggapan bahawa jika mereka tidak mempunyai pekerjaan selepas menamatkan pelajaran, mereka akan dipandang rendah. Pemikiran negatif ini secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan keyakinan diri. Kesannya, mereka memilih untuk menjauhkan diri daripada orang sekeliling. Malahan, terdapat penganggur yang mengalami gangguan mental sehingga memilih untuk membunuh diri. Pengangguran lepasan universiti yang sudah lama menganggur akan mengakibatkan seseorang individu menghadapi masalah kemurungan dan tekanan.

Kesan terhadap keluarga

Pengangguran lepasan universiti akan menyebabkan berlaku ketidaktenteraman dalam kalangan ahli keluarga. Hal ini kerana, segelintir ahli keluarga akan menganggap beban terhadap penganggur yang tidak bekerja. Malahan ia boleh mengakibatkan berlaku pertelingkahan dan pergaduhan antara ahli keluarga kerana masalah kewangan. Tambahan pula, penganggur lepasan graduan sudah selayaknya mendapatkan pekerjaan kerana mempunyai kelulusan yang tinggi. Kebanyakan ahli keluarga mempunyai mentaliti bahawa setiap lepasan universiti akan mempunyai pekerjaan selepas tamat belajar. Hal ini menyebabkan mereka meletakkan harapan yang besar kepada anak untuk bekerja.

Kesan terhadap ekonomi dan negara

Pengangguran dalam kalangan mahasiswa akan memberikan impak yang sangat besar kepada ekonomi dan negara. Hal ini kerana, jika sesebuah negara mempunyai kadar pengangguran yang sangat tinggi, ini akan menyebabkan jumlah kutipan cukai pendapatan sesebuah negara menurun. Penganggur yang tinggi dalam negara boleh menyebabkan kegiatan ekonomi di negara menurun. Dengan demikian, kegiatan ekonomi akan berkurangan, jika cukai sesebuah negara itu menurun. Kesan ini secara tidak langsung, akan melambatkan pengembangan pembangunan negara. Kerajaan juga tidak mampu untuk menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur yang perlu untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara. Perbelanjaan kerajaan akan meningkat kerana berlaku kebergantungan terhadap kerajaan oleh penganggur untuk mendapatkan bantuan.

No Image Caption

Mencari alternatif membina kerjaya sendiri

Graduan lepasan universiti perlulah berusaha mencari alternatif membina kerjaya sendiri. Antaranya adalah dengan menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang keusahawanan. Perkara ini secara tidak langsung, dapat membantu mengembangkan pertumbuhan ekonomi dengan lebih maju. Kegiatan keusahawanan juga dapat mewujudkan dan membuka peluang pekerjaan kepada golongan lain yang memerlukan kerja. Golongan mahasiswa sudah pasti telah dilatih dengan bidang-bidang ilmu keusahawanan. Hal ini boleh memberikan idea untuk mereka membuka perniagaan sendiri. Terdapat banyak kelebihan jika graduan lepasan universiti memilih bekerja sendiri. Pendapatan yang diperoleh adalah daripada hasil berniaga dan usaha mereka sendiri secara tidak langsung dapat memberikan kepuasan kepada diri sendiri.

Membuat persiapan yang lebih bersedia ketika temu duga

Lepasan graduan universiti yang mempunyai temu duga perlulah membuat persiapan yang lebih rapi. Hal ini supaya, mereka dapat menjadi lebih bersedia dengan adanya persiapan yang lengkap. Kesannya, dapat menjamin kelancaran mereka semasa melakukan temu duga dan dapat menghindarkan mereka daripada rasa gugup. Dengan demikian, keyakinan diri mereka lebih menonjol sewaktu sesi temu duga. Mereka juga perlu mengetahui lebih mendalam berkaitan dengan latar belakang syarikat. Misalnya, dengan mengetahui misi, visi dan nilai-nilai syarikat tersebut. Lepasan universiti perlu menunjukkan lebih banyak ilmu atau pemahaman berkaitan dengan syarikat tersebut. Perkara yang utama dilakukan adalah melakukan latihan seperti mempersiapkan jawapan untuk soalan temu duga.

Membuat program membina bidang kerjaya antara industri dengan universiti

Program membina bidang kerjaya ini dapat mengurangkan graduan lepasan universiti menganggur selepas menamatkan pelajaran. Pihak kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) boleh melakukan langkah ini dengan melaksanakan program di universiti berkaitan dengan bidang kerjaya. Ilmu kursus berkaitan perancangan kerjaya terhadap pelajar universiti sangat penting untuk mereka gunakan setelah tamat belajar. Hal ini secara tidak langsung, dapat mewujudkan mereka sebagai modal insan yang terlatih dan mereka merasa berminat untuk bekerja setelah tamat belajar. Para pendidik juga perlu memainkan peranan dengan memberikan pencerahan kepada pelajar di universiti tentang bidang kerjaya yang boleh mereka pilih atau ceburi selepas mendapat ijazah.

No Image Caption

Kesimpulan

Terdapat faktor, kesan dan langkah untuk mengatasi masalah pengangguran lepasan graduan di Malaysia yang semakin membimbangkan. Masalah pengangguran bukanlah satu isu yang kecil malahan ia dapat memberikan kesan kepada individu, keluarga, ekonomi dan negara. Sebagai graduan lepasan universiti yang sudah lama menganggur, perlulah mengambil langkah-langkah yang bersesuaian. Hal ini supaya, kita dapat mengurangkan peratusan kadar pengangguran yang semakin membimbangkan di Malaysia. Perkara ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi di negara supaya menjadi lebih maju. Apabila ekonomi semakin stabil banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Negara juga cenderung menjadi inovasi dan pelbagai teknologi baharu dapat diciptakan. Oleh itu, jelaslah bahawa masalah pengangguran dalam kalangan graduan perlu diatasi agar kestabilan ekonomi dapat dikekalkan di samping masyarakat hidup dalam kesejahteraan di negara.

Maklumat Penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Syamimi Fa’ezah Johari

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial & Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373), UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp