Kibaran megah Jalur Gemilang.
Kibaran megah Jalur Gemilang.

Penghayatan kemerdekaan belia berbeza namun berbisa

23 Aug 2024 10:13am

Kemerdekaan adalah satu nilai yang signifikan dalam sejarah negara Malaysia.

Namun, perlu diketahui penghayatan kemerdekaan belia Malaysia kini telah banyak berubah kerana dipengaruhi oleh penggunaan teknologi dan media massa.

Kemajuan pesat dalam teknologi komunikasi, belia mempunyai akses lebih luas dan cepat kepada maklumat telah membolehkan mereka mengalami serta memahami kemerdekaan dalam pelbagai cara yang berbeza.

Maka kaedah penghayatan kemerdekaan yang diamalkan oleh belia Malaysia hari ini berbeza daripada generasi sebelumnya, namun ia tidak mengurangkan nilai jati diri dalam membina negara bangsa Malaysia.

Media sosial seperti Facebook, Instagram, X, dan TikTok telah menjadi platform utama bagi belia untuk menyebarkan serta berkongsi maklumat mengenai kemerdekaan.

Melalui platform ini, mereka tidak hanya menyertai perbincangan mengenai sejarah dan makna kemerdekaan tetapi juga mencipta serta menyebarkan kandungan yang berkaitan dengan sambutan hari kemerdekaan.

Contohnya, penggunaan tanda pagar seperti #HariKemerdekaan sering digunakan untuk berkongsi gambar, video, dan cerita peribadi yang menggambarkan semangat patriotik.

Kita juga boleh lihat belia memanfaatkan media sosial sebagai saluran penglihatan secara aktif dalam perbincangan mengenai kemerdekaan dan mempromosikan kesedaran sejarah.

Ia juga memberi mereka ruang untuk menyatakan pendapat dan pandangan yang boleh merangsang perbincangan yang konstruktif serta pemahaman lebih mendalam mengenai kemerdekaan.

Walau bagaimanapun, penggunaan media sosial juga boleh menyebabkan penyebaran maklumat yang tidak tepat atau propaganda yang mengelirukan.

Ada kalanya, naratif sejarah boleh diputarbalikkan untuk memenuhi agenda tertentu, yang boleh mengurangkan keaslian penghayatan kemerdekaan.

Maklumat Penulis

Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr Mastura Mahamed

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp