Revolusi ekonomi Malaysia: Inovasi bersepadu untuk masa depan mampan
Ekonomi digital telah menjadi sektor utama yang menjanjikan pertumbuhan pesat di Malaysia.
Dengan peningkatan akses kepada internet dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Big Data dan Internet Pelbagai Benda (IoT), negara ini mempunyai potensi besar untuk menjadi hab inovasi teknologi di rantau Asia Tenggara.
Menurut laporan Bank Dunia, sektor ekonomi digital telah menyumbang lebih daripada 18% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022, membuktikan peranan pentingnya dalam ekonomi moden.
Namun begitu, untuk mengoptimumkan potensi ekonomi digital ini, pelaburan yang besar dalam infrastruktur teknologi serta pembangunan kemahiran tenaga kerja perlu diberikan keutamaan.
Salah satu langkah penting yang telah diambil oleh kerajaan adalah melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang bertujuan untuk meningkatkan infrastruktur jalur lebar di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar.
Inisiatif ini juga membuka peluang ekonomi digital kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang mana dapat menampung sara hidup.
Selain itu, program seperti MyDigital juga dirancang untuk mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan awam dan swasta, menjadikan Malaysia lebih bersedia dalam menghadapi era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
Penglibatan sektor swasta turut menjadi elemen penting dalam perkembangan ekonomi digital ini.
Syarikat teknologi tempatan dan antarabangsa telah memainkan peranan utama dalam memperkenalkan penyelesaian digital untuk sektor seperti kewangan, pendidikan dan logistik.
Sebagai contoh, penggunaan dompet digital dan e-dagang yang semakin meluas di kalangan masyarakat Malaysia telah memberikan impak positif kepada ekonomi, terutamanya dalam tempoh pandemik COVID-19.
Walaupun terdapat banyak kemajuan, cabaran tetap wujud, termasuk isu keselamatan siber dan keperluan untuk membangunkan sistem sokongan yang lebih kukuh untuk industri teknologi.
Selain ekonomi digital, ekonomi hijau juga menjadi tonggak utama dalam usaha transformasi ekonomi Malaysia.
Ekonomi hijau adalah pendekatan pembangunan yang bukan sahaja mementingkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga menekankan keperluan untuk menjaga keseimbangan alam sekitar.
Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidroelektrik dan biogas.
Antara langkah utama yang telah diambil termasuk Dasar Tenaga Negara 2021-2040, yang bertujuan untuk memastikan sektor tenaga lebih mampan dan cekap.
Teknologi hijau juga semakin mendapat perhatian, terutamanya dalam sektor pembinaan. Konsep "bangunan hijau," yang menggabungkan penggunaan bahan binaan mesra alam dan teknologi penjimatan tenaga, kini menjadi fokus utama dalam usaha mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Selain itu, inisiatif seperti "Bursa Karbon Malaysia" telah diperkenalkan bagi mempromosikan perdagangan kredit karbon, sekali gus membantu industri mengurangkan pelepasan karbon mereka.
Langkah ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mencapai status neutral karbon menjelang tahun 2050.
Sektor pertanian turut terlibat dalam agenda ekonomi hijau ini. Penggunaan teknologi moden seperti pertanian pintar (smart farming) dan tenaga boleh diperbaharui dalam operasi ladang membantu meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pembaziran sumber.
Pada masa yang sama, program pemulihan hutan dan penghutanan semula yang dijalankan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) turut membantu dalam menangani isu pemanasan global dan kehilangan biodiversiti.
Selain ekonomi digital dan ekonomi hijau, sektor pelancongan juga merupakan salah satu pemacu utama ekonomi Malaysia.
Dengan kepelbagaian budaya, sejarah dan keindahan alam semula jadi, Malaysia mempunyai daya tarikan unik untuk menarik pelancong dari seluruh dunia.
Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menghidupkan semula sektor pelancongan pasca-pandemik, termasuk kempen seperti "Malaysia Truly Asia" dan "Cuti-Cuti Malaysia".
Selain itu, pembangunan infrastruktur pelancongan seperti peningkatan kemudahan pengangkutan, pengenalan eVisa untuk pelancong asing dan penggalakan pelancongan mesra alam telah membantu meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa.
Salah satu fokus utama sektor pelancongan kini adalah pelancongan lestari, yang menekankan kepentingan menjaga warisan budaya dan alam sekitar.
Contohnya, pengurusan lestari kawasan seperti Pulau Langkawi, Taman Negara dan tapak warisan UNESCO di George Town dan Melaka telah menarik perhatian pelancong yang mementingkan ekopelancongan.
Selain itu, Malaysia juga memperkenalkan pelancongan perubatan sebagai salah satu subsektor yang menjana pendapatan tinggi, memandangkan kos rawatan yang berpatutan dan perkhidmatan perubatan yang berkualiti tinggi di negara ini.
Walaupun potensi transformasi ekonomi ini sangat besar, cabaran utama yang dihadapi adalah memastikan keseimbangan sosial dan ekonomi yang adil.
Jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin, serta ketidaksamarataan antara kawasan bandar dan luar bandar, masih menjadi isu yang perlu diatasi.
Jika tidak ditangani dengan baik, jurang ini boleh mencetuskan ketidakseimbangan sosial yang lebih besar dan menghambat pertumbuhan ekonomi.
Program sosial seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Dana Pinjaman Mikro PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) adalah contoh langkah kerajaan untuk menyokong golongan berpendapatan rendah.
Namun, usaha ini perlu dipertingkatkan dengan pendekatan yang lebih menyeluruh, seperti memperkenalkan program latihan kemahiran bagi golongan belia dan wanita untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.
Selain itu, pelaksanaan dasar perlu bersifat telus dan inklusif, di mana masyarakat sivil, sektor swasta dan pihak berkuasa tempatan memainkan peranan masing-masing dalam memastikan keberkesanan dasar-dasar yang diperkenalkan.
Dalam usaha memastikan keberkesanan transformasi ekonomi, aspek pendidikan juga memainkan peranan penting.
Sistem pendidikan perlu diselaraskan dengan keperluan pasaran kerja masa depan, terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi.
Kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan industri boleh membantu memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran yang relevan untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Transformasi ekonomi Malaysia ke arah inovasi dan keberlanjutan adalah langkah yang tidak dapat dielakkan untuk memastikan negara ini terus maju dalam era globalisasi. Gabungan antara teknologi canggih, komitmen kepada pembangunan hijau dan dasar sosial yang inklusif adalah kunci untuk mencapai kemakmuran bersama.
Pada masa yang sama, penglibatan semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta dan masyarakat umum, adalah kritikal dalam merealisasikan visi ini.
Malaysia berpotensi menjadi negara contoh dalam pembangunan ekonomi mampan, di mana teknologi dan alam sekitar bergerak seiring demi kesejahteraan rakyat.
Dengan strategi yang tepat dan pelaksanaan yang berkesan, transformasi ini bukan sahaja akan membawa manfaat kepada generasi masa kini tetapi juga menjadi legasi berharga untuk generasi akan datang.
Imej sebuah negara yang maju, hijau dan berdaya tahan menjadi aspirasi yang boleh dicapai sekiranya semua pihak bersatu padu dalam merealisasikan matlamat ini.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan
Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Sauntharya Chandrasekaran
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my